DIGELAR ratu lagu putus cinta, hidup Taylor Swift ibarat terkena sumpahan apabila setiap percintaannya berakhir dengan perpisahan. Episod lara terbaharu membabitkan bekas kekasih, Joe Alwyn yang sudah enam tahun sama-sama menyulam cinta.
Putus cinta lagi! Seperti menjadi satu kelaziman sebenarnya buat penyanyi terkenal Taylor Swift yang tidak pernah kering dengan cerita cinta.
Setiap hubungan yang dijalin penyanyi berusia 34 tahun itu tak pernah bertahan lama. Pada akhirnya, pasti berhujung dengan perpisahan.
Nama-nama selebriti lelaki terkenal seperti Tom Hiddleston, Joe Jonas, Taylor Lautner, John Mayer, Jake Gyllenhall dan Calvin Harris memasuki senarai panjang bekas kekasih penyanyi itu.
Hebat dan gah dalam dunia muzik, namun malangnya penyanyi itu tidak pernah bernasib baik dalam percintaan sehingga ada yang pernah mengatakan pelantun lagu Enchanted itu terkena ‘sumpahan cinta’.
Selepas melalui banyak episod putus cinta yang kebanyakannya cuma mampu bertahan beberapa bulan, kisah peribadi penyanyi itu sekali lagi mencuri perhatian apabila hubungannya bersama kekasih, Joe Alwyn putus di tengah jalan baru-baru ini.

Berita perpisahan pasangan itu dilaporkan media ketika Swift sedang sibuk mengemudi konsert jelajah dunia, The Eras Tour.
“Swift dan Alwyn berpisah beberapa minggu lalu. Mereka memilih membawa haluan sendiri secara baik dan akan kekal sebagai rakan,” kata sumber terdekat penyanyi itu selepas berita tersebut dilaporkan media.
Ikatan yang terjalin bersama Alwyn berjalan lebih panjang iaitu selama enam tahun berbanding hubungan lampau pemenang tiga kali Anugerah Grammy itu bersama semua bekas kekasihnya sebelum ini.
Mantera apa yang digunakan Alwyn, 32, sehinggakan penyanyi yang terkenal dengan genre muzik country itu teguh memilih dirinya selama enam tahun?
Selepas melalui banyak episod melukakan bersama beberapa lelaki, Swift akhirnya menemukan erti ‘soulmate’ atau pasangan sejiwa dalam diri Alwyn sehingga pernah berharap hubungan dibina membawa ke gerbang perkahwinan atau setidaknya bertunang.
Keinginan tersebut dikuatkan dengan penampilannya dalam dokumentari Netflix berjudul Miss Americana apabila cincin berlian dipakai Swift mencuri perhatian dan mengundang spekulasi bahawa dia dan Alwyn sudah bertunang atau berkahwin secara rahsia.

Sehidup semati
Alasan jatuh cinta Swift terhadap Alwyn cukup kuat dan bersadur kematangan iaitu keinginan menjadi seperti orang normal dan (hubungan) yang ‘tidak berganjak’ atau bersifat kekal ditunjukkan lelaki itu kepadanya.
“Kadangkala ketika diserang kegelisahan, saya boleh mengawal diri atau menjadi normal, tetapi kalau dikelilingi 20 jurugambar atau diekori mahupun kehidupan diganggu, saya tak boleh kawal diri jika ada berita palsu menjadi tajuk utama berita.
“Saya kenal Alwyn dan selama berhubungan dengannya, ini satu keputusan yang menjadikan hidup saya jadi lebih ‘hidup’.
“Tak kiralah ketika memutuskan di mana nak tinggal, nak keluar bersama siapa atau bila tak nak ambil gambar, semua privasi itu sukar dijelaskan tapi di dalamnya ada perkara membabitkan sebuah kehidupan yang normal,” jelasnya.

Selain Alwyn, faktor yang memungkinkan hubungan mereka bertahan lama berpunca daripada Swift sendiri mengamalkan konsep menjaga privasi sejak mula bercinta dengan aktor tinggi lampai itu.
“Saya belajar bahawa kalau saya buat (bercakap tentang hubungan secara terbuka), orang akan fikir perhubungan kami terbuka untuk dibincangkan. Hubungan kami bukan untuk perbincangan,” ujarnya kepada The Guardian pada 2019.
Sebelum peminat dikejutkan dengan perpisahan Swift-Alwyn, portal ET sekitar Oktober tahun lalu melaporkan, hubungan kedua-duanya sangat utuh dan dalam keadaan yang baik.
Lalu, apa punca dan mengapa pada akhirnya ikatan seteguh itu terlerai jua? Tolak ke tepi soal takdir, apakah keruntuhan itu berlaku dek benar ‘sumpahan’ Swift, atau juga semuanya berbalik pada diri penyanyi itu yang sebenarnya sedang mencari apa dalam diri seorang lelaki?

‘Easter eggs’
Jika untuk bekas-bekas kekasihnya, ada lagu daripada, Alwyn pula sebaliknya. Lelaki itu banyak membantu dalam penghasilan karya-karyanya sejak beberapa tahun lalu.
Antaranya dalam album Folklore dan Evermore pada 2020 menerusi lagu Exile, Betty, Champagne Problems, Coney Island dan Evermore dengan menggunakan identiti lelaki rahsia bernama William Bowery.
Peminat bagaimanapun mengesyaki pasangan itu sudah lama berpisah iaitu sejak Swift menggantikan lagu Invisible String kepada The 1 pada persembahan jelajah The Eras Tour di Texas pada 31 Mac lalu, iaitu sekitar lima bulan selepas mereka langsung tidak kelihatan di tempat awam.
Swift sendiri cukup dikenali sebagai penyanyi yang gemar memberikan petunjuk rahsia tentang hidupnya dalam seni muzik atau disebut peminat sebagai ‘easter eggs’ semuanya ketara sejak album debutnya pada 2006.
Ternyata, perpisahan Swift meruntunkan hati peminat, masing-masing hampa kerana menyimpan harapan untuk melihat Swift memiliki kebahagiaan sejati.
Cuma setakat ini, baik Swift mahupun Alwyn, kedua-duanya belum mengeluarkan kenyataan atas berita mengejutkan tersebut.
















