fbpx
SYAHMI berjaya menghasilkan karya-karya mengikut selera penonton tempatan.

Mereka beli kerana kejujuran kita – Syahmi Sazli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA pengarah dan YouTuber terkenal Syahmi Sazli tidak perlu diperkenalkan lagi terutama dalam kalangan peminat drama pendek dan pengikut salurannya di YouTube.

Budi pekerti anak muda kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang itu juga sering dipuji dan menjadi bualan ramai apabila dilihat banyak menolong mereka yang memerlukan terutama dalam kalangan anak-anak istimewa.

Daripada seorang YouTuber, perlahan-lahan Syahmi, 28, mengorak langkah bergelar pengarah dalam dunia layar perak menerusi penghasilan beberapa naskhah filem yang nyata diterima ramai.

Sayap kariernya juga dilebarkan apabila berani mengambil risiko menjual air balang meskipun pernah dilanda beberapa isu hingga terpaksa menghentikan seketika operasi perniagaan. Bagi mengupas lebih lanjut mengenai perjalanan karier termasuk cabaran ditempuhi, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berpeluang menemu bual pemilik nama penuh Muhamad Syahmi Sazli baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh cerita serba ringkas, macam mana anda boleh terlibat dalam dunia YouTube? Apakah faktor yang mendorong anda menjadi YouTuber ketika itu? Adakah sebab minat?
SYAHMI: Saya terlibat dalam dunia YouTube ini secara tidak sengaja. Ketika berada di universiti, video yang dirakam suka-suka telah tular secara tidak sengaja.

Tetapi, sejak zaman sekolah menengah saya memang minat menghasilkan video pendek.

Difahamkan anda tidak menamatkan pengajian di universiti? Apakah sebab utama Syahmi tidak menamatkan pengajian. Adakah sebab ingin fokus kepada kerjaya YouTuber atau sebab lain?
Sebab utama tidak menamatkan pengajian adalah sedang ‘syok’ buat duit melalui drama pendek dan ingin popular ketika itu. Maklumlah siapa yang tidak mahu popular.

Kita dapati, nama Syahmi mula popular selepas munculnya anak-anak istimewa dalam video saudara seperti Asif dan Yoe Parey. Pada pandangan anda, apakah kelebihan anak-anak istimewa ini ketika di depan kamera?
Sebenarnya, sebelum kehadiran anak-anak istimewa ini, saya sudah ada 1 juta pengikut di Facebook, ratusan ribu pengikut di Instagram dan YouTube. Tetapi dengan kehadiran anak-anak istimewa ini, lagi membuat nama saya melonjak naik.

Kelebihan yang saya nampak adalah mereka ini berbeza daripada pelakon-pelakon yang biasa kita tengok dalam televisyen.

Dari dulu lagi, kalau tengok drama di kaca televisyen, pelakon berlakon dengan sangat baik.

Jadi, saya cuba bereksperimen, macam mana kalau pelakon tidak berlakon dengan baik. Misalnya, pelakon tengok kamera ketika berlakon ataupun bercakap dengan pengarah ketika berlakon.

Benda ini kita tidak pernah lihat lagi dalam drama biasa. Jadi, itulah kelebihan pelakon saya. Mereka berlakon dengan cara mereka sendiri.

Apakah cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui oleh anda apabila bekerjasama dengan anak-anak istimewa ini. Adakah mereka mudah mengikut arahan atau macam mana?
Sangat mencabar fizikal dan mental. Mereka tidak boleh membaca dan menghafal skrip.

Disebabkan itu, saya buat drama spontan dahulu. Saya cuba rangka jalan cerita, babak demi babak, kemudian saya serahkan kepada mereka untuk lakonkan secara spontan.

Cakaplah apa sahaja, tetapi saya akan guide (arah) mereka dari belakang kamera ketika sedang berlakon. Alhamdulillah, sekarang ini mereka sudah mahir. Saya cakap kena buat itu ini, mereka sudah faham.

Sebelum ini, ada pihak yang cakap anda mempergunakan anak-anak istimewa ini untuk meraih keuntungan. Apa komen Syahmi mengenai hal ini?
Jujur soalan ini sebenarnya saya sudah letih mahu jawab. Kalaulah saya mempergunakan mereka seperti apa yang diperkatakan, tidak mungkinlah hidup mereka boleh berubah 360 darjah.

Daripada orang luar tidak mengenali dan mendekati mereka dahulu, sekarang orang kejar sampai ke rumah.

Mana-mana pihak yang kata saya pergunakan anak-anak istimewa ini, saya cuma nak tanya: “Berapa ramai orang istimewa yang kamu sudah tolong dan ubah hidup mereka?”

Daripada YouTuber, anda mengorak langkah menjadi pengarah filem. Apakah cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui oleh Syahmi untuk bergelar pengarah filem? Bagaimana pula penerimaan pelakon dan orang dalam industri?
Cabaran menjadi pengarah filem itu tidaklah mencabar sangat sebab saya sudah ada asas ketika buat drama pendek untuk YouTube.

Saya rasa lebih kurang sahaja prosesnya. Menerusi peluang yang saya dapat sebagai pengarah filem, ia secara tidak langsung merupakan ilmu baharu untuk saya belajar.

Daripada situ, saya dapat jumpa orang lama, kru-kru produksi lama dan saya banyak ambil ilmu daripada mereka.

Tetapi, penerimaan pelakon dan orang industri terhadap saya pula saya tidak pasti bagaimana.

Cuma kalau lihat ketika filem Mael Totey The Movie sebelum ini, pelbagai penerimaan yang saya nampak.

Tentu ada yang tidak suka, tetapi ramai yang boleh terima saya dalam industri ini.

Selepas kejayaan filem Mael Totey The Movie dan 35mm, anda bakal tampil dengan naskhah terbaharu menjelang Aidilfitri nanti. Boleh ulas mengenai naskhah baharu ini?
Benar, saya akan keluarkan karya terbaharu untuk Ramadan dan Aidilfitri ini iaitu Satu Hari Sebelum Raya. Karya ini sebenarnya saya sudah lama peram. Tetapi, Allah SWT aturkan supaya dibuat pada tahun ini.

Cerita ini berkisarkan tentang perjalanan dua beradik miskin (yatim piatu) untuk mencari sepasang baju raya. Sepanjang perjalanan, mereka berjumpa dengan pelbagai jenis orang.

Saya kira karya ini sangat segar. Bukan kerana ceritanya, tapi kerana pelakonnya. Cerita ini menampilkan pelakon baharu saya iaitu Samer.

Dia ini pernah menjadi fenomena pada tahun lepas kerana gelagatnya menjual pelbagai barangan kepada saya.

DARI kiri: Asif, Syahmi dan Yoe Parey merupakan watak utama dalam filem Mael Totey The Movie dan 35mm.

Sepanjang Ramadan ini, anda dilihat sibuk menjual air balang dan ia mendapat sambutan yang luar biasa. Boleh ulas sedikit mengenai perniagaan ini?
Ya, ini merupakan Ramadan tahun kedua saya sibuk menjual air balang. Perniagaan ini pun bermula dengan tidak sengaja dan tidak disangka-sangka.

Ketika mula berniaga air balang pada Ramadan tahun lepas, air saya tidak laku. Minggu pertama jual, air memang tidak habis dan saya sedekahkan kepada orang yang lalu- lalang.

Selepas itu, saya letak aiskrim dalam air dan mula buat ‘live’ di Facebook. Dari situlah orang mula datang ke gerai saya.

Kemudian, saya ubah sikit-sikit air yang dijual itu untuk menarik minat pelanggan. Alhamdulillah, sekarang orang tidak putus-putus datang beratur hingga keliling bangunan.

Ada pihak yang minta Syahmi membuka cawangan air balang di tempat-tempat lain pula selepas ini. Bagaimana reaksi Syahmi mengenai hal ini?
Tiada lagi perancangan saya untuk buka di tempat lain. Jujur, saya berniaga ini bukanlah secara serius sangat hingga perlu diwarisi keluarga atau sebagainya.

Cukuplah berniaga di satu cawangan di sini (Kelantan) dan boleh menampung gaji pekerja-pekerja saya.

Tetapi, siapa tahu kalau lepas ini saya buka cawangan lain.

Itu semua saya tidak boleh janji kerana dalam hidup ini, banyak perkara boleh berlaku secara tidak sengaja dan mengejut.

Syahmi dikatakan seorang yang pemurah dan sering belanja pekerja-pekerja, adakah Syahmi berasakan itu sebagai kunci hidup murah rezeki? Bolehkah kongsikan tip-tip atau amalan yang diamalkan untuk berjaya dalam perniagaan?
Saya pun tidak tahu apa kunci murah rezeki. Saya sendiri pun tidak tahu adakah saya murah rezeki atau saya sedang diuji dengan murahnya rezeki. Ada orang kata saya murah rezeki sebab saya ini pemurah.

Tetapi, kalau ikutkan ramai lagi di luar sana yang pemurah dan lagi banyak berkongsi rezeki.

Dari segi tip dan amalan yang diamalkan pula, saya nak kongsi satu cerita pasal berniaga air balang.

Sebenarnya, saya buka gerai untuk berbagi dan berkongsi juadah berbuka secara percuma untuk orang yang lalu-lalang.

Sebenarnya, air balang itu hanya sampingan sahaja. Air balang itu hanya sebagai kerja kepada sepupu saya untuk saya gajikan dia.

Jadi, mungkin disebabkan berbagi juadah secara percuma, Allah nak gantikan kepada saya dengan menghadirkan pelanggan yang saya tidak pernah jangka.

Seperkara lagi, dalam berniaga, kita kena jujur. Kadang-kadang, orang bukan sudi membeli kerana produk kita semata-mata, tetapi mereka membeli kerana kejujuran kita.

Seperkara lagi yang saya lakukan, sentiasa fikir fasal orang lain iaitu pekerja. Berilah mereka kegembiraan selepas kita gunakan tenaga dan kudrat mereka.

Anggaplah mereka seperti keluarga kita. Apa yang kita pakai (kasut, jam) berilah kepada mereka sama seperti yang kita pakai. Tanpa mereka, apalah sangat perniagaan kita ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN