fbpx
Harga makanan untuk berbuka puasa di bazar Ramadan terutama di ibu negara mengalami kenaikan sehingga RM8 pada tahun ini. – GAMBAR HIASAN. -MUHAMAD IQBAL ROSLI

Beli dua lauk di bazar Ramadan habis RM50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Harga makanan terutama ayam bakar di bazar Ramadan khususnya di ibu negara mengalami kenaikan antara RM2 hingga RM8 pada tahun ini.

Tinjauan Kosmo! di Bazar Ramadan Kampung Baru dan Taman Tun Dr. Ismail di sini mendapati kenaikan harga itu bagaikan tidak setimpal kerana saiznya juga berkurangan.

Pengunjung, Nurul Hidayah Md. Hassan, 28, berkata, harga seekor ayam bakar saiz sederhana tahun lalu adalah RM24, namun tahun ini harganya RM32.

Katanya, dengan wang RM50, dia hanya mampu membeli dua lauk berbuka puasa untuk dimakan bersama suami dan seorang anaknya ekoran harganya mahal.

“Dengan wang RM50, saya beli seekor ayam bakar saiz sederhana dan sup daging RM15 yang di dalamnya terdapat 12 keping daging yang dipotong nipis,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menurut wanita itu, dia memilih untuk membeli juadah di bazar Ramadan disebabkan kekangan masa kerana bekerja dan tiba di rumah pukul 7 malam.

Tinjauan di gerai menjual ikan siakap, pari, cencaru, kerapu dan kembung bakar pula mendapati ia dijual pada harga RM16 se­hingga RM46 seekor mengikut saiz berbanding RM10 hingga RM38 seekor tahun lalu.

Situasi sama berlaku di Bazar Ramadan Seri Manjung, Perak apabila tinjauan mendapati, berlaku kenaikan harga makanan.

Pengunjung, Puteri Aisyah Kamaruzzaman, 32, berkata, dia agak terkejut dengan harga makanan pada tahun ini.

“Biasanya saya membeli mi goreng berharga RM4 sebungkus, tetapi tahun ini harganya RM6.

“Saya tak pasti puncanya, mungkin harga sewaan tapak atau kos bahan mentah naik jadi mereka terpaksa naikkan harga untuk tampung modal,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohammad Nukman Hazim, 19, berkata, sebagai pelajar dia berasa agak terkesan dengan kenaikan harga makanan di bazar Ramadan dan membelanjakan RM10 sehari untuk membeli juadah berbuka puasa.

“Dengan wang RM10, saya membeli nasi ayam sahaja tanpa air. Sebagai pelajar saya kena berjimat kerana wang perlu digunakan untuk keperluan belajar, jika wang tidak mencukupi saya berbuka di masjid,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN