SELEPAS program Famili Duo melabuhkan tirai pada Februari lalu, Wani Kayrie yang memenangi tempat ketiga bersama pasangan duetnya, Bella Astillah bersyukur apabila rezeki dalam bidang seni mencurah-curah.
Ada sahaja undangan membuat persembahan diterima walaupun adakalanya penyanyi berusia 23 tahun itu mengakui agak lelah memenuhi setiap permintaan beraksi di atas pentas.
Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah menolak rezeki yang diberikan kepadanya, selagi kudrat dan kesihatan masih mengizinkan.
Kata Wani, pada usia yang masih muda, inilah waktunya untuk dia mengerah kudrat mencari rezeki selagi mampu. Bukan kerana tamak, tetapi dek memikirkan tanggungjawabnya sebagai penyanyi dan juga anak yang mahu berbakti kepada orang tua.
Ramadan
Dalam pada itu ketika bercakap tentang kedatangan Ramadan yang bermula esok, berbeza seperti tahun lalu, Wani mengambil keputusan untuk memperlahankan rentak seninya agar dapat memperuntukkan lebih banyak masa berehat dan bersama keluarga.

Hal ini kerana, jadual seninya pada tahun ini agak padat dengan persembahan selain memenuhi tuntutan kerja apabila terlibat kerjasama bersama beberapa jenama terkenal.
“Penat sebenarnya, tapi inilah rezeki dan periuk nasi saya. Mahu tidak mahu, saya kena bekerja keras bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi demi keluarga.
“Ramadan tahun ini saya memang sangat sibuk. Jika tahun lalu saya perlahankan rentak dalam bidang seni. Tahun ini pula saya banyak terlibat dengan kempen beberapa jenama.
“Saya bersyukur, habis sahaja program Famili Duo, rezeki dalam bidang seni semakin mencurah-curah. Jadi alang-alang sudah diberikan rezeki, saya ‘pulun’ bekerja selagi mampu,” ujarnya.
Kata penyanyi bertubuh genit itu lagi, bidang seni terutamanya nyanyian merupakan kerjaya yang menjadi minatnya sejak kecil. Jadi tidak salah jika dia mencurahkan sepenuh hati dan kudrat untuk mencari rezeki.
“Tahun ini saya akan bercuti lama untuk menyambut raya di Sabah. Mungkin sekitar 10 hari, jadi banyak persiapan yang perlu dibuat. Tiket kapal terbang pun mahal sekarang,” katanya.
Latihan praktikal
Pada masa sama, penyanyi asal Sandakan, Sabah itu juga teruja kerana akan menjalani latihan praktikal (internship) selama enam bulan bagi menyempurnakan semester akhir pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan di Management & Science University (MSU).
Kata penyanyi yang dikenali selepas menjuarai pertandingan nyanyian Kamilah Bintang pada 2010 itu, dia sudah menghantar permohonan ke beberapa buah syarikat di sekitar Kuala Lumpur untuk menjalani latihan praktikal dan masih menunggu panggilan.

“Tahun ini juga, saya bertambah sibuk untuk latihan praktikal selama enam bulan dalam bidang undang-undang. Permohonan sudah dihantar ke beberapa buah syarikat dan buat masa ini masih menunggu panggilan mereka.
“Perasaan saya agak teruja dan gementar kerana pertama kali akan ‘bekerja’ dalam bidang yang saya pelajari iaitu undang-undang. Berdasarkan cakap-cakap kawan yang sedang menjalani latihan praktikal sekarang, mereka kata memang susah. Setiap hari kena naik turun mahkamah,” katanya.
Disebabkan perlu melakukan dua kerja dalam satu masa, Wani berkata, dia perlu mencari sebuah syarikat yang boleh bertolak ansur dengan jadual kerjanya sebagai penyanyi.
“Agak susah juga sebenarnya sebab saya kena cari syarikat yang mempunyai waktu fleksibel dengan waktu kerja saya sebagai artis.
“Kalau ikutkan saya sepatutnya sudah mula menjalani latihan praktikal pada 1 Mac lalu. Tapi ditangguh dahulu kerana jadual seni yang ketat. Nasib baik pihak pengajian faham,” jelasnya.
Fajar
Berkongsi perkembangan terkini, Wani kembali menyemarakkan tirai 2023 dengan single berjudul Fajar, hasil ciptaan komposer terkenal tanah air, Shazee Ishak, Audi Mok dan Tysha Tiar.
Single terbitan syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment itu merupakan buah tangan ketiga Wani yang dianggap istimewa kerana menguji kemampuan vokalnya sebagai penyanyi versatil.
“Lagu Fajar menceritakan ‘cahaya’ yang membawa maksud sebuah pengharapan buat setiap insan untuk terus melangkah dalam hidup meskipun menerima banyak ujian dan dugaan.
“Saya percaya setiap perkara yang berlaku dalam hidup ada hikmahnya, dan ‘cahaya’ itulah yang menjadi sumber kekuatan setiap insan dalam mencari hala tuju hidup sebenar tanpa menoleh ke belakang,” katanya.

Karya nuansa balada tersebut disuntik elemen muzik elektronik yang menambah keunikan penciptaannya.
“Proses rakaman memakan masa selama sehari. Senang bekerja dengan Audi Mok kerana beliau pernah menulis lagu saya sewaktu berumur 17 tahun berjudul Aku Suka Kamu.
“Dia tahu kebolehan vokal saya dan mudah untuk kami mengembangkan idea semasa sesi rakaman,” tutup Wani.














