fbpx
Bagi Liu Ying semangat dan jiwa sukan tetap ada di dalam dirinya sampai bila-bila.

Tiada istilah gantung raket buat Liu Ying

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTEMUAN singkat dengan wanita kurus tinggi berambut pendek separas bahu dalam sesi penggambaran bersama Aura baru-baru ini berjalan begitu lancar.
Ketika jurufoto, Muhamad Iqbal Rosli membidik fotonya di luar sebuah restoran di ibu kota, orang ramai yang lalu-lalang tidak melepaskan peluang untuk melambai dan senyum ke arah wanita berkulit putih itu.

Lambaian dan senyuman itu pantas dan tidak kekok dibalas bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying.

Sebelumnya, perbincangan untuk mengadakan sesi fotografi dan temu bual khas bersama Liu Ying dibuat seminggu awal

Tanpa berbasa-basi dan banyak soal, undangan Aura disambut baik anak kelahiran Batu Berendam, Melaka itu seraya menetapkan terus tarikh dan lokasi untuk bertemu.

Pastinya soalan pertama yang meluncur dari mulut penulis adalah apa yang sedang dilakukannya sebaik saja mengambil keputusan bersara sebagai atlet badminton negara awal tahun ini.

Liu Ying dengan senyuman manis pada wajah selepas meneguk segelas air putih memberitahu dia baru saja pulang dari kampung menziarahi kedua-dua ibu bapanya sebagai jawapan.

“Saya sebenarnya baru sahaja balik dari kampung di Melaka ziarah ibu bapa. Ada masa sikit ni, mereka pun sudah lama tidak datang ke Kuala Lumpur.

“Kali terakhir saya balik kampung pun masa sambut Tahun Baharu Cina Januari lepas. Itulah apa yang saya buat lepas bersara,” tuturnya sambil tertawa diselangi senyuman manis di bibir.

Beritahu Liu Ying, selepas bersara, dia sebenarnya masih lagi aktif bermain badminton dan langsung tiada istilah menggantung raket buat selamanya.

Cumanya, aktif itu bukanlah bermaksud bakal membuat kemunculan semula di gelanggang perlawanan tetapi sekadar bermain suka-suka sebagai hobi dan minat.

“Nak kata gantung raket itu tiadalah sangat. Saya pun masih bermain macam biasa, tapi sekadar suka-suka nak keluarkan peluh dan sentiasa fit (aktif) sahaja.

“Sebenarnya sejak saya bersara, saya ada buat satu tournament sendiri yang mana saya kumpulkan dan cari pemain amatur untuk bermain badminton.

“Buat masa ini, bulan lalu kita dah selesai di Lembah Klang. Kalau tiada apa aral, lepas ini saya nak pergi ke setiap zon di Utara, Selatan dan Timur.

“Jadi, pemain-pemain amatur dalam kalangan remaja ini akan saya temukan di peringkat akhir nanti,” katanya.

Menariknya dengan tournament tersebut, Liu Ying sengaja meletakkan kaedah triple badminton (tiga lawan tiga) yang belum pernah dilakukan di mana-mana tempat atau penganjur.

Tambahan lagi, tournament yang dianjurkan itu hanya dibuka kepada pemain amatur yang betul-betul ingin merasai bagaimana menjadi pemain badminton profesional seperti dia dan rakan-rakan seperjuangan lain.

Meneruskan perbualan santai, pemegang pingat perak Olimpik bagi acara beregu campuran itu memberitahu, dia juga baru saja selesai penggambaran dokumentari bersama sebuah saluran televisyen negara mengenai profil perjalanan hidupnya.

Katanya, penggambaran tersebut dipersetujuinya dan turut melibatkan ibu bapanya di Melaka termasuk beberapa jurulatih dan rakan-rakan sebidang yang mengenalinya.

Detik terindah dalam kerjayanya apabila berjaya meraih pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Peng Soon bagi acara beregu campuran.

“Selain tournament dan penggambaran, saya juga ada uruskan beberapa bisnes yang dibantu keluarga terdekat.

“Tawaran untuk iklan juga ada, tetapi saya terpaksa tolak. Ada juga tawaran untuk menjadi jurulatih badminton, sekali lagi saya terpaksa tolak kerana mahu ‘berehat’ dulu,” katanya.

Beritahu Liu Ying lagi, dia juga ada perancangan untuk membuka akademi badminton miliknya sendiri seperti yang dimahukan ramai, tetapi bukanlah dalam masa terdekat.

Berkongsi sedikit mengenai perjuangan dan survivalnya dalam sukan badminton selama hampir dua dekad, banyak sepak terajang yang telah dilaluinya untuk sampai ke tahap ini.

Akuinya, kalau ikutkan, dia sendiri pun tidak pernah menyangka bergelar pemain badminton negara kerana ia awalnya tiada dalam kamus hidupnya.

Katanya, kedua-dua ibu bapanya mahukannya menjadi guru dan mencari kerjaya yang ada jaminan masa depan, tetapi takdir menentukan segalanya.

“Bapa saya memang dari muda suka main badminton dengan kawan-kawan. Jadi, masa saya berumur lapan tahun, saya dah mula diajar dan disuruh untuk main badminton suka-suka di kampung.

“Jujur kata, saya ini malas sedikit nak belajar dan bukannya ulat buku. Saya jenis degil sedikit, tak macam dua lagi adik lelaki di bawah saya.

“Entah bagaimana, dari main suka-suka, saya mula sertai pertandingan sampai masuk sekolah sukan ketika berusia 13 tahun,” katanya yang selepas itu memulakan kerjaya sebagai atlet negara usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia sekitar tahun 2006.

Akuinya lagi, bukan langsung tidak lagi sayang dengan kerjaya sebagai atlet negara, tetapi faktor kecederaan pada kedua-dua belah kakinya terutama berpunca selepas tumpas teruk pada suku akhir Kejohanan Badminton Dunia London 2011 lalu.

Ujarnya, episod sedih tidak berakhir di situ kerana kecederaan itu terus menghantuinya dan dirinya terkandas di separuh akhir Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun 2019.

“Setiap kali saya di gelanggang dan bertarung dengan pihak lawan, saya memang tidak dapat berikan fokus terbaik kerana memikirkan kecederaan kaki yang dialami.

“Doktor minta saya rehat setahun setengah untuk betul-betul pulih tapi tempoh tersebut terlalu lama bagi saya dan pada ketika itu sebab saya nak kejar semi final Terbuka Jepun bersama Chan Peng Soon saya bermain juga.

“Apapun jujur saya tak menyesal dengan keputusan yang saya lakukan (umum bersara) awal tahun ini kerana saya sudah lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan negara.

“Paling penting, semangat dan jiwa sukan tetap ada dalam diri sampai bila-bila. Tiada istilah bersara dalam diri ini. Bukan setakat badminton, siapa tahu sukan lain pun saya sertai nanti, tapi sekadar jurulatih, bukan pemain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN