fbpx
Lelaki misteri itu bercerita mengenai hukum-hakam agama Islam kepada Shah. – Ilustrasi Shah Hasan

‘Deja vu’ bertemu lelaki misteri ketika hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIGA dekad lalu, teknologi maklumat seperti media sosial tidak wujud dan segala informasi tidak sepantas pada hari ini.

Hari ini gambar boleh disimpan dalam galeri telefon pintar atau bentuk klip video.

Kisah yang ingin diceritakan ini melibatkan seorang lelaki separuh abad yang kini menetap di sebuah kampung di Banting, Selangor.

Lelaki tegap dan tinggi lampai yang ingin dikenali sebagai, Shah, 54, itu berkata, kisah misteri tersebut dialami semasa dia masih tinggal bersama keluarganya di Perak dan bekerja di Shah Alam, Selangor.

“Kisah yang saya alami ini bukan hendak menakutkan sesiapa, tetapi ia benar-benar berlaku semasa musim hujan.

“Kisah ini berlaku semasa saya berada di bandar kelahiran. Sedang saya berjalan-jalan di bandar pada suatu petang, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya,” katanya.

Shah berkata, berikutan itu dia menumpang teduh bersama orang lain yang terdiri daripada para penunggang motosikal.

Katanya lagi, sedang dia bersandar di tepi tiang bangunan melihat kenderaan lalu-lalang, tiba-tiba muncul seorang lelaki India Muslim menegur dirinya.

“Entah dari mana dia datang saya pun tidak pasti. Lelaki budiman berusia dalam lingkungan 40-an itu tiba-tiba muncul dan bercerita tentang hukum-hakam agama Islam.

“Lelaki itu beritahu hujan turun dengan lebat untuk membersihkan Bumi dari dosa-dosa manusia yang suka membuat fitnah sesama sendiri,” katanya.

Jelas Shah, mungkin lelaki itu sedang kebosanan dengan cuaca yang lembap dan sejuk pada petang itu.

“Saya membiarkan lelaki itu terus bercerita tentang ilmu agama, pentingnya kita menunaikan solat, puasa dan berzakat. Cara dia bercerita seolah-olah telah mengenali saya bertahun-tahun lamanya.

“Hingga pada ketika saya terbersin akibat kesejukan. Lelaki tersebut tiba-tiba hilang begitu sahaja daripada pandangan saya,” katanya.

Shah memberitahu, ketika itu, dia terasa pelik kerana kelibat lelaki itu tidak dapat dilihatnya lagi di kiri dan kanan mahupun di hadapannya.

Hujan lebat tiba-tiba berhenti dan matahari kembali memancarkan cahaya terang-benderang semula.

“Sejak hari itu, sumpah saya tidak menemui lagi lelaki tersebut.

“Wajah, rambut dan misainya yang hampir beruban penuh, masih bermain-main dalam fikiran saya selama lebih sedekad.

“Selepas peristiwa di Perak itu, berlaku sekali lagi situasi yang seakan sama skripnya.

“Semasa saya berumur 34 tahun dan bekerja di Shah Alam, fenomena deja vu melanda diri saya,” ujarnya.

Cerita Shah, pada petang itu, hujan turun dengan lebatnya sehingga dia terpaksa berlindung di hadapan sebuah hospital swasta di Seksyen 9, Shah Alam.

Cerita Shah lagi, tiba-tiba lelaki yang pernah ditemui kira-kira 10 tahun lalu itu ‘muncul’ betul-betul di depan matanya.

“Belum sempat saya berkata apa-apa, lelaki itu terus bercerita tentang perkara yang sama dia pernah katakan sebelum ini.

“Amat jelas itulah kisah yang diceritakan lelaki berkenaan sebelum ini.

“Masa itu awal tahun 2000, telefon pintar masih belum digunakan secara meluas. Jika ada memang saya akan bergambar dengan lelaki tersebut,” katanya.

Kali ini, Shah sempat bertanya pekerjaan lelaki itu kerana merasakan dia bukanlah makhluk aneh yang misteri.

Lelaki itu menjawab, dia bekerja dalam bidang kaunseling dan motivasi kepada pelajar sekolah.

“Apabila saya bertanya sama ada dia pernah berada di bandar kelahiran saya 10 tahun lalu, terperangkap dalam hujan dan bercerita tentang perkara disebutnya tadi.

“Lelaki itu tergelak kecil sebelum berkata, di dalam dunia ini ada tujuh orang muka yang sama. Mungkin saya berjumpa dengan salah seorang daripada enam itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shah berkata, sedang dia rancak berbual tiba-tiba dia terbersin hingga memaksanya beralih pandangan ke arah lain dan lelaki itu sekelip mata lesap.

“Kali ini saya tidak mahu diselubungi misteri lagi. Saya mencari lelaki itu di seluruh kawasan tersebut, namun bayangnya pun tidak nampak,” jelasnya.

Harapannya, pada satu hari nanti, misteri lelaki yang muncul semasa hujan lebat itu akan terungkai. Kali ini, dia bersedia dengan telefon pintarnya untuk berswafoto atau dijadikan bahan tular dalam media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN