“TERUSKAN, jangan berputus asa.” Itu semangat dipegang seorang warga emas, Joyce Viola DeFauw, 90, yang akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah di usia senja.
Kembali menyambung pengajian di Universiti Illinois Utara (NIU), Amerika Syarikat pada tahun 2019, DeFauw mengakui menamatkan pengajian di usia emas bukanlah mudah.
Bagaimanapun, tekadnya untuk menyambung pengajian yang ditinggalkan pada tahun 1950-an menguatkan semangatkan untuk menggenggam segulung ijazah.
Kata nenek 17 cucu dan moyang 26 cicit itu, semuanya bermula semasa dia menyatakan hasratnya yang lama terpendam untuk menamatkan pengajian kepada anak-anaknya dalam satu pertemuan keluarga.
“Sudah 71 tahun selepas mendaftar pengajian di kolej dan kemudian meninggalkannya separuh jalan, namun sehingga kini saya tidak pernah melupakan hasrat untuk menamatkannya.
“Saya menyuarakan hasrat itu kepada anak-anak empat tahun lalu dan mereka teruja dengan keinginan serta menyarankan supaya menyambung semula pengajian tersebut,” kata DeFauw yang baru-baru ini mencipta sensasi apabila bergelar graduan ijazah sarjana muda pada usia 90 tahun.
Tambahnya, sepanjang pengajian, keluarga menjadi tulang belakang yang sentiasa memberikan dirinya semangat dan memenuhi keperluan pelajaran termasuk membelikan komputer riba bagi menyiapkan tugasan.
DeFauw mula-mula mendaftar di kolej yang kini dikenali sebagai Universiti Illinois Utara pada tahun 1951 bagi mengikuti pengajian dalam pendidikan ekonomi rumah tangga.
Bagaimanapun, perjalanannya terhenti separuh jalan selepas dia memutuskan untuk berkahwin dengan suami pertamanya.
Berkongsi tentang usaha menamatkan pengajian ijazah, DeFauw mengakui perjalanannya bukanlah mudah.
Dia yang tinggal di kemudahan persaraan di Geneseo, Illinois, mendaftar semula di NIU pada Ogos 2019 dan mula mengikuti kursus dalam talian ijazah sarjana muda bagi pengajian am di Kolej Seni dan Sains Liberal universiti itu.
“Adakalanya saya bergelut dengan pengajian dan juga berfikir untuk berputus asa, namun kerana tekad saya tidak memilih untuk membuang masa dan mengisinya dengan membuat tugasan hampir setiap hari.
“Saya dan pelajar lain dapat bertukar idea serta berbincang secara dalam talian dan saya mempunyai pengajar yang hebat. Mereka membantu dan membimbing saya,” kata DeFauw.
Tambahnya lagi, dorongan keluarga dan rakan terdekat turut membakar semangatnya untuk menamatkan pengajian ijazah yang akhirnya dicapai pada Disember 2022 dan menjadi inspirasi kepada ramai pihak.
DeFauw bagaimanapun bukanlah satu-satunya graduan pada usia lanjut yang pernah direkodkan, bahkan sejarah graduan ijazah sarjana muda di usia emas turut dilakar oleh beberapa individu lain di seluruh dunia.
Pada 29 Julai 2020, seorang lelaki berusia 96 tahun pernah menamatkan pengajian di sebuah universiti di Itali sekali gus mencatat sejarah sebagai individu tertua di negara itu yang memperoleh ijazah sarjana muda.

Warga emas asal Sicily, Itali, Giuseppe Paterno menamatkan pengajian di Universiti Palermo dalam jurusan sejarah dan falsafah.
Berbeza dengan DeFauw, bapa dua cahaya mata itu mengambil masa yang lama untuk sampai ke pengajian ijazah kerana faktor kemiskinan.
Menurut sebuah agensi berita, Paterno dibesarkan dalam keluarga miskin sebelum era kemelesetan ekonomi dunia dan hanya menerima pendidikan sekolah asas pada zaman kanak-kanak.
Dia kemudian menyertai tentera laut dan berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua. Selepas itu, dia bekerja di stesen kereta api, kemudian berkahwin.
Walaupun dia hidup dalam kemiskinan dan peperangan, Paterno sentiasa bersemangat untuk belajar dan melanjutkan pelajarannya.
Pada usia 31 tahun, dia lulus pengajian sekolah menengah tetapi kemudian tidak meneruskan pelajaran ke kolej sehingga 2017.
Perjalanan Paterno menamatkan pengajian selama tiga tahun tidaklah semudah yang disangka apabila sewaktu beliau menyambung pengajian, pandemik Covid-19 pula melanda.
“Di peringkat awal belajar di universiti saya jalani pengajian dengan menggunakan mesin taip yang diberikan ibu selepas bersara sebagai pekerja landasan kereta api pada tahun 1984.
“Saya juga banyak membuat rujukan dengan buku berbanding menggunakan Google untuk penyelidikan,” ujarnya.
Tambahnya, pun begitu dia tidak menolak kemajuan teknologi dan kemudian turut membiasakan diri gunakan komputer memandangkan semasa pandemik Covid-19 pengajian dijalankan secara sidang video.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk meraih segulung ijazah sejak kecil, Paterno tidak pernah berputus asa dan menjadikan setiap halangan sebagai pembakar semangat gapai impiannya.
Paterno berkata, dia mahu terus belajar dan berharap dapat mengembangkan pengetahuannya mengikut masanya sendiri.
Semangatnya itu turut didukung oleh seorang lagi warga emas dari Jepun, Shigemi Hirata, 96, yang menjadi graduan ijazah sarjana muda tertua di dunia selepas lulus dari Universiti Seni dan Reka
Bentuk di Kyoto, Jepun pada Mei 2016.
Lelaki yang tinggal di Takamatsu, barat Jepun itu lulus dalam jurusan seni seramik dan pencapaiannya sebagai graduan tertua diiktiraf secara rasmi oleh Guinness World Records.
Dilahirkan di ladang Hiroshima pada tahun 1919, Hirata diibaratkan seorang selebriti di kampus.
“Sepanjang pengajian, meskipun umur saya dan pelajar lain jauh berbeza, mereka tetap menyapa dan bergaul dengan mesra. Itu yang membuatkan saya tetap bersemangat untuk belajar.
“Matlamat saya adalah untuk hidup sehingga saya berumur 100 tahun dan jika saya cukup cergas mungkin agak menyeronokkan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada media di Jepun.
Hirata, mengambil masa 11 tahun untuk menamatkan kursus seni seramik selepas mengambil pengajian tembikar.
Moyang kepada empat cicit itu yang juga pernah menjadi tentera laut semasa Perang Dunia Kedua mengakui menyambung pelajaran adalah suatu yang amat menggembirakan dirinya.














