SEBERANG PERAI – Kegiatan licik sepasang kekasih yang aktif meragut sejak awal Januari lalu memakan diri apabila mereka dicekup dalam serbuan berasingan minggu lalu dan semalam.
Suspek utama berusia 30-an diberkas pada pukul 6 pagi di Penang Sentral, Butterworth sebaik tiba dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada 27 Februari manakala kekasihnya berusia awal 20-an pula ditangkap di Juru pada pukul 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek utama menunggang motosikal jenis Honda EX5 seorang diri dan berpura-pura bertanya arah sebelum merentap rantai emas yang dipakai mangsa.
“Teman wanitanya pula akan menjual hasil samun di kedai emas dan pajak gadai dengan menerima upah RM200.
“Penahanan pasangan itu berjaya menyelesaikan tiga kes ragut di daerah SPT dan satu kes di Kulim, Kedah membabitkan barangan kemas bernilai RM6,000,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, di sini hari ini.
Siasatan mendapati suspek utama yang juga pekerja kilang positif dadah dan mempunyai tujuh rekod jenayah serta dadah.
“Teman wanitanya pula bekerja sebagai tukang urut dan memiliki empat rekod kes jenayah dan dadah,” jelasnya.
Suspek lelaki direman sehingga 6 Mac manakala teman wanitanya direman sehingga 7 Mac ini. Tiga pemilik kedai emas dan pajak gadai berusia 60 hingga 70-an turut ditahan bagi membantu siasatan kerana memiliki barang curi. – KOSMO! ONLINE














