KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan seramai 369 pegawai dan anggota lain-lain pangkat membantu mangsa banjir yang melanda seluruh negara termasuk negeri Johor sejak kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan banjir tersebut merupakan bencana alam yang terburuk berlaku di negeri itu pada tahun ini.
Katanya, pelbagai sumber tenaga manusia seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan beberapa pasukan penyelamat yang lain digerakkan dalam operasi menyelamat.
“Bagi PDRM, kita gerakkan 369 anggota di dalam pasukan untuk membantu meredakan kesulitan yang dihadapi (mangsa banjir) dan ini sebahagian daripada keseluruhan anggota yang terlibat.
“Balai polis Chaah juga telah ditenggelami air ekoran banjir di Segamat, sehubungan itu operasi polis di balai terbabit akan dihentikan sementara waktu sehingga pulih,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut Acryl, banjir yang menimpa balai polis di Segamat turut mengakibat seramai 126 mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Berhubung Balai Polis Bahau, operasi di balai tersebut masih berjalan seperti biasa dan aktiviti kepolisan diteruskan,” katanya.
Terdahulu, seramai 33,149 penduduk dengan semua 10 daerah di Johor terjejas ekoran banjir buruk melanda di negeri itu.
Dalam majlis yang sama, Acryl mengumumkan seramai 10,281 pegawai dan anggota telah diperaku sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM bagi tahun 2022.
“Anugerah ini merupakan manifestasi pengiktirafan kerajaan kepada penjawat awam yang telah mempamerkan mutu perkhidmatan yang cemerlang.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat kepada warga PDRM untuk terus berusaha dengan lebih gigih di masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














