fbpx
SEORANG warga emas diperdaya lelaki yang mendakwa dirinya bomoh mengubati penyakit. GAMBAR HIASAN

Wanita ditipu RM4,000 Pak Aji mahu buang jin dalam badan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga emas mendakwa diperdaya seorang bomoh yang mengenakan bayaran lebih RM4,000 kononnya sebagai kos ‘perubatan’ termasuk rawatan menangkap dan membuang jin dari badan suami mangsa, baru-baru ini.

Menurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Kak Cik berusia lingkungan 60-an, dia pergi mendapatkan rawatan dengan bomoh wanita di sebuah daerah di negeri ini kira-kira seminggu lalu selepas dicadangkan seorang rakan.

“Suami baru sahaja keluar wad sebuah hospital swasta kerana penyakit kencing manis dan darah tinggi. Keadaannya masih tidak baik kerana kerap muntah dan sakit perut.

“Bila rasa lemah dan semakin sakit, suami ajak pergi buat rawatan dengan seorang bomoh selepas ada rakannya beritahu bomoh itu boleh berubat,” katanya di sini semalam.

Katanya, semasa proses rawatan, bomoh berusia lingkungan 60-an yang membahasakan dirinya sebagai Pak Aji mendakwa terdapat dua jin dalam badan suaminya selepas terkena santau kononnya dihantar rakan atau
jiran.

“Saya dan suami terkejut dan rasa pelik kerana kami tidak pernah bergaduh atau bermusuh dengan sesiapapun selain jiran di kawasan perumahan baik-baik belaka.

“Walaupun tidak bersetuju dengan kata-kata bomoh itu, saya hanya diam dan tengok sahaja proses rawatan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, bomoh itu hanya duduk di atas sofa di ruang tamu rumahnya, manakala suami diminta duduk sambil berzikir di bawah dengan terdapat tiga lelaki berada di belakang suami untuk proses rawatan.

“Tiga lelaki dipercayai pembantu bomoh itu membuat aksi seperti menolak sesuatu kononnya untuk membuang jin dari dalam badan suami ke dalam telur yang diletakkan di hujung kaki,” katanya.

Dakwanya, Pak Aji itu hanya dilihat terkumat-kamit dan berzikir sepanjang proses rawatan.

“Dia juga ada beritahu kalau nak bagi ayat Kursi kepada pesakit untuk diamalkan, dukun atau bomoh itu kena ada ‘ijazah’ dulu sebelum boleh berbuat demikian,” jelasnya.

Selesai proses membuang jin, suaminya kemudian dimandikan dengan daun dan bunga sebelum pinggang diikatkan dengan benang berwarna kuning.

“Selesai semua rawatan, bomoh itu beritahu saya perlu bayar RM3,670 sedangkan pada masa itu saya hanya bawa duit RM1,000.

“Saya dan suami beritahu tiada duit dan dia beritahu dia mahu juga wang itu dan kata kepada saya nak berubat pun berkira?

“Ketika itu saya rasa nak menangis dan saya terpaksa minta bantuan anak-anak dan menantu untuk menjelaskan baki kos tersebut,” katanya.

Selang seminggu selepas itu, suami ajak pergi semula ke rumah bomoh itu untuk putus ubat termasuk membuang benang pada pinggang.

“Dengan berat hati, saya telefon bomoh itu dan dia beritahu tak akan kenakan apa-apa bayaran lagi. Jadi saya turutkan sahaja permintaan suami itu.

“Saya pergi dan kali ini Pak Aji jampi pada garam kasar dan meramas-ramasnya kira-kira seminit
dan saya terkejut dia minta putus ubat RM777,” dakwanya.

Katanya, walaupun marah dan tidak berpuas hati, dia tetap membayar kos rawatan itu dan pulang ke rumah.

“Saya rasa sakit hati dan sesal kerana pergi buat rawatan di bomoh itu dan setakat ini, saya hanya mengadu perkara ini kepada aktivis masyarakat, Natipah Abu.

“Suami pula enggan berbual tentang perkara ini kerana dia masih tertekan dengan penyakit yang dialaminya.

“Saya kasihankan suami, orang yang tidak sihat ini akan ikhtiar pelbagai cara dan akhirnya terjebak dalam penipuan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN