KELUARGA Azraie Abdul Hak, 43, bukan asing lagi dalam dunia pertandingan tilawah al-Quran, baik dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Bapanya, Datuk Abdul Hak Abdullah pernah muncul johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di negara ini sebanyak empat kali, manakala Azraie merupakan johan pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa Kuwait pada 2018. Isterinya, Sarrul Munirah Haris, 40, yang berkhidmat sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pula menjadi johan pertandingan Tilawah Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada 2014.
Kecemerlangan pasangan itu diteruskan putera dan puteri mereka iaitu Athirah Azraie, 19, Ahmad Asyraf Azraie, 18, serta Ahmad Abrar Azraie, 16, yang muncul johan Tilawah Al-Quran Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan pada 2016, 2017 dan 2019 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sementara Arifah Azraie, 13, pula dinobatkan naib johan Tilawah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) peringkat kebangsaan 2020, manakala Ahmad Azfar, 11, johan pertandingan sama bagi 2021 dan 2022.
Terbaharu, keluarga itu sekali lagi mengharumkan nama negara selepas Ahmad Azfar menjuarai Musabaqah Tilawah Al-Quran Mazamir Dawud Edisi Ketujuh kategori bawah 15 tahun yang berlangsung di Algeria pada 10 hingga 20 Disember tahun lalu.
Terdahulu, semasa era pandemik pada 2021, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang itu mengecapi kejayaan pertamanya di peringkat antarabangsa apabila muncul naib johan Tilawah Tijan Nour Qatar yang dijalankan secara dalam talian.

Menurut Azraie, dia dihubungi pihak penganjur iaitu TV Syuruq Algeria pada Oktober tahun lalu yang mempelawa anaknya bertanding di negara tersebut dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh tuan rumah.
Kata guru Pendidikan Islam di SK Bukit Beruang itu, seramai 50 peserta dari seluruh dunia terpilih untuk menyertai pertandingan realiti itu, tetapi 18 orang sahaja yang mara ke pusingan akhir setelah melalui proses tapisan awal yang ketat.
“Pihak penganjur mencari kanak-kanak yang memiliki bakat membaca al-Quran menerusi pelbagai video yang pernah tular di seluruh dunia. Video Ahmad Azfar membaca al-Quran bersama datuknya di dalam kereta pernah tular suatu ketika dahulu. Mungkin dari situ pihak penganjur mahu dia turut serta,” katanya kepada Panorama ketika ditemui di rumah mereka di Jasin.
Penyertaan Ahmad Azfar di benua Afrika itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

Seawal peringkat saringan lagi, Ahmad Azfar sudah menonjolkan ciri-ciri seorang juara selepas bacaannya mendapat markah tertinggi sekali gus meraih Anugerah Emas yang menjamin tempat ke peringkat akhir.
Bagaimanapun, anak kelima daripada tujuh beradik itu tetap perlu bersaing dengan 18 peserta lain dan mengharungi cabaran yang berbeza pada setiap pusingan.
Kata Azraie, para peserta mempunyai masa yang terhad untuk berlatih kerana pihak penganjur akan memaklumkan ayat al-Quran yang perlu dibaca keesokannya selepas setiap pusingan tamat.
“Dapat tahu sahaja dia layak ke pusingan seterusnya, malam itu juga saya melatihnya untuk menjiwai dan memantapkan bacaan. Seiring usianya yang meningkat dewasa, saya perbaiki sedikit bacaan sahaja memandangkan dia telah dilatih seawal umur empat tahun lagi,” jelasnya.

Para juri yang mengadili pertandingan itu turut berasa kagum dengan lontaran, lenggok serta gaya Ahmad Azfar melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dianggap mereka seperti bacaan orang dewasa.
Malah, seorang juri terkemuka dari Mesir tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika mendengar bacaan qari cilik itu pada peringkat akhir.
Setelah mengharungi empat pusingan, Ahmad Azfar akhirnya dipilih sebagai pemenang setelah menewaskan peserta dari Indonesia.
Azraie berharap kejayaan tersebut akan memberi motivasi kepada Ahmad Azfar dan menjadi sumber inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama melazimi bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
Sementara itu, Ahmad Azfar memberitahu, dirinya selalu berlatih mengaji al-Quran terutamanya setiap selepas solat maghrib.
“Lazimnya sebelah siang, saya belajar akademik biasa, sebelah malam pula selepas maghrib masa difokuskan kepada al-Quran.
“Ayah, ibu serta datuk saya banyak memberi motivasi untuk berjaya. Petua saya berjaya adalah dengan sentiasa melazimi bacaan al-Quran,” katanya yang bercita-cita menjadi Imam Masjid Negara.














