ALOR SETAR – Kerajaan akan terus mengimport bekalan telur dari luar negara sehingga krisis pengeluaran barang keperluan itu dapat diatasi sepenuhnya.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, pemberian permit kelulusan (AP) telur ayam itu juga bersifat sementara sehingga pengimportan bahan itu dihentikan.
“Import ini ada masa tertentu sahaja, bila stabil nanti kita tidak import lagi. Import ini juga bukan kita bagi permit berpanjangan tetapi sementara sahaja untuk stabilkan telur.
“Sehingga kita mendapat jaminan daripada pengeluar telur tempatan bahawa mereka sudah bersedia untuk keluarkan telur secukupnya,” katanya pada sidang akhbar pada Sesi Libat Urus bersama Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Pengkalan Kundor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, bekalan telur ketika ini sudah stabil dengan pemantauan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). – KOSMO! ONLINE