KIA Carnival pertama kali diperkenalkan pada tahun 1998 sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bersaiz penuh.
Pada kebiasaannya, kategori MPV bersaiz penuh itu diklasifikasikan berdasar saiz yang ditawarkan, di samping tempat duduk barisan ketiga yang selesa untuk orang dewasa.
Pada ketika itu, model Kia Carnival ini juga popular di Malaysia kerana menawarkan ruang yang selesa di bahagian penumpang dan pemanduan.
Tidak mustahil juga, pengedar Kia sebelum ini telah menjenamakannya semula dengan nama Naza Ria memandangkan permintaan yang menggalakkan.
Bagaimanapun, ketika Kia di peringkat global memperkenalkan generasi kedua model tersebut, di Malaysia ia tiada sehinggalah generasi ketiga diperkenalkan pada tahun 2017.
Pada awal tahun 2022 melalui pengedar baharu, Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. telah melancarkan generasi keempat dengan menawarkan varian berkonfigurasi 11 tempat duduk.
Beberapa bulan selepas itu, pihak pengedar melancarkan pula varian lapan dan tujuh tempat duduk pada harga bermula RM229,888.
Kia Carnival generasi keempat ini dikategorikan sebagai Grand Utility Vehicle (GUV).
Secara keseluruhan, Dinamikjaya Motors menawarkan empat varian untuk pembeli sebagai pilihan iaitu 11 seater, 8-seater Mid, 8-seater High dan 7-seater High. 8-seater Mid merupakan varian yang lebih rendah daripada 8-seater High. Sebagai contoh, Mid mempunyai paparan infotainment yang lebih kecil dan kurang kelengkapan teknologi keselamatan berbanding High.
Dalam kolum Garaj minggu ini, penulis memberi fokus kepada varian 8-seater High yang dipasang di kilang di Kulim, Kedah.

Kia Carnival ini menggunakan enjin 2.2 liter turbo diesel dengan transmisi lapan kelajuan automatik. Kombinasi tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 199hp dan tork tertinggi 440Nm yang secara tidak langsung menawarkan pengalaman pemanduan menyeronokkan.
Model ini direka dan dibina dengan seni bina dan penampilan telah dipertingkat menggunakan reka bentuk menyeluruh yang menghubungkan semua identiti reka bentuk Kia.
Carnival menampilkan ‘wajah harimau’ baharu yang disepadukan dengan jeriji ikonik ‘hidung harimau’ Kia.
Jeriji dan lampu utama di bahagian depannya ditakrifkan oleh perincian berketepatan tinggi dan kemasan krom di atas jerijinya yang membentuk garis watak di sekeliling muka GUV ini.
Antara ciri menariknya seperti lampu belakang LED, sistem audio 12 speaker jenama Bose, sistem infotainment berukuran 12.3 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon tanpa wayar serta tujuh port USB.
Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dilengkapi sistem pemanas dan penyejuk,namun hanya tempat duduk pemandu yang dilengkapi Driver Memory Seat.
Model ini juga menawarkan ciri-ciri unik dan inovatif, contohnya pintu gelongsor pintar dan pintu but yang akan tutup sendiri apabila pemegang kunci beredar.
Antara ciri keselamatan ditawarkan ialah High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision Warning (BCW), Blind-Spot Collison- Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Lane KeepingAssist (LKA).
















