PETALING JAYA – Permintaan biskut raya sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini masih mendapat sambutan daripada pelanggan walaupun terdapat kenaikan harga jualan berikutan peningkatan kos bahan mentah.
Rata-rata pengguna masih memilih untuk menempah biskut raya daripada peniaga berbanding membeli di pasar raya yang harganya jauh lebih murah.
Seorang pegawai eksekutif, Fatin Nabila, 30, berkata, dia mengakui terdapat kenaikan harga biskut raya, tetapi perbezaannya tidak begitu ketara sehingga boleh membebankan mereka.
“Memang ada kenaikan harga untuk biskut raya pada tahun ini sekitar RM2 ke RM3. Bagi saya ia tidak begitu ketara dan wajar kerana kebanyakan bahan mentah untuk membuat biskut sudah mengalami kenaikan harga.
“Sebagai pengguna, asalkan kenaikan itu tidak begitu melampau, saya tetap akan membeli biskut raya yang premium.
“Kebiasaannya saya menghabiskan sekitar RM300 ke RM400 untuk membeli pelbagai jenis biskut raya,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Nur Aina Halim, 29, memberitahu, kenaikan harga biskut raya menjelang sambutan Aidilfitri pada April ini sudah dijangka.
“Sejak hujung tahun lalu lagi, ramai peniaga mengeluh sukar untuk mendapatkan bekalan telur ayam, jadi dari situ saya sudah jangka mesti akan ada kenaikan harga biskut raya.
“Saya sudah siapkan bajet secukupnya untuk membeli kuih raya dan tempahan juga sudah dibuat,” ujarnya.
Bagi seorang operator kilang, Farah Syahidah Musa, 35, pula berkata, meskipun biskut raya ditempahnya naik harga, ia tetap menjadi pilihan kerana lebih berkualiti berbanding membeli kuih raya di pasar raya.
“Jika mahu biskut raya yang sedikit rendah harganya, memang ada dijual di pasar raya, tetapi saya lebih gemar tempah daripada peniaga yang saya sudah dikenali kerana rasanya lebih sedap dan premium.
“Kalau kita buat sendiri biskut raya, kos yang dikeluarkan lebih kurang sama dengan perbelanjaan untuk membeli kuih raya.
“Lagipun bukan semua orang ada masa untuk membuat biskut raya sendiri walaupun tidak bekerja. Lebih baik kita tempah sahaja, jimat masa dan tidak perlu susah payah,” katanya.















