KEMASUKAN ke wad terutama melibatkan kanak-kanak dilaporkan sesak ekoran terlalu ramai pesakit dan kekurangan jururawat untuk membuka katil tambahan di hospital swasta. – GAMBAR HIASAN

Hospital swasta sesak, jururawat tak cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu kesesakan untuk mendapatkan rawatan kini berlarutan di kebanyakan hospital swasta terutama di Lembah Klang apabila ramai mendakwa terpaksa menunggu berjam-jam untuk kemasukan ke wad.

Lebih memeritkan apabila terdapat pesakit yang terpaksa menunggu antara lapan hingga 24 jam selepas hospital swasta telah mencapai kapasiti maksimum had katil.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh ketika dihubungi turut mengakui berlaku kesesakan untuk kemasukan ke wad di premis kesihatan.

Katanya, antara punca kesesakan ialah ramai pesakit terutama golongan T20 yang berkemampuan mendapatkan rawatan di hospital swasta pada masa kini.

“Selain itu, antara sebab kesesakan ialah hospital swasta tidak boleh sewenang-wenangnya membuka katil untuk kemasukan pesakit di wad kerana perlu mematuhi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

“Kebanyakan hospital swasta kekurangan jururawat. Katil tidak boleh ditambah sesuka hati walaupun hospital mempunyai infrastruktur melainkan jika mempunyai jururawat yang mencukupi,” katanya ketika di­hu­­bu­ngi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Kuljit, terdapat ke­adaan di mana pesakit tidak dapat dihantar ke hospital swasta lain disebabkan wad sudah penuh dan kekurangan jururawat untuk membuka katil tambahan.

Tambahnya, tempoh me­nunggu kemasukan ke wad melebihi lapan jam dan mereka tidak boleh membantu kerana rata-rata hospital swasta sudah penuh.

“Jabatan kecemasan juga penuh, sedangkan pesakit-pesakit ini mampu untuk mendapatkan penjagaan kesihatan swasta,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kuljit menggesa kerajaan membantu hospital swasta untuk mendapatkan khidmat jururawat luar negara memandangkan ketika ini hanya mereka yang mempunyai kepakaran sahaja dibenarkan.

“Kerajaan perlu melakukan pembaharuan dalam penjagaan kesihatan awam sekali gus memudahkan mereka yang tidak mampu mendapatkan rawatan. Kita perlu melakukan yang terbaik mengikut peraturan dalam struktur yang telah ditetapkan,” katanya.

Di Pulau Pinang, seorang kakitangan kerajaan, Suhaida Ab Aiman, 39, berkata, dia pernah menunggu semalaman di sebuah hospital ketika membawa anak sulungnya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

Katanya, keadaan terlalu sesak di wad kanak-kanak terutama ketika musim demam atau penularan virus seperti Influenza A.

“Bukan sahaja orang tempatan, warga asing terutama dari Indonesia juga pergi hospital swasta seawal pukul 9 pagi.

“Namun pada hari itu, kami terpaksa pulang semula ke rumah setelah dimaklumkan tiada katil kosong di wad kanak-kanak. Ketika itu ramai waris menunggu di pekarangan hospital,” katanya.

Menurut Suhaida, melihatkan badan anaknya yang semakin lesu dan kesejukan kerana terpaksa menunggu lama, dia kemudian mengambil keputusan untuk pergi ke klinik lain.

“Saya pilih hospital swasta kerana persekitaran yang kondusif, selesa dan berbaloi walaupun mahal tetapi sesak juga,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Norizana Shahid, 45, pula membe­ritahu, dia tidak lagi pergi hospital swasta untuk anaknya berusia setahun kerana tidak sanggup menunggu lama.

“Sama sahaja dengan hospital kerajaan. Mungkin ramai ibu bapa yang datang membuat temu janji dengan pakar pada waktu pagi atau itu sahaja masa sesuai untuk pakar bertemu pesakit.

“Suasana di luar klinik kanak-kanak dalam hospital swasta memang ramai. Pernah saya datang buat pendaftaran terlebih dahulu dan tinggalkan anak kecil di rumah sementara giliran kami tiba,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN