Memasuki usia lebih enam dekad, perniagaan rojak Ibrahim di Jalan Pasar Kuala Pilah, Negeri Sembilan terus bertahan serta masih menjadi sebutan ramai.
Bukan hanya penduduk setempat, penduduk dari luar juga menjadikan kedai itu yang terletak berhampiran Pasar Besar Kuala Pilah sebagai lokasi wajib dikunjungi.
Bahkan, kedai tersebut juga pernah dikunjungi Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri suatu masa lalu, selain wakil rakyat setempat.
Menurut pengusahanya, Mohamad Rafi Ibrahim, 58, dia berasa sangat gembira apabila rojak di lokasi tersebut sejak tahun 1955 masih dicari-cari oleh orang ramai walaupun dia hanyalah penyambung legasi perniagaan keluarganya.
“Kalau hari biasa tak adalah ramai tapi pelanggan sentiasa ada. Bila hujung minggu atau cuti umum memang tak menang tangan sebab pelanggan yang datang bukan dari sini saja, bahkan dari luar.
“Biasa kalau hari cuti, pelanggan yang datang lebih 300 orang dan terpaksa beratur,” katanya kepada Panorama ketika ditemui di Kedai Mee & Rojak Ibrahim Kuala Pilah.
Rojak tersebut juga dikenali sebagai Rojak Ibrahim atau Rojak Berahim dalam kalangan peminat.
Ujarnya lagi, disebabkan tidak mahu menghampakan pelanggan setia mahupun pelanggan yang baru saja ingin merasa menu rojak di kedainya, kedai tersebut hanya ditutup sehari dalam sebulan iaitu hari Khamis minggu kedua.
“Kadang orang datang dari Seremban, dari jauh, jadi kalau kita selalu tutup susahlah… hampa lah mereka datang tapi tak buka,” katanya.
Menurut Mohamad Rafi, rojak yang ditawarkan ialah dua jenis iaitu rojak mi atau rojak kuih.
Keistimewaan menu rojak yang ditawarkan di kedai tersebut pula adalah dua jenis kuah yang disediakan iaitu kuah manis dan kuah pedas.
“Rojak yang kita jual ni berbeza dengan yang ada di tempat lain, ia resipi ayah saya.
“Kita tak guna kacang dalam kuah rojak kerana bahan utamanya ialah biskut marie. Bahan ini akan memberikan rasa manis dan kuahnya lebih pekat,” kata Mohamad Rafi.
Menurutnya, setiap hari, dia dibantu lima pekerja yang akan menggunakan sekurang-kurangnya 20 kilogram (kg) tepung bagi penyediaan kuih rojak selain bahan-bahan seperti timun, kentang dan juga mi.
“Jumlah bahan akan meningkat lagi mengikut bilangan pelanggan yang datang di kedai ini yang beroperasi seawal pukul 8 pagi hingga 4.30 petang,” katanya.
Menceritakan mengenai asal usul perniagaan tersebut, Mohamad Rafi berkata, ia merupakan perniagaan keluarga yang dimulakan arwah datuknya, Abdul Aziz Nana, yang datang dari Gujarat, India menaiki kapal layar ke Kuala Pilah sekitar tahun 1920-an.
Menurut Mohamad Rafi, arwah datuknya datang ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki dan memilih Kuala Pilah berbanding Pulau Pinang atau tempat lain bersama beberapa rakan senegara.
“Kebanyakannya memang cuba berniaga. Macam arwah datuk meniaga pelbagai jenis makanan serta lauk-pauk dan nasi. Ada rakan datuk yang mengusahakan jahitan songkok dan ada juga usahakan perniagaan roti canai.
“Namun, yang kekal hanyalah perniagaan rojak kami ini yang resipinya diturunkan datuk kepada ayah saya, Ibrahim Abdul Aziz hasil perkahwinan datuk dengan penduduk di Kampung Padang Lebar, Batu Kikir iaitu Jaharah Ahmad,” katanya.

Jelasnya, datuknya mempunyai empat orang anak, namun tiga adik bapanya yang kesemuanya lelaki meninggal dunia semasa masih kecil pada zaman Jepun kerana kebuluran.
“Namun, semangat berniaga datuk membuatkan ayah juga menyambung legasi tersebut dengan berniaga di sini (Jalan Pasar Kuala Pilah) sejak tahun 1955 hinggalah sekarang,” katanya.
Ujarnya lagi, sehingga ke hari ini dia berasa sangat gembira dan juga bertuah apabila nama Rojak Ibrahim masih disebut-sebut orang.
“Semuanya adalah daripada jasa baik arwah ayah saya, dia yang mulakan. Kemudian selepas ayah meninggal dunia pada tahun 1984, arwah ibu saya, Fatimah Ali pula mengambil alih perniagaan ini.
“Saya ambil alih pula pada tahun 2000. Saya cuma menyambung perniagaan ini… syukurlah, alhamdulilah. Bila orang sebut Rojak Ibrahim, kita pun gembira,” katanya.
Menurut Mohamad Rafi, selain dirinya, resipi rojak berkenaan juga diketahui ahli keluarga yang lain seperti adik ipar, Kahirul Azmi Mohd. Yunus, 45, anak-anak saudara serta anaknya sendiri.
Sementara itu, bagi Kahirul, dia sudah bekerja di kedai berkenaan sejak zaman bujang lagi sebelum berkahwin dengan adik Mohamad Rafi.
Menurutnya, melihat kepada sambutan menggalakkan daripada orang ramai, dia berasa sangat bersyukur kerana dapat meneruskan perniagaan tersebut bersama abang iparnya.
“Memang susah juga untuk dapat hasilkan rasa kuah yang sama pada setiap hari, namun kita akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan keistimewaan menu rojak yang dijual sejak sebelum kemerdekaan negara lagi,” katanya.
Bagi pasangan suami isteri, Suhairi Ahmad, 46, dan Hayati Othman, 42, mereka menjadikan perniagaan Rojak Ibrahim sebagai inspirasi buat mereka yang baharu sahaja lima tahun berniaga kedai makan.
Menurut Hayati, dia yang berasal dari Melang sejak dari kecil lagi sudah dibawa keluarganya makan di kedai tersebut dan sehingga kini dia pula membawa tiga anaknya ke kedai berkenaan pada setiap bulan.
“Dari zaman kecil, bujang hinggalah dah ada tiga anak berusia 16 hingga 19 tahun. Ini kedai kegemaran saya sebab rasa rojaknya tak sama dengan tempat yang lain.
Bagi Suhairi pula yang berasal dari Morib, Selangor, lokasi tersebut menjadi lokasi wajib dikunjungi oleh saudara-maranya sekiranya datang ke Kuala Pilah.
“Bukan hanya dikenali penduduk di Kuala Pilah, negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor juga tercari-cari Rojak Ibrahim ini termasuklah saudara-mara saya.
“Rasa bangga sangat kerana secara tak langsung Rojak Ibrahim ini menjadi salah satu tarikan di Kuala Pilah,” katanya.
Bagi seorang lagi pelanggan, Ah Chuan, 67, dari Dioh, Kuala Pilah, Rojak Ibrahim sudah tidak asing lagi buatnya apabila sejak dari kecil lagi dibawa bapanya ke kedai tersebut.
“Bila teringat saja dan rasa nak makan, saya pasti akan datang ke sini,” katanya.
















