VOLVO Car Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) XC90 yang telah dipertingkat dengan beberapa ciri-ciri menarik termasuk lebih berkuasa dan lebih jimat petrol.
Dari sudut luaran, reka bentuknya tidak banyak perbezaan berbanding versi sebelumnya, melainkan kemasan-kemasan yang diperhalusi bagi kelihatan ‘lebih tampan’.
Kali ini dua varian ditawarkan iaitu XC90 Recharge T8 Ultimate dan XC90 B5 Ultimate sebagai pilihan. Varian XC90 Recharge T8 Ultimate menggunakan enjin jenis Plug-in Hybrid, manakala XC90 B5 Ultimate pula menggunakan enjin jenis Mild Hybrid.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji sendiri varian XC90 Recharge T8 Ultimate.
Apa yang menarik ditawarkan pada varian ini ialah kuasa maksimum dan tork yang lebih tinggi daripada sebelum ini.
SUV ini menggunakan enjin 2.0 liter turbo dengan supercaj dan motor elektrik.
Versi sebelum ini menghasilkan kuasa maksimum 407hp pada 5,700rpm, manakala tork maksimum 640Nm mampu dicapai antara 1,200 hingga 5,400rpm. Namun, SUV ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 462hp dan tork tertinggi 709Nm. Macam supercar!
Kadar pecutannya dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.3 saat sahaja, 0.3 saat lebih pantas daripada versi sebelum ini.
Walaupun angka-angka yang disebut tadi nampak gah, tetapi atas dasar keselamatan seperti model Volvo lain, kelajuan maksimum disekat sekadar 180km/j.
Volvo juga mendakwa model ini hanya menggunakan 1.8 liter untuk perjalanan sejauh 100 kilometer (km). Jimat bukan untuk sebuah SUV bersaiz penuh? Sekadar makluman, model ini menggunakan tangki petrol bersaiz 71 liter.
Dari segi mod pemanduan, model ini menawarkan lima mod pemanduan iaitu Pure, AWD, Hybrid, Power dan Off Road.
Pemandu boleh memilih mod pemanduan yang akan mengubah karakter SUV ini.
Perubahan karakter itu termasuk ketinggiannya, sebagai contoh jika memilih mod Off Road ketinggian SUV ini akan meningkat dan jika memilih power, SUV ini akan menjadi rendah. Ciri-ciri ini memang menarik.

Di atas kertas untuk pemanduan dengan mod Pure, XC90 Recharge T8 Ultimate mampu bergerak dengan bateri motor elektrik sejauh 77km. Kenderaan ini juga merupakan pacuan semua roda (e-AWD).
Masuk ke ruang dalaman, masih kelihatan sama, tetapi ciri paling menarik perhatian penulis ialah sistem infotainment baharu yang menawarkan sistem navigasi terbaik dalam kelasnya.
Model XC90 Recharge Ultimate ini hadir bersama peta Google dengan maklumat trafik yang sentiasa dikemas kini untuk membantu anda sampai ke destinasi dengan lebih mudah.
Anda juga boleh berkomunikasi dengan Google dalam SUV ini untuk mendapatkan bantuan bebas tangan selain dapatkan arah dengan mudah. Nikmati hiburan dan terus berhubung dengan rakan, keluarga dan rakan sekerja dengan cuma menyebut ‘Hey Google’ untuk bermula.
Pemandu dan penumpang juga masih boleh kekal berhubung dengan kehidupan digital. Google Play dalam model ini membolehkan anda menikmati aplikasi dan perkhidmatan yang membuatkan perjalanan lebih menghiburkan.
Dengan semua data yang disertakan, pakej perkhidmatan digital itu dengan mudah menyelaraskan anda dengan kehidupan digital.
Teknologi baharu yang ditawarkan ini akan memberi tambah nilai kepada pemilik model ini kerana anda akan mendapat aplikasi kegemaran anda seperti Google Assistant, Peta Google dan banyak lagi di Google Play terus di dalam kereta anda untuk pengalaman pemanduan yang berguna, diperibadikan dan lancar.
Sistem infotainment canggih tidak lengkap rasanya tanpa sambungan Apple CarPlay dan Android Auto selain sistem audio jenama Bowers & Wilkins®️ dengan 19 pembesar suara. Ya, Volvo Car Malaysia bagi sekali!
Volvo Car Malaysia menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dan lapan tahun atau 160,000km jaminan untuk bateri PHEV.
















