fbpx

Harga sayur naik sekali ganda musim cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gerai sayur di RTC Tunjong kini kurang mendapat sambutan.

PETALING JAYA – Faktor cuaca serta musim cuti persekolahan mengakibatkan harga beberapa jenis sayur di Kelantan, Terengganu dan Shah Alam mengalami kenaikan mendadak lebih sekali ganda sejak awal minggu ini.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Batu Enam, Kuala Nerus semalam mendapati, harga timun, sawi, daun sup, petola, lada dan cili melonjak naik.

Peniaga sayur, Fazuni Abd. Rashid berkata, harga timun naik kepada RM7/kilogram (kg) berbanding RM3 sebelum ini, daun sup naik kepada RM21/kg daripada RM10, manakala daun bawang kini dijual pada RM15/kg, lada besar (RM13/kg) dan salad (RM2/kg).

Menurutnya, harga dijangka terus melambung disebabkan permintaan tinggi ketika cuti sekolah, selain faktor bekalan tidak menentu gara-gara cuaca.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, harga sayur akan melam­bung pada Disember apabila bekalan kurang disebabkan cuaca, manakala permintaan pula tinggi kerana ramai mahu buat ken­duri,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! semalam.

Di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, kebanyakan peniaga sayur mengaku tersepit setelah mendapat bekalan daripada pemborong pada harga lebih tinggi.

Seorang peniaga, Idris Mamat, 45, berkata, dia sebelum ini menjual sawi dan kailan pada RM3.50/kg, namun terpaksa menaikkan harga jualan kedua-dua sayur tersebut kepada RM7/kg.

“Keadaan ini mengakibatkan ramai pengguna merungut. Ada yang membeli pada kuantiti lebih sedikit, namun kebanyakannya tidak lagi mahu membeli sayur-sayuran,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Hasnah Che Soh, 57, turut mengaku jualan di gerainya semakin merosot sejak akhir-akhir ini setelah orang ramai dilihat mula bertukar selera setelah harga sayur-sayuran naik mendadak.

“Pelanggan kini lebih berminat membeli ulam-ulaman kampung seperti kacang botol, ulam raja dan pucuk paku kerana harga jualannya lebih murah iaitu sekitar RM1 hingga RM2 seikat,” jelasnya.

HIDIR ALI (kanan) terpaksa menjual sayur pada harga lebih tinggi berdasarkan harga bekalan daripada peraih.

Sementara di Pasar Moden Seksyen 16, Shah Alam, peniaga sayur, Hidir Ali Razali menjelaskan trend kenaikan harga dijang­ka berterusan sehingga musim tengkujuh berakhir.

“Bayangkan hanya pada beberapa minggu lalu, saya menjual sawi, kangkung dan bayam pada RM3/kg, sekarang naik kepada RM8/kg.

“Kenaikan sebegini sebenarnya sudah menjadi lumrah dalam kalangan peniaga setiap kali musim tengkujuh. Cuma kami perlu memberi penjelasan sebaik­nya kepada pe­langgan kenapa berlaku kenaikan sedemikian,” katanya.

Menurut Hidir, tidak hanya sayur, harga ikan juga turut meng­alami kenaikan ketika ini.

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi bagi mengelakkan kenaikan mendadak harga barangan makanan sehingga membebankan orang awam terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI