JOHOR BAHRU – Umurnya baru 18 tahun, namun seorang remaja tekad menjadi ejen judi dalam talian bagi Piala Dunia Qatar semata-mata untuk mengejar keuntungan enam angka.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, remaja lelaki itu merupakan antara 29 individu yang ditahan selepas disyaki menjadi bookie sindiket pertaruhan Piala Dunia.
Menurutnya, tangkapan itu hasil operasi dan serbuan Ops Saga di seluruh negeri ini dan kebanyakannya melibatkan premis di pusat bandar.
“Sehingga 1 Disember, polis Johor telah merampas wang tunai sebanyak RM21,166 dan kredit limit yang mencecah sehingga RM2,763,000.
“29 individu yang diberkas merupakan penganjur atau bookie yang menawarkan judi kepada kaki judi. Paling muda yang kita tangkap berusia 18 dan paling tua adalah lelaki berusia 57 tahun,” katanya kepada Kosmo!.
Kamarul Zaman berkata, kebanyakan bookie menjadikan kedai kopi, kopitiam serta restoran mamak sebagai ‘pusat’ operasi mereka dalam usaha mengaburi mata pihak berkuasa.
Jelasnya, premis-premis berkenaan menjadi sasaran berikutan senang untuk beroperasi dan mendapatkan duit dengan kehadiran ramai pelanggan yang mahu bersama-sama menonton perlawanan bola sepak. -KOSMO! ONLINE














