fbpx
Pelancong menaiki beca sebagai salah satu tarikan pelancongan di Pulau Pinang.

Pengusaha hotel mula sibuk, 80 peratus bilik sudah ditempah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tempahan bilik hotel di Pulau Pinang dan Ne­geri Sembilan sepanjang Disember ini hampir penuh sempena musim cuti persekolahan hujung tahun pada minggu depan.

Dikatakan bulan Disember ini merupakan bulan paling sibuk bagi industri perhotelan kerana mene­rima tempahan yang tinggi selepas pandemik melanda negara.

Di George Town, Pulau Pinang, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, Disember merupakan bulan yang paling sibuk buat industri perhotelan di negeri itu sejak dari dahulu sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

“Bulan Disember dijangka menjadi bulan yang paling baik buat industri perhotelan di Pulau Pinang kerana kita jangka negeri ini menjadi tumpuan pelancong.

“Pada masa ini, tempahan bilik hotel di hotel-hotel telah meningkat sehingga 80 peratus, dan ia dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun ini kerana cuti persekolahan dan cuti pe­rayaan,” katanya ketika dihubu­ngi di sini semalam.

Menurut Tony, selain itu, ­pe­l­­bagai acara yang dirancang se­perti Penang Bridge International Marathon yang berlangsung pada 11 Disember ini juga merancakkan tempahan hotel di Pulau Pinang.

“Acara-acara seperti ini amat membantu industri perhotelan kerana banyak tempahan bilik diperoleh menerusi acara-acara sebegini.

“Jadi, sepanjang Disember selain cuti sekolah, acara-acara yang dianjurkan pelbagai pihak turut menyumbang kepada pe­ningkatan tempahan bilik,” katanya.

Dalam pada itu di Seremban, Negeri Sembilan, Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, trend percutian hujung minggu di Port Dickson juga sudah semakin baik selepas pandemik Covid-19.

“Tempahan hotel di Negeri Sembilan khususnya di Port Dickson dijangka naik lebih 80 peratus dengan jangkaan keha­diran kira-kira 20,000 pelancong sempena cuti sekolah,” jelasnya.

Tambahnya, banyak hotel menerima tempahan penuh pada hujung minggu yang mana secara tidak langsung dapat memulihkan kembali keadaan kewangan hotel yang terjejas teruk semasa pandemik Covid-19.

“Berdasarkan kehadiran pelancong hujung minggu ini, kita anggarkan peningkatan lima kali ganda pelancong. Port Dickson sentiasa menjadi destinasi pilihan seisi keluarga kerana terletak dekat dengan Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tiada lagi syarat ketat Co­vid-19, kita yakin lebih ramai pelancong ke Port Dickson ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN