PERASAAN lelaki berusia 34 tahun itu mula bimbang saat diberitahu agar berpindah dari Kuala Lumpur ke Putrajaya kira-kira 12 tahun lalu.
Mohd. Izwan Mohd. Sani bimbang sekiranya suasana di Putrajaya tidak semeriah seperti di ibu kota yang menawarkan pelbagai kemudahan.
Dia yang berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri diarahkan berhijrah ke pusat pentadbiran kerajaan itu disebabkan tuntutan tugas.
Mohd. Izwan diminta supaya menetap di kuarters kerajaan di Presint 11 bagi memudahkannya berulang-alik ke pejabat yang terletak di Presint 1.
Selepas beberapa tahun menetap di situ, ternyata andaian awal bapa kepada tiga cahaya mata itu terhadap Putrajaya meleset sama sekali.

“Di Putrajaya, kehidupan saya dan keluarga menjadi lebih tenang dan selesa berbanding ketika tinggal di Kuala Lumpur yang terlalu padat.
“Jalan raya di sini juga tidak terlalu sesak seperti di ibu kota, jadi apabila memandu anda akan rasa lebih santai,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Mula dibina pada tahun 1995, Putrajaya atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur secara rasminya pada 1999.
Terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur, Putrajaya adalah sebuah bandar raya pintar di dalam taman yang dipenuhi tumbuhan hijau.
Menurut Mohd. Izwan, Putrajaya turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang diperlukan oleh penduduk setempat.
Jelasnya, kemudahan tersebut merangkumi aspek rekreasi, pendidikan, keselamatan, perubatan, sukan, makanan dan parkir.
“Di sini semua ada dan lengkap seperti dewan serbaguna, hospital dan sekolah. Jadi, kami tidak perlu keluar kawasan untuk mendapatkan kemudahan ini.
“Putrajaya juga sudah mempunyai pusat beli-belah besar yang menawarkan pelbagai barangan berjenama iaitu IOI Putrajaya dan Alamanda,” ujarnya.
Mula dibina pada tahun 29 Ogos 1995, Putrajaya yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar berubah daripada kawasan estet getah dan kelapa sawit kepada sebuah bandar ikon.
Pada tahun ini, Putrajaya meraikan Sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 bandar raya tersebut pada 29 Ogos lalu.
Salah seorang perancang bandar terawal yang terlibat merancang Putrajaya, Datuk Shahoran Johan Ariffin, 68, berkata, bandar tersebut sentiasa dekat di hatinya.
Jelasnya, dia bersama beberapa lagi pegawai telah diletakkan pada tahun 1990 dalam Unit Perancangan dan Pembangunan Pusat Pentadbiran Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Peringatan amanah
“Melalui unit ini, saya terbabit meninjau beberapa tempat yang dikenal pasti berpotensi dijadikan pusat pentadbiran baharu menggantikan Kuala Lumpur.

“Antara tempat yang dikenal pasti adalah Janda Baik di Pahang; Jelebu, Negeri Sembilan serta Sepang, Bukit Beruntung dan Prang Besar di Selangor.
“Selepas kajian dibuat, akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohammad (Perdana Menteri ketika itu) memilih Prang Besar kerana lokasi dan bentuk muka buminya,” katanya.
Shahoran berkata, sebelum perancangan dilakukan, dia dan beberapa pegawai telah dihantar membuat kajian di beberapa bandar raya utama dunia seperti Canberra, Australia; Osaka, Jepun dan Rabat, Maghribi.
Jelasnya, setiap kebaikan dan kekurangan yang terdapat di bandar raya tersebut dikenal pasti terlebih dahulu sebelum perancangan dilakukan.
“Waktu itu banyak tempat di dunia kami pergi untuk melihat pusat bandar pentadbiran negara lain. Dari situ, kami membuat pertimbangan mengenai konsep bandar Putrajaya.
“Bagaimanapun, Tun Mahathir mempunyai impian lebih besar. Beliau mahu menjadikan Putrajaya seperti kota Islam zaman silam seperti Andalusia di Sepanyol dan Istanbul di Turki.
Justeru tidak hairanlah sekiranya bangunan pertama dibina di bandar 4,931 hektar itu ialah Masjid Putra, Presint 1, sebagai simbolik kepada keagungan Islam.
Shahoran memberitahu, masjid berkenaan boleh dilihat dengan jelas dari Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra supaya pemimpin dapat mengingati amanah dan tanggungjawab dipikul.
“Putrajaya dibina berdasarkan konsep hubungan tiga hala iaitu antara manusia dengan manusia, antara manusia dengan Allah SWT dan manusia dengan alam sekitar,” ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi sewaktu pembinaan, Shahoran berkata, pihaknya terpaksa memikirkan cara terbaik bagi memastikan air tasik di Putrajaya sentiasa bersih.
Katanya, negara ketika itu tidak mempunyai kepakaran dalam pembuatan tasik di dalam bandar sekali gus memaksa pihaknya mengambil kepakaran asing.
“Kami terpaksa membina Taman Wetland untuk menyingkirkan sedimen dan membersihkan aliran air tercemar dari sungai di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang sebelum air memasuki tasik.
“Jadi tidak hairanlah, air dalam tasik di Putrajaya seluas 300 hektar itu sentiasa bersih dan suci untuk berwuduk sekalipun,” ujarnya yang juga bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya (PPj).
Pembangunan komersial
Bagaimanapun, selepas 25 tahun Putrajaya berkembang, Shahoran berharap pihak PPj dapat membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih baik.
Ujarnya, langkah berkenaan dapat mengatasi masalah kesesakan dan kekurangan parkir yang berlaku di bandar tersebut ketika ini.

Sempena Sambutan Jubli Perak, PPj telah mengeluarkan beberapa barangan khas seperti duit syiling peringatan, setem keluaran khas, buku sejarah pembangunan Putrajaya selain al-Quran Mushaf.
Menurut satu kenyataan PPj, Putrajaya menjadi bandar ikon negara dan contoh kepada pembangunan pusat pentadbiran kerajaan di negara lain.
Katanya, pembangunan Putrajaya adalah seperti dirancang, namun terdapat beberapa perubahan dilakukan mengikut kesesuaian antaranya Perumahan Penjawat Awam serta kemudahan sukan seperti Putrajaya Football City.
“Beberapa tahun pertama selepas dibuka, penduduk Putrajaya hanya berjumlah 20,000 hingga 30,000 dan kini meningkat kepada 120,000 orang.
“Pada fasa pertama pembangunan juga, kami lebih kepada mewujudkan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan sekarang penekanan kepada pembangunan komersial serta pelancongan,” kata kenyataan itu.
Pada tahun lalu, Putrajaya mencatat kunjungan seramai 8.7 juta pelancong dari dalam dan luar negara.
Menariknya, lebih kurang 5.7 juta dari jumlah tersebut adalah pelancong dan pengunjung ke acara-acara yang diadakan di sekitar Putrajaya.
Antara acara ikonik tahunan di Putrajaya adalah seperti Hot Air Balloon Fiesta, Festival Ramadan Putrajaya, FLORIA Diraja, Light and Motion Putrajaya serta acara sukan bertaraf kebangsaan atau antarabangsa.
Menurut kenyataan itu lagi, tarikan utama pelancong di pusat bandar itu adalah bangunan kerajaan yang menjadi mercu di sepanjang Persiaran Perdana.
“Tarikan lain di sini adalah taman-taman meliputi taman wilayah, taman bandar dan taman kejiranan.Ini termasuk Taman Botani, Taman Wetland dan Taman Milenium.
“Tasik, taman, kawasan lapang dan rekreasi di sini berkeluasan 1,930 hektar atau 39.2 peratus daripada keluasan Putrajaya,” terangnya.














