SAH. Pelakon Ha Yeon-soo secara rasmi kini merupakan artis naungan sebuah agensi Jepun demi membina kariernya di negara tersebut.
Yeon-soo menandatangani kontrak eksklusif bersama Twin Planet selaku agensi baharu pada Khamis minggu lalu.
Menurut pelakon berusia 32 tahun itu, dia sudah sedekad berada dalam industri seni di Korea dan akan memulakan langkah baharu di negara asing.
“Saya sudah bekerja sebagai pelakon di Korea selama 10 tahun. Akhirnya saya menandatangani kontrak eksklusif bersama Twin Planet dan mula mempromosikan diri di Jepun.
“Saya sangat gembira bernaung bawah agensi ini yang banyak membantu. Saya berjanji tidak akan menghilangkan identiti diri dan bekerja keras,” kata pelakon drama 4 Legendary Witches itu.
Pelakon yang kini melanjutkan pelajaran di negara tersebut berharap agar peminatnya di Korea tetap menyokong dirinya selama dia membina karier di tempat baharu.