IPOH – Polis menerima laporan membabitkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd. Rahman yang diperas ugut melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jika pengadu tidak membayar RM300,000 yang diminta, suspek akan menyebarkan surat layang bagi memburukkan calon berkenaan.
“Satu laporan polis diterima daripada mangsa yang mendakwa dia telah diugut melalui nombor telefon tidak dikenali ketika sedang berkempen.
“Mangsa diugut supaya membayar RM300,000 dan sekiranya gagal berbuat demikian, suspek akan menyebarkan surat layang, risalah dan mesej tular di media sosial bagi memburuk-burukkan mangsa dengan niat menjatuhkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
Sementara itu Mohd. Yusri berkata, sebanyak 26 laporan polis diterima semalam dan membuka dua kertas siasatan
Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan laporan polis sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah 59 dengan lapan kertas siasatan dibuka.
“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini manakala sebanyak 290 permohonan permit ceramah diterima daripada parti bertanding dengan sembilan daripadanya tidak diluluskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














