fbpx

Pentingkan rupa paras? Saya tidak sebodoh itu – A. Aida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. AIDA berkata, dia tidaklah membuta tuli memilih pelakon berdasarkan rupa paras semata-mata.

BERLAPANG dada menerima teguran segelintir pihak mengkritik selepas timbul polemik tentang pendapatnya yang lebih mengutamakan rupa paras berbanding bakat lakonan, penerbit sensasi Datuk A. Aida tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Jelas pengasas dan pengarah urusan A. Aida Production itu, dia tidaklah buta mahupun tuli untuk sewenang-wenangnya mengambil seseorang berlakon dalam projek lakonan bawah syarikat kendaliannya hanya bersandarkan rupa paras cantik, kacak atau bertubuh sasa semata-mata.

Getusnya, bakat adalah yang paling utama. Kalau tiada elemen tunjang itu dalam diri seseorang, cantik, kurus, petak atau lonjong sekalipun, memang tidak akan ke mana.

“Fikir logiklah sedikit. Tiadalah sampai semua projek drama mahupun filem syarikat saya nak ambil pelakon yang sedap mata memandang sahaja. Saya tidak sebodoh itu.

“Setiap pelakon yang saya ambil berlakon perlu menjalani proses uji bakat. Kalau mereka bagus, saya ambil. Jika cantik atau kacak, itu bonus buat mereka.

“Apa yang saya ingin tekankan di sini, bakat paling penting dan selebihnya adalah bersifat subjektif. Saya juga percaya, bakat boleh diasah. Nak masuk dalam industri, perlu juga ada minat. Kalau setakat berlakon semberono dan fikir suka-suka, industri ini barangkali bukan karier tepat buat individu sebegitu,” katanya ketika dihubungi Pose.

Hapuskan kursus lakonan?

Antara figura yang lantang memberikan pandangan tentang isu tersebut adalah pelakon handalan, Amerul Affendi.

Katanya, kalau benar orang seperti A. Aida terlalu mementingkan rupa paras sebelum mengambil seseorang berlakon, lebih baik tamatkan atau hapuskan sahaja kursus lakonan di institut pengajian awam dan swasta.

AMERUL Affendi antara pelakon yang menentang pendapat A. Aida.

Bernada sarkastik, Amerul atau nama sebenarnya, Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi berkata, tidak baik memasang angan-angan dalam diri orang, namun dipatahkan haloba atau kepentingan segelintir pihak.

“Tak baik scam (tipu) bakal-bakal pelajar yang bersungguh-sungguh berhabis duit mencari ilmu.

“Hal ini kerana, apabila ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) seperti A. Aida keluarkan kenyataan (pentingkan rupa paras), sudah tentu ramai yang ikut nanti kan,” soalnya.

Kehendak skrip, subjektif

Bukan ingin menegakkan benang yang basah, A. Aida, 52, bagaimanapun menjelaskan, sesuatu projek lakonan itu terpulang juga dengan kehendak skrip.

“Terpulang skrip dan juga pengarah nak yang macam mana. Kalau kehendak skrip mahupun pelakon boleh bawa watak Gollum dalam filem Lord of the Rings, kita cari pelakon yang begitu.

“Kalau kehendak skrip mahukan watak yang cantik dan kacak, itu uji bakat mereka yang ada kualiti sebegitu.

“Saya tidaklah kejam atau buta sangat semua projek produksi perlu sedap mata memandang. Kalau ada semua itu tapi tiada bakat memang saya reject. Tahun ini sahaja dah lebih 100 orang saya tolak tak kira rupa paras.

“Azhan Rani pernah berlakon bawah projek produksi saya. Amerul pun saya pernah tawarkan, namun beberapa kali dia kata sibuk. Saya juga peminat dia. Dia seorang pelakon yang luar biasa.

“Kalau ada watak yang sesuai, mengapa saya perlu menidakkan rezeki seseorang? Seni lakonan untuk semua tak kira rupa paras. Ingat, yang penting adalah bakat dan minat. Dua elemen ini kalau bergabung, insya-Allah, boleh pergi jauh,” simpulnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI