fbpx
MIZA yang meminati aktiviti lasak seperti mendaki berhasrat meneruskan peniagaan keluarga selepas tamat pengajian.

Kumpul teman melalui aktiviti sukarela, mendaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI mendaki gunung mahupun bukit sering menjadi pilihan penggemar kegiatan lasak.

Ada yang melakukan aktiviti tersebut di dalam negara dan tidak kurang juga yang berminat meneroka gunung-ganang di luar negara yang dilihat lebih mencabar minda dan adrenalin.
Pelajar Management & Science University (MSU) Shah Alam, Raja Miza Karmila Raja Azhar, 21, juga sudah jatuh cinta dengan aktiviti lasak itu.

Pelajar tahun pertama jurusan Ijazah Sarjana Muda Optometri yang mesra dipanggil Miza ini berkata, dia baru saja mendaki Gunung Nuang dalam Daerah Hulu Langat, Selangor.

“Selain memberi ketenangan setelah berhempas pulas mendaki denai mencabar, terbit kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Bila berada di puncak, rasa cinta kepada alam semula jadi begitu membara dalam sanubari,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Dia yang berasal dari Taiping, Perak memberitahu pernah mendaki Bukit Broga di Semenyih, Selangor dan Bukit Larut di Taiping, Perak serta beberapa bukit lagi untuk merasa sendiri cabarannya.

Kongsinya, untuk meneruskan minat dalam aktiviti itu, dia bakal berkunjung ke negara jiran, Indonesia untuk mendaki Gunung Merbabu setinggi 2,432 meter yang terletak di Jawa Tengah hujung bulan ini.

Miza berkata, aktiviti rekreasi yang dijalankan bersama Kelab Kembara MSU tersebut menjadikan dirinya lebih berdikari dan tabah menghadapi urusan dan cabaran mendatang dalam kehidupan seharian.

“Saya sebenarnya tidak mempunyai kawan yang ramai kerana lebih fokus kepada pengajian di sini.

“Kini, apabila bergiat dalam aktiviti lasak di MSU, barulah saya mula mengumpul teman sealiran yang meminati aktiviti mendaki,” katanya.


MELALUI aktiviti kesukarelawanan, gadis manis ini berpeluang berkongsi ilmu dengan golongan sasar seperti pelajar sekolah yang memerlukan bimbingan.

Selain mendaki, ujar anak sulung daripada empat adik-beradik itu, dia turut aktif dalam aktiviti kesukarelawanan menerusi Kelab Fasilitator.

Katanya, program kesukarelawanan terbaharu yang dilakukan bersama ahli kelab tersebut adalah kolaborasi bersama Syarikat Axiata di bawah program @smallchangesmy.

Program itu merupakan aktiviti siswa mengajar kelas Bahasa Inggeris, kewangan dan cara-cara menyelesaikan masalah hidup kepada pelajar-pelajar sekolah terpilih di Subang, Selangor.

“Aktiviti kesukarelawanan seperti ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pelbagai ilmu yang dipelajari dengan pelajar-pelajar sekolah daripada pelbagai latar belakang.

“Selain meningkatkan kemahiran berkomunikasi, aktiviti sedemikian juga melatih saya untuk menjadi pemimpin yang serba boleh suatu hari nanti,” katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Miza berkata, dia tidak sabar buat julung-julung kalinya membuang undi di kampung halamannya.

Untuk itu, dia berharap agar lebih ramai golongan muda dapat menjadi calon PRU-15 nanti.

“Saya berharap pemimpin lama memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk mewarisi tampuk kepimpinan negara.

“Jika calon muda tidak diberi peluang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada PRU-15, bila lagi mereka akan dapat menunjukkan ketokohan mereka dalam berpolitik,” ujarnya.

Miza yang juga merupakan graduan Diploma Teknologi Makmal Perubatan, MSU berkata, dia turut berharap parti yang menang menunaikan manifesto pilihan raya mereka bagi memastikan nasib rakyat yang berada di bawah terus terbela.

Katanya, penting bagi golongan muda sepertinya untuk melihat parti mana yang berjuang untuk rakyat dan pihak mana hanya mahu menjadikan politik sebagai agenda peribadi serta kelompok tertentu semata-mata.

Ditebak dengan soal cita-cita dalam hidup, jelas puteri kepada pasangan, Raja Azhar Raja Sahar, 50, dan Azizah Harun, 44, itu, dia berharap dapat meneruskan legasi perniagaan cermin mata milik keluarganya di bandar Taiping.

“Minat saya lebih kepada bidang pengurusan makmal dan bidang optometri yang dibangunkan
oleh keluarga saya.

“Jika segalanya berjalan lancar, saya berhasrat untuk meneruskan perjuangan kedua-dua ibu bapa dalam memajukan lagi perniagaan optometris mereka.

“Saya juga berharap agar dapat mengaplikasi segala ilmu yang dipelajari di MSU dan menyumbang kepada masyarakat setelah tamat belajar nanti,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN