KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) mengambil berat mengenai nasib 10,000 ahlinya yang mengalami kemerosotan pendapatan harian dan bulanan.
Presiden Penghantar, Zulhelmi Mansor berkata, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pendapatan rider atau penghantar makanan termasuk penambahbaikan jangka pendek dan panjang seperti yang disyor kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia.
“Dalam p-hailing, tidak ada pelan harga lantai diwujudkan, jadi pihak syarikat pengendali sewenang-wenangnya meletakkan sendiri kadar upah mengambil dan menghantar pesanan.
“Ini masalah besar yang menyebabkan pendapatan rider terjejas. Memang benar jika pekerja rajin, dia boleh menjana pendapatan lebih, tetapi berbaloikah bekerja 16 jam sehari selama sebulan untuk mendapatkan gaji RM3,000,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Zulhelmi, terdapat ahlinya yang menjadikan rider sebagai kerjaya tetap untuk menampung hidup, namun upah yang diterima tidak setimpal.
Jelas beliau, setiap rider diberi pilihan sama ada menerima atau menolak pesanan apabila jaraknya jauh. Sekiranya mereka menolak, tindakan itu akan menjejaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pekerja terbabit.

“Sebenarnya jarak bukan isu, tetapi masalah timbul adakah berbaloi dengan upah yang diberikan. Jarak 5 kilometer (km) dibayar RM2. Jadi kerajaan perlu memainkan peranan dengan menetapkan harga siling kadar upah,” ujarnya.
Tambahnya, antara faktor lain adalah syarikat pengendali masih menerima kemasukan pekerja baharu tanpa melihat keperluan semasa.
“Sekarang kita sudah bebas ke mana-mana, jadi tidak ramai yang memilih perkhidmatan rider kerana berjimat dan sebagainya.
“Jadi syarikat pengendali perlu kawal pekerja, jangan biarkan berlaku lambakan dalam sektor p-hailing sehingga rider terpaksa beralih ke bidang lain,” katanya.
Syarikat pengendali juga digesa menggantung sementara rider yang tidak mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kosmo! pada 14 Oktober lalu melaporkan rata-rata rider mengeluh apabila memperoleh RM50 untuk 12 jam berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan sekali gus membuktikan kerjaya itu tidak mampu lagi menjanjikan pendapatan lumayan secara kekal.
Ia berpunca kerana pengguna kini lebih suka membeli makanan sendiri berbanding membuat pesanan di platform online selain sikap penyedia makanan yang lambat memproses tempahan.















