fbpx
UJAR Lekir, sefanatik mana pun anda kepada pasukan luar seperti Manchester United atau Liverpool, jangan sesekali pinggirkan pasukan kebangsaan. –FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Penyokong bola sepak negara sudah bijak, matang – Lekir, Ultras Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, dunia dikejutkan dengan tragedi rempuhan membabitkan penyokong bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia.
Kejadian itu berlaku sewaktu perlawanan membabitkan Arema FC menentang seteru utama, Persebaya Surabaya yang berkesudahan pasukan pelawat menang menerusi jaringan 0-1.
Ekoran kekalahan tersebut, penyokong tuan rumah meluru masuk ke dalam stadium sejurus wisel penamat bagi menyatakan rasa tidak puas hati. Justeru, pihak berkuasa terpaksa melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan penyokong bertempiaran lari sehingga ada yang terkorban akibat terjatuh dan dipijak. Kejadian malang itu mengorbankan 131 orang termasuk dua anggota pasukan keselamatan, sekali gus menjadikannya sebagai kejadian kedua terburuk dalam sejarah bola sepak dunia. Hakikatnya, rusuhan atau keganasan membabitkan penyokong bola sepak berlaku hampir di seluruh dunia. Malaysia juga pernah mencatatkan beberapa tragedi hitam membabitkan penyokong bola sepak sewaktu perlawanan membabitkan pasukan kelab mahupun Harimau Malaya.
Bagi mengupas lebih lanjut isu keganasan penyokong bola sepak di negara ini, wartawan Kosmo! Ahad, MOHD. SHAZWAN YUSOP mewawancara Capo Ultras Malaya, Ridzuan Ahmad @ Lekir baru-baru ini.

KOSMO! Ahad: Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kejadian 131 orang disahkan maut akibat rusuhan selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan. Ini menunjukkan fanatik membuta-tuli dalam sukan boleh mendatangkan kesan buruk. Apa yang saudara dapat simpulkan dalam insiden seperti ini?
LEKIR: Saya bukannya orang yang layak untuk memberi pendapat kerana tidak berada di lokasi kejadian.
Tetapi, daripada video yang tersebar dalam media sosial, saya akan menyebelahi penyokong. Seperti yang kita ketahui, penyokong bola sepak sangat fanatik dan ada passion.
Apabila kelab yang mereka sayang tewas kepada pasukan seteru utama di halaman sendiri, para penyokong pasti akan marah. Disebabkan itu, mereka masuk ke padang untuk menyatakan ketidakpuasan hati kepada pemain dan pihak pengurusan.
Bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa menyembur gas pemedih mata bagi menghalang penyokong sangat tidak wajar. Penyokong ini masuk ke padang tanpa senjata, jadi cukup dengan bertahan dan cota sahaja bagi mengawal mereka.
Tidak perlu sampai menyerang guna gas pemedih mata termasuk kepada penonton yang berada di tempat duduk.

Masalah hooligan dalam bola sepak bukan perkara baharu kerana di negara-negara maju seperti Eropah. Apakah perkara seumpama itu boleh berlaku di negara ini sekiranya tiada langkah-langkah keselamatan diambil pihak berwajib?
Falsafah sokongan hooligan berbeza sama sekali dengan Ultras Malaya. Hooligan ini bersifat fighter, manakala ultras lebih kepada sokongan vokal. Pada pandangan saya, keganasan bola sepak boleh berlaku di mana-mana saja termasuk di negara ini.
Bagaimanapun, kejadian tersebut boleh dielakkan sekiranya pihak Perbadanan Stadium dan keselamatan mampu memainkan peranan sebaik mungkin.
Misalnya, memisahkan penyokong kedua-dua pasukan dengan gap lebih besar di dalam stadium, bukannya meletak tali sebagai garisan pemisah.
Pihak berwajib juga perlu pastikan penyokong kedua-dua pasukan tidak bertembung di luar stadium. Mereka perlu mengasingkan laluan keluar penyokong supaya tidak bertemu selepas perlawanan berakhir.

Sebagai kumpulan penyokong setia untuk pasukan Harimau Malaya, pernahkah Ultras Malaya dicap atau dituduh cuba mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam dan luar stadium semasa pertandingan bola sepak?
Kami pernah berapa kali menimbulkan kekecohan sewaktu perlawanan berlangsung. Pada Mac 2014, sewaktu perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor terpaksa dihentikan selepas Ultras Malaya membakar suar.
Ia bagi menyatakan kemarahan kami terhadap kesuraman arena bola sepak selama hampir tiga dekad. Setahun selepas itu, Persekutuan Bola Sepak (FAM) sekali lagi mencabar Ultras Malaya apabila tewas 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu.
Disebabkan itu, kami telah bertindak membaling suar ke dalam padang ketika perlawanan pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 membabitkan Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam.
Selepas kejadian itu, saya dan 11 lagi ahli Ultras Malaya direman oleh polis selama dua hari. Pada saya, tindakan ‘keganasan’ itu wajar dilakukan kerana FAM telah menjatuhkan maruah negara.
Tidak sepatutnya kalah sampai 10-0 kerana negara kita ada segala fasiliti sukan terbaik.

Adakah pernah berhadapan dengan sindiran pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan peranan Ultras Malaya dengan mengatakan membawa imej negatif kepada golongan muda?
Pada peringkat awal dahulu, memang ada segelintir pihak yang melabel kami sebagai ganas dan sering buat bising di dalam stadium.
Namun, lama-kelamaan budaya ultras ini sudah semakin diterima baik oleh peminat bola sepak tempatan.
Malah, kehadiran kami sentiasa dirindui oleh para pemain di atas padang. Kalau ada, kami sebagai pemain ke-12, mereka jadi lebih bersemangat apabila beraksi.

Dalam setiap perlawanan, soal provokasi yang dicetuskan antara kedua-dua penyokong pasukan bertanding tidak dapat dielakkan. Bagaimana Ultras Malaya boleh mengawal ahli-ahli agar tidak mencetuskan keadaan bertambah buruk?
Secara jujurnya kami tidak pernah mengawal kebebasan ahli-ahli. Hakikatnya, penyokong bola sepak tempatan sudah bijak dan matang.
Saya sangat berterima kasih dengan sistem pendidikan kita yang mampu melahirkan generasi muda yang cukup beradab dan berakal ketika memberi sokongan.
Kalau ada perkara tidak puas hati dengan pasukan lawan, kami akan melakukan provokasi di dalam media sosial dan sorakan di tepi padang sahaja. Kalau boleh, kami tidak mahu sampai ada ahli yang terlibat pergaduhan.

Di negara ini, bukan tidak pernah berlaku penonton bergaduh dan merusuh kerana tidak berpuas hati, tetapi tidak sampai menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda dalam jumlah besar seperti yang berlaku di negara jiran. Apa yang membezakan keadaan di Malaysia dan negara jiran kita?
Kita patut berterima kasih kepada sistem pendidikan negara kerana berjaya melahirkan penonton bijak.
Lagipun, kebanyakan penyokong bola sepak tempatan ini orang Islam dan Melayu yang kaya dengan adab ketimurannya. Orang Melayu ini kita tahu, mereka marah bukan suka-suka, pasti ada sebab.
Mereka marah tidak sampai menghilangkan nyawa atau mencederakan orang lain. Cukuplah amarah itu ditunjukkan menerusi kerosakan harta benda sahaja.

Pernahkah Ultras Malaya menghadapi saat-saat mencemaskan termasuk berhadapan dengan rusuhan yang dibangkitkan penyokong pasukan lawan dalam mana-mana perlawanan di luar negara dan bagaimana menghadapi situasi tegang berkenaan?
Salah satu destinasi kunjungan kami yang tidak boleh dilupakan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Indonesia.
Kejadian cemas berlaku sewaktu pasukan negara bertemu skuad Garuda pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia pada 2019.
Ketika itu, saya bersama 400 ahli Ultras Malaya dipaksa masuk stadium seawal pukul 4 petang, sedangkan perlawanan bermula pukul 8 malam.
Sepanjang di dalam stadium, halwa telinga kami dihidangkan dengan sorakan ‘Malaysia itu anjing’ oleh penyokong tuan rumah. Tetapi kami tidak cepat melatah, sebaliknya kekal sabar dan tenang.
Selepas perlawanan tamat, pasukan negara ditakdirkan menang 3-2. Disebabkan itu, kami dikepung oleh pasukan keselamatan bagi mengelak serangan penyokong lawan.
Kemudian, kami dibawa melalui terowong dan berkumpul di bawah stadium dalam keadaan berhimpit-himpit selama beberapa jam.
Selepas penyokong lawan beredar, baru kami dibenarkan keluar dari stadium. Perasaan kami ketika itu tidak ada rasa takut langsung kerana setiap ahli Ultras Malaya memang mengimpikan detik itu.
Adakah Ultras Malaya dibiayai oleh individu atau organisasi tertentu bagi membolehkan ahli-ahlinya berkunjung ke setiap perlawanan termasuk di negara luar membabitkan pasukan Harimau Malaya?
Tidak ada mana-mana pihak membiayai Ultras Malaya. Semua kos termasuk pengangkutan ke luar negara dan tiket perlawanan ditanggung sendiri oleh ahli.
Pada kami, pengorbanan kami ini semuanya untuk negara.
Bagaimanapun, kami ada mengeluarkan barangan cenderahati untuk dijual kepada orang ramai.
Hasil keuntungan tersebut digunakan bagi membuat tifo (kain rentang) ketika perlawanan yang kadang-kadang mencecah puluhan ribu ringgit. Wang tersebut juga digunakan bagi menyediakan pengangkutan dari hotel ke stadium ketika di luar negara.

Apa harapan dan nasihat saudara kepada para penyokong pasukan kebangsaan agar datang ke stadium untuk memberi sokongan dan sorakan kemenangan kepada para pemain?
Saya menyarankan kepada peminat bola sepak, sefanatik mana pun anda kepada pasukan luar seperti Manchester United atau Liverpool, jangan sesekali pinggirkan pasukan kebangsaan.
Mereka sangat memerlukan sokongan kita semua bagi menaikkan mutu bola sepak negara.
Ketika ini, kita lihat ranking Harimau Malaya bertambah baik.
Ini membuktikan pasukan negara mampu berada di atas sekiranya penyokong terus memberikan sokongan tidak berbelah bagi dalam apa juga situasi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN