fbpx
Makan menggunakan chopstick dianggap tidak ada kaitan dengan agama tertentu, maka ia dibolehkan dalam Islam. – Gambar hiasan

Boleh tiru perkara tidak berkait agama lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAWAN saya berhujah dengan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Dengan hadis itu beliau selalu macam kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian ala Barat dan lain-lain. Sejauh manakah penafsiran hadis ini?

Jawapan:
Dalam penghujahan sesuatu hadis, terlebih dahulu hendaklah kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi muhaddithin (ahli hadis).

Jika hadis itu didapati sabit iaitu berada pada kedudukan (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan hujah dalam agama.

Setelah perkara tersebut dipastikan, barulah ke peringkat seterusnya iaitu mengkaji maksud matan (teks) hadis tersebut. Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, maka di sini perlu disebut beberapa perkara.Hadis yang membawa maksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik.

Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.

Hadis ini secara umumnya memberikan maksud positif dan negatif. Sesiapa menyerupai sesuatu kaum atau puak yang terpuji, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji.

Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik, maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak.

Jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut, maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu.

Begitu juga perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka.

Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk.

Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H): “Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik atau kuffar atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, sama ada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”(al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).

Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib atau pakaian khusus paderi dan sami, amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram.

Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur.

Jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram.

Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.

Saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan sekiranya seseorang menyerupai golongan kufur, tetapi tidak beriktikad kufur, maka perbuatannya itu berdosa, tetapi tidak terkeluar dari agama.

Namun, jika dia menyerupai mereka secara penyerupaan zahir dan juga batin iaitu dengan mempunyai iktikad yang serupa, maka dia menjadi kufur.

Hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama.

Jika perkara tersebut tidak khusus untuk puak ataupun agama tertentu, maka hadis ini tidak berkaitan.

Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu.

Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum.

Pakaian yang dipakaian oleh mereka yang bukan Muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka.

Begitu juga makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu, garpu atau chopstick (penyepit), berjaket, berumah ala Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

Kesimpulannya, kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai negatif dan buruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN