fbpx
ALICIA AMIN

Alicia Amin bukan sekadar seksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI pentas peragaan fesyen kemudian perlahan-lahan membina tapak di persada senima tanah air, Alicia Amin mungkin agak janggal bagi sesetengah peminat drama Melayu.

Lima tahun lalu, percubaan anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu dalam program Asia’s Next Top Model musim kelima ternyata tidak sia-sia.

Biarpun perjuangannya tidak sampai ke pengakhiran kerana tersingkir lebih awal, Alicia enggan mengalah dan tidak terhenti setakat itu.

WANITA berusia 27 tahun ini masih aktif sebagai model peragaan, cumanya lebih fokus dalam bidang lakonan yang kini menjadi periuk nasinya.

Cuba nasib

Berbekalkan minat dan bakat lakonan yang memang sudah wujud dalam diri, Alicia mula disunting menjadi pelakon.

Mencabar diri menerusi naskhah pertama, Meh Sandar Lagi dengan membawakan watak sebagai seorang doktor, hasil lakonannya dipuji.
Bermula daripada situ, satu demi satu lamaran diterima Alicia.

Paling membanggakan, tidak sampai setahun jagung bergelar pelakon, dia turut dilamar bagi membintangi filem Gol & Gincu Vol. 2.

“Walaupun hanya sebagai cameo (pelakon undangan), namun pengalaman yang diberikan untuk membintangi sebuah filem cukup membanggakan saya.

“Dari situ jugalah, minat berlakon itu mula menjadi periuk nasi dan sumber kewangan,” katanya kepada HibGlam.

ALICIA mencabar dirinya membawakan watak sebagai mekanik dalam filem seram pertamanya, Rasuk arahan James Lee.

Masih aktif

Terbaharu, Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin muncul dalam sebuah lagi filem bergenre seram berjudul Rasuk.

Ditanya, adakah bidang peragaan memang sudah menjadi alternatif kedua dek kerana mementingkan lakonan, Alicia mengakui perkara tersebut.

Katanya, rezekinya dalam bidang lakonan lebih berpihak kepadanya, namun bukan bermakna rezeki dalam bidang peragaan terus tiada.

“Siapa kata saya sudah tidak aktif dalam permodelan. Sudah tentu salah. Saya masih menjadi model cumanya tidaklah secara sepenuh masa.

“Bila rezeki dalam lakonan ada, saya cuba seimbangkan waktu mengikut kesesuaian dan kepentingan.

“Semua orang tahu, lakonan tak sama macam peragaan. Sangatlah beza,” katanya.

Tambah Alicia, dek kerana masih aktiflah, dia baru-baru ini tular dalam laman sosial kerana tindakan berani matinya memperjuangkan isu bayaran tertangguh rakan sejawatannya.

“Saya simpati dengan mereka. Saya cukup faham dan tahu apa yang mereka rasa.

“Mereka dah lakukan yang terbaik dan selesaikan kerja mengikut apa yang dimahukan. Tapi, bayaran yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

“Tiada siapa yang minta atau paksa, tetapi ini adalah keinginan dan inisiatif saya sendiri.

Jadi bila isu ini dibawa ketengah dan dapat perhatian, akhirnya isu bayaran tertangguh selesai secara baik,” katanya.

ALICIA mengakui, perjuangannya baru-baru ini bukan untuk memburukkan keadaan tetapi lebih kepada membantu nasib rakan seperjuangannya dalam dunia peragaan.

‘Akak mekanik’

Berkongsi mengenai watak yang dibawakan dalam Rasuk, Alicia berkata, watak Kak Fiza yang dijayakannya sebenarnya merupakan satu cabaran besar buatnya.

Walaupun imej dan fizikal watak tersebut tidak jauh beza dengan personaliti Alicia yang nampak tegas dan sedikit kasar, tetapi ada satu cabaran lain yang terpaksa ditempuhnya.

“Watak Kak Fiza dalam cerita seram ini memang saya suka, tapi dalam masa sama sedikit mencabar untuk dibawakan.

“Kak Fiza ni lebih kurang sama saja macam saya. Wataknya sedikit kasar, sempoi dan bersahaja. Macam itulah saya.

“Cabaran yang saya maksudkan ialah kena jadi seorang mekanik. Saya bukan tahu selok belok nak betulkan mesin dan kenderaan.

“Tapi dalam filem ini, saya kena belajar. Kak Fiza ni dia macam seorang kakak yang ada adik-adik lebih muda daripadanya.

“Dalam Rasuk ini juga, ini kali pertama saya diminta untuk pandu sebuah van klasik dan alhamdulillah menjadi,” katanya seraya menutup bicara.

ALICIA bersyukur bakat lakonannya kini semakin mendapat kepercayaan golongan karyawan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN