SI cantik, Azira Shafinaz cukup senang didekati. Berbekal pakej selebriti dengan wajah selalu terhias senyuman menjadikannya wanita sempurna.
Memasuki dunia hiburan lebih sedekad lalu menerusi drama perdana lakonannya berjudul Dan Bila Esok, bakat terpendam yang dianugerahkan kepada si jelita ini usah dipertikaikan.
Tiga tahun selepas menjadi kepercayaan penerbit drama, Azira membuat kejutan dengan beralih arah sebagai penyanyi.
Bukan bermaksud meninggalkan dunia lakonan buat selama-lamanya, namun sebagai anak seni, perlu ada kepelbagaian terutama dalam mencambahkan bakat seni.
Memperkenalkan diri sebagai ahli kumpulan De Fam yang dianggotai tiga orang, bakat nyanyiannya dan vokal yang ada pada dirinya tidak kurang baiknya.
Bermula dari itu, lagu-lagu taruhan mereka seperti #Supergirls, With You (feat Brandon Beal), Bila Ada Kamu (feat Alif Sleeq dan Aman Ra) sehinggalah lagu Panas yang diluncurkan tiga tahun lalu mula menerjah halwa telinga hingga menjadi siulan ramai.
Pun begitu, entah mengapa, graf nyanyian De Fam tiba-tiba sedikit mendatar dek kerana kesibukan kesemua anggotanya yang sibuk dengan pengacaraan serta lakonan.

Terus aktif, kejutan
Bertentang mata dengan anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 31 tahun itu baru-baru ini, Azira berkata, keberadaan De Fam masih sama seperti dahulu.
Akuinya, semua anggota sedikit sibuk dengan kerjaya seni masing-masing dan persembahan juga terpaksa dihadkan untuk beberapa undangan sahaja.
“De Fam mestilah ada. Tunggu bulan 10 ini, kami ada satu kejutan buat anda semua.
“Insya-Allah, 1 Oktober nanti, kami akan umumkan sesuatu buat anda. Kali terakhir kami keluarkan single adalah tiga tahun lalu menerusi lagu Panas. Jadi, nantikan sesuatu yang baharu,” katanya kepada HibGlam.
Meneruskan perbualan, Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan berkata, minatnya dalam arena nyanyian tidak pernah pudar kerana itu merupakan salah satu impiannya sebelum bergelar anak seni.

Teruja, sebak
Ditemui ketika sidang media filem terbaharunya, Talbis Iblis baru-baru ini, Azira mengakui teruja selain gembira apabila dipilih sebagai heroin bagi naskhah hebat arahan pengarah tersohor, Kabir Bhatia itu.
Katanya, tidak setakat teruja dapat membintangi filem tersebut, malah hati Azira juga meruntun dan sebak tatkala naskhah tersebut turut ditayangkan di festival filem antarabangsa.
“Ini adalah filem pertama lakonan saya dan tentunya perasaan saya sangat teruja serta gementar.
“Saya dah tengok filem ini secara keseluruhan ketika ditayangkan di Festival Filem Far East ke-24 yang berlangsung di Itali pada April lepas.
“Jujur saya sendiri memang sebak sebab sepanjang bergelar pelakon, saya tak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini.
“Saya tak pernah pergi festival filem bertaraf antarabangsa sebegitu untuk mempromosikan filem. Jadi, apabila dibawa sampai ke tahap itu, memang sangat teruja bercampur sebak,” ujarnya.
Tambah Azira, apa yang membuatkannya lagi bersemangat untuk terus mewarnai dunia lakonan, walaupun masyarakat di Itali tidak faham bahasa Melayu, namun mereka teruja dan memuji kualiti filem dari Asia.

Lama bersedia
Klise tetapi antara soalan wajib yang akan mengisi belasan soalan lain, Azira seakan boleh menebak perihal perkahwinan yang akan ditujukan buatnya.
Seboleh-bolehnya Azira selesa untuk mengelakkan sebarang kontroversi dan sehingga kini, masih bahagia hidup sendiri tanpa pasangan istimewa di sisi.
“Kalau bab dan perkara-perkara peribadi, tak banyak yang saya boleh kongsikan kerana saya ini bukan jenis yang memilih dan sukakan yang simple (ringkas) saja.
“Saya juga tak sukakan kontroversi dan sangat menjaga privasi. Apa yang keluar dari mulut saya, itulah dia dan sehingga kini, saya masih solo dan tiada sesiapa
“Saya pun tak mencari pasangan kerana fokus saya adalah kepada karier. Memang saya akui, ada yang bertanya, bila lagi saya berumah tangga.
“Tapi, jujurnya kalau tak sampai (jodoh) nak buat macam mana. Kalau dah ada yang betul-betul sesuai. saya bersedia je. Kawan biar ramai, sayang biarlah satu,” tuturnya.
Jelas Azira lagi, dia sendiri sehingga kini tidak pernah meletakkan sebarang kriteria pasangan hidup, Akuinya juga, lebih selesa seandainya insan itu boleh menerimanya dan keluarga selain menghormati karier seninya.















