fbpx

TSG dapat tajaan RM2 juta daripada Terengganu Inc

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE KU MOHD. IZMUDDIN (dua dari kiri) dan Burhanudin bertukar dokumen pada majlis penajaan TSG di Kuala Terengganu semalam.

PASUKAN berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menerima tajaan RM2 juta daripada Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) bagi menghadapi musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd. Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, tajaan kewangan itu menyuntik semangat pasukan itu yang memiliki perancangan besar musim depan.

Beliau berkata, setakat ini, secara keseluruhan TSG telah berjaya menarik tajaan mencecah RM11 juta dan ia merupakan nilai terbesar sejak sejarah penubuhannya.

“TSG mahu melebarkan sayap ke Eropah dengan menubuhkan pangkalan baharu di Girona, Sepanyol yang juga pangkalan kedua di benua itu selepas Turkiye.

“Berbaki empat perlumbaan sebelum musim 2022 menutup tirai, kami yakin dapat mengekalkan status pasukan terbaik Asia dalam ranking Ke­satuan Berbasikal Antarabangsa (UCI),” katanya di Kuala Terengganu semalam.

Terdahulu beliau memeterai perjanjian penajaan bersama Terengganu Inc. yang diwakili Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun.

Che Ku Mohd. Izmuddin memberitahu, langkah TSG berpangkalan di Turkiye sejak tahun lalu dilihat berjaya melalui latihan dan siri perlumbaan di Eropah.

Jelas beliau, benua Eropah sesuai untuk TSG terus bertapak, sekali gus berpotensi menduduki kedudukan divisyen lebih baik.

“Setakat ini, TSG berada di ranking ketiga daripada 170 pa­sukan di peringkat divisyen,” katanya.

Dalam pada itu, Burhanudin Hilmi berkata, tajaan Terengganu Inc yang memasuki tahun kelima itu telah berjaya menaik­kan imej syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu di peringkat global dengan lebih meluas.

Beliau berkata, Terengganu Inc. berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan TSG, sekali gus meletakkan nama syarikat berkenaan di peta dunia dengan kejayaan demi kejayaan yang dilakar.

“Melalui penajaan ini, kita sedang melihat prospek perniagaan bersama rakan penaja lain seperti Shimano dan Polygon agar mereka berhasrat membuka kilang pengeluaran utama di Terengganu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI