fbpx
SEBUAH madrasah di Shah Alam yang didakwa terlibat dalam kes penderaan pelatih.

Madrasah tawar khidmat pulih dadah beroperasi secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sudahlah tidak berdaftar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), rawatan yang dijalankan juga adalah secara haram.

Itu situasi bagi menggambarkan sebuah madrasah yang menjalankan proses pemulihan dan perlindungan bagi mereka yang terbabit aktiviti dadah selepas didakwa terlibat dalam kes penderaan pelatih.

Menurut AADK, isu penagih dibuli, dirotan, diseksa dan diberikan layanan yang tidak sepatutnya bukanlah satu pendekatan yang digunakan oleh agensi itu dalam memulihkan pelatih.

Sebaliknya, perkhidmatan yang disediakan oleh agensi ber­kenaan adalah jauh lebih mesra, prihatin dan disesuaikan dengan keperluan seseorang penagih.

“Mana-mana pihak atau pertubuhan yang ingin menjalankan perkhidmatan rawat dan pulih penagih dadah perlu berdaftar di bawah AADK sebagai Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP), pusat yang tak daftar dikategori pusat haram.

“Bagi madrasah berkenaan, premis itu adalah tidak berdaftar di bawah AADK bagi menjalankan operasi sebagai PPDP.

“Sekiranya premis tersebut menjalankan perkhidmatan tanpa kemukakan sebarang permohonan dan menerima kelulusan daripada AADK, ia dikategorikan sebagai beroperasi secara haram,” kata AADK ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Berita berkaitan: Ambil anak macam nak pergi perang

Jelas AADK lagi, kesemua program rawat pulih yang dilaksanakan di bawah agensi itu adalah secara profesional.

“Ia selaras dengan panda­ngan baharu yang menyatakan bahawa masalah penagihan adalah suatu penyakit yang perlu dirawat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebelum ini, kaedah rawat dan pulih AADK sememangnya menggunakan pendekatan seperti latihan ketenteraan (tough and rugged) kerana pada waktu itu ia dilihat lebih bersesuaian dengan trend penggunaan jenis dadah organik seperti opiat, heroin dan morfin.

“Dadah tersebut memberi kesan langsung kepada perubahan tingkah laku, pembentukan disiplin dan pemulihan fizikal seseorang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap madrasah ber­kenaan yang didakwa memukul serta mendera pelajarnya.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pihaknya akan mengarahkan JKM negeri untuk melakukan siasatan tersebut.

Katanya, jika dakwaan itu benar, pihaknya tidak teragak-agak untuk menutup operasi pusat itu serta mengambil tindakan tegas terhadap pengusahanya.

Berita berkaitan: Kes dera madrasah: Polis selesai panggil saksi, keputusan Isnin ini

“Setakat ini saya tiada maklumat lanjut tentang dakwaan itu, bagaimanapun saya akan mengarahkan pihak negeri (JKM Selangor) jalankan siasatan terperinci.

“Jika dakwaan itu benar, kita akan buat tindakan pemutihan, sekiranya mereka ingkar, tindakan tegas termasuk menutup pusat itu akan dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, pihaknya kini juga sedang giat mengesan dan me­lakukan ‘pemutihan’ ke atas pusat-pusat jagaan yang tidak berdaftar dengan JKM.

Katanya, sejak tahun 2019, JKM telah melakukan pemutihan ke atas lebih 1,000 pusat jagaan tidak berdaftar dan ketika ini kira-kira 600 pusat jagaan masih dalam proses tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memaklumkan setakat semalam, hanya satu laporan diterima pihaknya berhubung kes dakwaan pelajar didera di madrasah di daerah itu pada Ogos lalu.

Kosmo! semalam melaporkan, kejadian dera pelatih yang didakwa berlaku di sebuah madrasah di Shah Alam terbongkar selepas sebuah keluarga mahu menghantar kek dan makanan ke pusat berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN