MODEL Camry ini hadir dalam tiga mod pemanduan seperti Eco, Normal dan Sport untuk memberikan keseronokan memandu.

Toyota Camry 2022 lebih sporty, agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOYOTA Camry yang dahulunya terkenal sebagai sebuah kereta yang kurang ranggi atau ‘kereta golongan veteran’ kini tampil dengan lebih menarik.

Model yang dikenali dengan kod nama XV70 ini berpenampilan berbeza sejak diperkenalkan di pelbagai negara beberapa tahun lalu kerana mempunyai rekaan yang sporty dan agresif.

Bukan itu sahaja, banyak pihak turut memuji faktor pengendalian dan prestasi yang ditawarkan pada kereta sedan segmen D ini.

Untuk pengetahuan anda, Toyota Camry 2022 ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dengan suspensi belakang double wishbone.

Ciri-ciri ini memang banyak mempengaruhi faktor pengendalian kereta ini lebih responsif dan stabil yang secara tidak langsung memberikan pengalaman pemanduan berkualiti.

Penulis mengakuinya setelah baru-baru ini memandu uji kereta ini selama beberapa hari. Ia boleh dikatakan memberikan pengalaman pemanduan ibarat memandu sedan dari Jerman.

Walaupun model yang dipertingkat ini hadir dengan enjin 2.5 liter tanpa turbo, namun kuasa yang diberikan jelas terasa sebaik memijak pedal.

TOYOTA Camry baharu mempunyai rupa yang lebih sporty dan agresif berbanding model terdahulu, sekali gus mengikis gelaran ‘kereta golongan veteran’ yang sering dikaitkan dengannya.

Jika lihat pesaing terdekatnya, Honda Accord yang datang dengan enjin lebih kecil dengan bantuan turbo, nampak Camry seperti ketinggalankan? Namun, anda perlu memandu sendiri dan rasakan kuasanya.

Sistem enjin tersebut hadir bersama transmisi baharu lapan kelajuan automatik yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 209PS pada 6,600rpm dan tork tertinggi 253Nm pada 5,000rpm.

Model Camry ini turut hadir dengan pedal shifter dan tiga mod pemanduan seperti Eco, Normal dan Sport untuk memberikan pemandu lebih keseronokan mengendalikan kereta ini.

Dari segi penggunaan petrol, sepanjang penulis menggunakan kereta ini secara purata penggunaannya ialah 8.6 liter bagi perjalanan sejauh 100 kilometer (km). Untuk satu tangki penuh, penulis dapat memandu lebih 600 kilometer. Saiz kapasiti tangki petrol Camry ialah 60 liter.

Antara ciri keselamatan yang ditawarkan termasuk Toyota Safety Sense (TSS) dengan Pre-Collision System (PCS) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) yang lebih peka dan boleh mengesan pejalan kaki atau penunggang basikal pada semua kelajuan.

Sistem Pengekalan Lorong dan Bantuan Penjejak Lorong (LTA) serta Pemantauan Titik Buta (BSM) dengan Brek Belakang Automatik Untuk Lalu Lintas Silang (RCTAB) turut melengkapinya.

RUANG dalaman kenderaan ini yang disuntik pelbagai ciri canggih seperti tempat duduk dan stereng yang boleh dilaraskan secara elektrik.

Selain itu, ciri-ciri baharu seperti Sonar Penjarakan Pintar Baharu dan Skrin Pemandangan Panorama memberikan nilai tambah pada model ini.

Bercerita tentang ruang kabin Camry ini, bagi saya, ia merupakan antara kekuatan yang ada pada model ini kerana rekaannya tidak terlalu ringkas selain mudah mesra dengan pemandu.

Setiap butang kawalannya diletakkan tepat di tempat yang sesuai, manakala skrin infotainment model ini lebih besar iaitu berukuran 9 inci lengkap dengan ciri-ciri sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Ia diperhebat dengan Sistem Audio JBL, tempat duduk pemandu dan penumpang yang boleh dilaras secara elektrik, stereng boleh dilaras secara elektrik dan pengecas telefon tanpa wayar.

Bahagian belakang Camry ini yang mempunyai rekaan agak sporty.

Bahagian tempat duduk belakang kereta ini sudah tersedia dengan ciri-ciri bersesuaian untuk individu yang berpemandu kerana penumpang belakang boleh mengawal penghawa dingin, sistem audio dan penghadang matahari cermin belakang. Butang kawalan kesemua ciri itu terletak di bahagian perehat tangan di bahagian tengah.

Kesimpulannya, dengan tawaran yang menarik, model ini sesuai dipandu oleh sesiapa sahaja memandangkan setiap cirinya mampu membuatkan penumpang atau pemandu teruja.

Terdapat juga ciri-ciri ditawarkan yang boleh dikatakan agak mustahil untuk ditawarkan dalam kelasnya.

Beberapa elemen mirip jenama Lexus juga dilihat penulis ada pada model Camry kali ini.

Kehadiran model Camry ini memberikan satu lagi pilihan kepada pembeli-pembeli di Malaysia kerana sudah tidak banyak syarikat automotif berani memperkenalkan kereta sedan segmen D kerana semua cuba beralih kepada kenderaan utiliti sukan (SUV).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN