BIAR seperit mana ujian yang dihadapi dalam hidup seperti diberikan kesakitan, adakalanya ia perlu untuk mengubah diri menjadi insan lebih baik.
Bagi Sarah (bukan nama sebenar), walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang tiada penghujung, dia tetap bersyukur kerana baginya ujian tersebut membuatkannya semakin kuat untuk meneruskan kehidupan.
Bercerita lanjut, Sarah memberitahu, semuanya bermula ketika dia baru memulakan pekerjaan dalam sektor swasta hampir setahun lalu.
“Saya merupakan seorang pekerja swasta dalam bidang teknologi siber dengan gaji yang agak lumayan.
“Boleh dikatakan, saya cukup bertuah kerana hidup dalam serba kemewahan dan baru berpindah masuk ke sebuah kediaman jenis kondominium di tengah ibu kota,” katanya.
Kehidupan Sarah penuh dengan kegembiraan apabila dia kerap melancong, membeli-belah dan kerap bersosial bersama rakan-rakan.
“Saya merupakan kaki kelab dan sering menghabiskan wang untuk berhibur.
“Saya amat menikmati kehidupan sosial dan sama sekali tidak menjaga batas pergaulan bersama rakan-rakan dan teman lelaki,” kata wanita berusia 30 tahun itu yang turut mengakui kerap terlanjur dengan teman lelakinya.
Biarpun sedar hidupnya bergelumang dosa, Sarah tidak kisah dan terus melakukan maksiat dan berazam untuk bertaubat apabila tiba masanya nanti.
Begitupun, gaya hidupnya berubah apabila Sarah mulai kerap jatuh sakit di tempat kerja, menyebabkan dia kerap mengambil cuti.
“Pada penghujung tahun lalu, saya kerap pengsan dan sering tidak bermaya, menyebabkan kerap mengambil cuti sakit.

HIDUP Sarah kini semakin tenang dengan sentiasa menghadiri majlis ilmu dan mengaji al-Quran. –GAMBAR HIASAN
“Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan saya menghidap kanser darah,” ujarnya.
Berita tersebut begitu mengejutkan Sarah hinggakan dia mula hidup dalam kemurungan.
Disebabkan itu, dia tidak makan dan minum selama berhari-hari dan mulai menjauhkan diri daripada rakan-rakan.
Sikapnya itu secara tidak langsung menyebabkan rakan-rakan dan teman lelakinya mulai menjauhkan diri, menjadikan Sarah semakin tertekan.
“Sejak itu, saya banyak menghabiskan masa bersendirian dan menonton ceramah-ceramah agama yang dimuat naik di media sosial.
“Dari situlah, akhirnya menyedari bahawa saya sedang diuji oleh Allah, lalu saya menangis semahunya,” ujar Sarah.
Penyakitnya itu ibarat satu tamparan hebat dalam hidup Sarah, sekali gus menyebabkan anak kelahiran sebuah negeri di selatan tanah air itu berubah 360 darjah.
Dia mulai menjaga solat, berpuasa sunat, menghadiri majlis-majlis ilmu dan perubahan paling ketara adalah menutup aurat.
Kerjayanya mulai terganggu, namun Sarah bersyukur kerana majikan amat memahami keadaannya dan dan membenarkan wanita itu untuk terus bekerja dari rumah.
“Masa yang ada saya gunakan sebaiknya dengan kerap mengaji dan menghadiri majlis ilmu. Saya pun mulai sedar bahawa selama ini, saya sudah begitu jauh terpesong.
“Dahulu saya seorang yang sombong, selalu ‘melawan’ Tuhan dan menganggap jika tanpa ibadah pun, saya masih mampu hidup senang, mengapa perlu saya menutup aurat dan mengikut perintah-Nya.
“Ternyata, saya silap besar dan kini banyak berdoa kepada Allah agar mengampunkan segala dosa-dosa saya dan terus memberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan yang penuh cabaran ini,” ujarnya.
Kini, Sarah berharap agar dia boleh sembuh seperti sediakala dan tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Tuhan atas ujian yang diterimanya kerana telah mengubah dirinya menjadi insan yang kuat dan lebih baik.














