BAGI graduan yang baru menamatkan pengajian, mencari pekerjaan adalah satu cabaran tersendiri.
Terdapat tiga perkara menyebabkan jurang atau jarak antara graduan baharu dengan pekerjaan yang diidamkan.
Pertama, graduan baharu kurang mempunyai pengalaman sebenar dalam dunia pekerjaan, kerana memasuki situasi pekerjaan sebenar akan menjadi dunia berbeza berbanding kehidupan kampus.
Kedua, persaingan yang semakin tinggi, memerlukan mereka bukan sahaja bersaing dengan graduan universiti dalam negara, tetapi juga graduan universiti luar negara yang pulang selepas menamatkan pengajian.
Ketiga adalah tentang kemahiran atau kebolehan luar kelas yang berjaya dikumpul oleh para graduan semasa di universiti.
Banyak kemahiran baharu yang kini mula menjadi keperluan akibat perkembangan teknologi yang mengubah landskap pekerjaan pada hari ini mula diperlukan di tempat kerja.
Ini amat berbeza dengan apa yang dipelajari di universiti.
Namun, ini tidak bermakna pekerjaan idaman tidak dapat diperoleh.
Ada beberapa perkara yang perlu dipersiapkan agar para graduan baharu cepat mendapat pekerjaan apabila menamatkan pengajian.
Kebolehan mencipta Curriculum Vitae (CV) yang menarik adalah satu kemestian.
Hari ini, terdapat banyak laman web dan aplikasi yang membantu pencari kerja mereka bentuk CV yang lebih kreatif. Ia adalah kelebihan untuk pemohon pekerjaan.
Dalam hal ini, para graduan kini perlu mula membangunkan CV mereka seawal memasuki universiti.
Selain itu, CV yang baik tidak boleh digarap tanpa penglibatan dalam sesuatu program.

GRADUAN perlu lebih bersedia untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan mereka. – GAMBAR HIASAN
Ini kerana, apa yang tertera dalam kandungan CV, seseorang graduan baharu membentuk personaliti mereka dan ini jelas akan ditonjolkan dalam sesi temuduga.
Para graduan baharu juga dinasihatkan menyediakan CV mereka dalam bentuk dwi bahasa, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris supaya boleh dibaca semua pihak termasuk majikan.
Apabila satu kekosongan dibuka, e-mail permohonan yang masuk boleh mencecah ratusan.
Pertama dibuka sudah tentu CV, bagaimana kandungannya boleh menggambarkan profil keseluruhan pemohon.
CV yang menarik akan menentukan sama ada perekrut akan memprosesnya dengan lebih lanjut atau tidak.
Dalam pada itu, kini ramai graduan baharu yang mencari kerja, sedangkan kekosongan jawatan yang ada terhad.
Lebih kerap dan lebih banyak jawatan kosong dipohon, lebih besar peluang profil seseorang dilihat perekrut pekerjaan.
Untuk itu, graduan baharu perlu lebih fokus pada kelayakan pekerjaan yang mereka ingin mohon.
Mereka harus fokus dalam melihat kelayakan dan keperluan jawatan kosong yang ada.
Bukan itu sahaja, pemohon juga mesti mempunyai pengetahuan tentang operasi utama syarikat yang ingin dipohon itu.
Kita sering mendengar, pemohon kadangkala tidak menyerlahkan kelayakan pekerjaan diingini dengan baik melalui CV mereka.
Sebagai contoh, graduan memohon pekerjaan yang sebenarnya bertujuan untuk mencari mereka yang mempunyai pengalaman lebih dari lima tahun atau peringkat pengurusan.
Kemungkinan besar CV calon tersebut tidak akan diproses.
Semakin ramai orang yang graduan baharu temui dalam hidup, semakin luas perhubungan mereka.
Jadi, mungkin melalui para kenalan inilah yang akan membuka laluan dan peluang mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau jawatan baharu.
Kekuatan ini yang membezakan seorang graduan baharu dengan pesaing mereka yang hanya bergantung kepada keputusan pengajian.
Mereka harus bersedia untuk apa sahaja cabaran pekerjaan yang dihadapi.
Mereka juga mesti cekal menerima segala yang mungkin berlaku, contohnya tentang penempatan pekerjaan dan kerja lebih masa.
Ketika dalam proses pengambilan, mereka sudah nyatakan sudah bersedia untuk ditempatkan di luar bandar dan bekerja untuk jam yang panjang dan komitmen itu perlu dikekalkan apabila diterima bekerja.
Daripada beberapa pengalaman, rungutan majikan bahawa ramai pemohon tidak bersedia untuk ditempatkan di luar bandar dan gagal memenuhi apa yang mereka janjikan semasa proses temuduga.
Industri teknologi kini juga menuntut bakat yang boleh disesuaikan dengan operasi organisasi.
Selain itu, satu perkara yang tidak kurang penting, para graduan baharu perlu percaya pada diri sendiri untuk mendapat pekerjaan yang diimpikan.
Fahami dan sayangi diri sendiri, kenali kekuatan dan kelemahan yang ada.
Jika ada kekurangan, ia harus diperbetulkan supaya tidak tersangkut pada perjalanan kerjaya mereka.
—————————————————————————————————————————————
Afizan Amer ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.
















