fbpx
Seramai 24 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh, Kemboja tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA 2 di sini, hari ini. - FOTO/ FAISOL MUSTAFA

24 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan selamat dibawa pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Kerajaan hari ini berjaya membawa pulang seramai 24 orang rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan haram di Kemboja.

Ketibaan kumpulan tersebut diiringi sendiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke negara tersebut, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim.

Saifuddin berkata, kesemua mangsa selamat tiba dengan menaiki pesawat AirAsia penerbangan AK539 dari Phnom Penh dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 4.37 petang tadi.

“Bagaimanapun baki 29 orang lagi yang ditahan di dua depoh imigresen Kemboja akan balik secara berperingkat tertakluk prosedur di sana,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengesahkan telah pergi sendiri mengadakan lawatan kerja singkat ke Kemboja semalam bagi bertemu mereka di penginapan transit disediakan pihak kedutaan.

Beliau juga mengambil kesempatan melawat tiga warga Malaysia yang ditahan di depoh imigresen di ibu negara Kemboja itu dalam tempoh antara tiga bulan sehingga enam bulan.

Selebihnya pula ditempatkan di depoh dekat Sihanoukville kerana tiada dokumen perjalanan yang sah memasuki Kemboja apabila ditahan dalam siri operasi besar-besaran awal bulan lalu.

Kerajaan negara (Kemboja) juga ujarnya, menzahirkan perasaan syukur atas kepulangan warga Malaysia dan berjanji akan memastikan sindiket jenayah tersebut terus diperangi.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menasihatkan rakyat Malaysia agar berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara melalui laman sosial.

“Jika berasa ragu, sila segera hubungi pihak kedutaan besar Malaysia yang akan membuat semakan kesahihan syarikat terbabit.

“Bagi yang terperangkap, individu juga perlu segera tampil membuat laporan polis dan berhubung dengan pihak kedutaan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN