fbpx
Rawatan dialisis mampu memanjangkan hayat pesakit buah pinggang kronik sebelum mendapatkan organ baharu. – GAMBAR HIASAN/ AFP

Mati dulu tak sempat tunggu organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pesakit buah pinggang kronik menjadi golongan yang paling ramai memerlukan organ baharu dengan jumlah 10,423 orang sehingga Julai lalu, diikuti 10 pesakit paru-paru, lapan pesakit jantung dan seorang bagi pesakit hati berserta jantung.

Namun malangnya, mereka yang sedang menderita sakit terpaksa menunggu sehingga 10 tahun sebelum tiba giliran untuk mendapatkan rawatan pemindahan organ baharu ekoran hanya terdapat 779 penderma organ sebenar selepas kematian sejak 1997.

Lebih menyedihkan apabila pesakit jantung, paru-paru dan hati yang memerlukan organ baharu secepat mungkin berisiko tinggi mati dahulu jika gagal mendapatkannya berbanding pesakit buah pinggang yang boleh mela­kukan dialisis bagi memanjangkan kadar hayat.

Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan Pusat Sumber Transplan Nasional, Dr. Hasdy Haron berkata, secara purata sebanyak 10 tahun diperlukan pesakit untuk mendapatkan organ yang baharu.

“Tempoh 10 tahun ini paling cepat dan mereka yang boleh menunggu sehingga 10 tahun ini hanyalah pesakit buah pinggang.

“Ini kerana mereka boleh menjalani rawatan dialisis di hospital bagi memanjangkan lagi kadar hayat sebanyak 10 hingga 20 tahun, sekali gus mereka menjadi jumlah paling ramai menunggu.

“Namun untuk pesakit jantung, paru-paru dan hati, mereka perlukan kadar segera, kalau tidak mereka akan meninggal dunia, disebabkan itu jumlah mereka sentiasa kurang dari 10 pesakit,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dr. Hasdy memberitahu, dalam setahun, penderma buah pinggang seramai 40 orang dan dua buah pinggang menjadikan negara mempunyai bekalan 80 buah pinggang untuk diberikan kepada pesakit.

Katanya, dengan jumlah itu, hanya 80 pesakit buah pinggang kronik mampu diselamatkan.

“Oleh itu, rakyat Malaysia disyorkan untuk mendermakan organ selepas meninggal dunia kerana boleh memberikan lebih daripada satu organ untuk didermakan.

“Kadar derma organ selepas meninggal dunia tak pernah melebih 100 orang, tetapi kami lebih syorkan untuk menderma selepas meninggal dunia supaya dapat mengambil semua organ.

“Buat penderma hidup, risiko lebih tinggi ketika pemindahan organ dilakukan dan hanya dapat mengambil satu bahagian, contohnya buah pinggang kera­na mereka juga memerlukan satu buah pinggang untuk terus hidup,” ujarnya.

Menurutnya, dengan kadar peratusan penderma dan bekalan organ yang amat kurang ketika ini menyebabkan peluang pesakit untuk diselamatkan adalah kurang 10 peratus daripada lebih 10,000 pesakit.

“10 peratus pun tidak sampai, saya rasa kurang lagi daripada itu, dengan kesedaran awam berkaitan pendermaan organ, kita perlukan lebih ramai yang ikrar derma organ dan memberi peluang kepada pesakit hidup normal seperti sedia kala,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN