MELAKA – Pembukaan pintu sempadan negara sejak 1 April lalu membuka peluang kepada pelancong asing khususnya dari Indonesia untuk berkunjung ke negara ini bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Malah, ramai dalam kalangan pelancongan kesihatan ini memilih Malaysia sebagai lokasi perubatan ekoran rawatan terbaik yang ditawarkan di kesemua premis kesihatan terutamanya hospital swasta di negeri ini.
Mengikut statistik dalam tempoh tiga bulan sehingga Mac lalu, seramai 5,384 pelancong kesihatan telah mendapatkan rawatan di empat buah hospital swasta di Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, seramai 1,686 daripadanya adalah pelancong kesihatan dari Indonesia.
“Pada tahun 2019 seramai 100,234 daripada 136,361 pelancong kesihatan asing yang mendapatkan rawatan di Melaka terdiri daripada pelancong kesihatan dari Indonesia.
“Bagaimanapun selepas dunia dilanda pandemik, pesakit-pesakit ini terpaksa menundakan rawatan mereka, namun datang kembali ke sini selepas pintu sempadan dibuka.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalan Merdeka di sini mendapati rata-rata pengunjung di kawasan itu merupakan pesakit dari Indonesia yang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Mahkota.
Seorang pelancong kesihatan, Adi Suryono, 45, berkata, dia yang berasal dari Jawa Sumatera telah berada di Melaka selama dua minggu bagi mendapatkan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) bersama isterinya.
Ditanya mengenai pemilihan hospital tersebut, Adi mengakui kaedah rawatan yang ditawarkan di negara ini adalah jauh lebih baik berbanding di negaranya.
“Hospital ini memang popular di Indonesia, ramai yang mendapatkan rawatan di sini kerana kaedah rawatan adalah lebih baik meskipun kosnya tidak jauh berbeza di Indonesia.
“Saya bersama isteri datang ke sini bagi mendapatkan rawatan IVF, sebelum ini pun memang kami mendapatkan nasihat daripada pakar di hospital sebelum menangguhkan proses persenyawaan susulan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, sepanjang berada di hospital, dia ada bertemu beberapa kenalannya dari Batam, Indonesia yang turut mendapatkan rawatan di premis berkenaan.

Sementara itu, Abdul Munir Talah, 78, dari Pekan Baru, Jakarta pula memberitahu, dia telah mendapatkan rawatan di hospital di negeri ini sejak tiga tahun lalu bagi masalah tulang belakang yang dialaminya.
“Rawatan ini di sini lebih cepat berbanding di Indonesia yang terpaksa menunggu giliran lama, malah temu janji yang dibuat juga lebih teratur.
“Saya telah mendapatkan rawatan pada tahun 2019 dan kembali semula bagi mendapatkan rawatan susulan bagi masalah tulang belakang,” katanya.
Esmarelda Hardi, 18, dari Pelembang, Sumatera Selatan berkata, dia datang menemani bapanya yang menghidap strok dan mendapatkan rawatan bagi tempoh lima bulan.
“Memang kami sekeluarga sering ke Melaka untuk membawa bapa menjalani rawatan susulan masalah strok. Setiap lima bulan kami akan ke sini,” katanya.
Hasil tinjauan di beberapa buah hotel bajet di sekitar Melaka Raya turut mendapati ia dipenuhi oleh pelancong kesihatan dari Indonesia.
Menurut Pengurus Hotel Al Abraar, Yusuf Kasim, hampir 100 peratus pelanggannya merupakan pelancong kesihatan khususnya bagi penginapan pada hari Isnin hingga Jumaat.
“Pelancong luar atau tempatan tidak ramai, Isnin sehingga Jumaat hotel memang penuh dengan pelancong kesihatan, manakala hujung minggu hanya satu atau dua bilik diinapi pelancong biasa.
“Rata-rata hotel di sekitar bandar ini menjana pendapatan daripada pelancong kesihatan Indonesia,” katanya.
















