PENGGUNAAN influencer atau pempengaruh internet dalam pemasaran atau strategi pemasaran adalah salah satu saluran komunikasi yang digunakan oleh jenama untuk menyampaikan produk bagi meluaskan capaian pasaran sasaran.
Bukan sahaja perniagaan berskala besar, malahan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini mula memanfaatkan strategi ini kerana akses dan peluang yang luas di media sosial dalam mengembang dan mengukuhkan pasaran.
Untuk para usahawan dan peniaga kecil berkecimpung melalui teknik influencer dalam mengembangkan pasaran, terdapat beberapa perkara asas yang mereka ambil kira untuk pastikan strategi ini berjaya dan tidak mengalami kerugian.
Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh perniagaan dan usahawan apabila melaksanakan pemasaran jenis ini adalah memilih influencer mengikut nilai jenama.
Jika kita lihat secara profesional dalam pemasaran digital, kaedah memilih influencer dan strategi perlu dirancang teliti terlebih dahulu agar kerjasama yang terhasil dapat bersaing dalam pasaran.
Kita tidak mahu usahawan terlebih belanja dalam kos menyediakan influencer dan akhirnya tidak boleh ditampung kos tersebut oleh harga produk.
Ini akan menyebabkan sesuatu produk itu terpaksa dijual mahal, tidak menepati harga pasaran dan akhirnya terpaksa dikeluarkan dari pasaran kerana gagal.
Kunci untuk memilih influencer adalah berdasarkan tujuan kerjasama.
Syarikat juga perlu melihat lebih mendalam tentang gaya hidup yang ditunjukkan oleh pengaruh di media sosial mereka.
Selain itu, membina asas kepercayaan yang kukuh juga penting untuk meningkatkan penglibatan dengan penonton.
Kini, penonton lebih peka untuk membezakan antara kandungan tajaan jenama dan tidak.
Oleh itu, adalah penting bagi jenama untuk memilih influencer yang mempunyai ciri-ciri yang sepadan dengan matlamat komunikasi dan khalayak sasaran, supaya mesej dapat disampaikan dengan baik.
Pengaruh influencer juga jadi lebih mudah untuk mempromosikan produk yang sesuai dengan gaya hidup dan dikaitkan dengan produk usahawan.
Dalam pelaksanaan strategi pemasaran influencer, usahawan sesuatu jenama boleh meneroka pelbagai aktiviti sepadan dengan objektif mereka.
Ia termasuk ulasan produk, kempen hingga mengeluarkan barangan kolaboratif dengan influencer.
Di sebalik kandungan media sosial yang padat, jenama mesti meneroka dalam merangka strategi pemasaran influencer supaya orang ramai tidak bosan dengan pengisian yang disajikan itu.
Adalah lebih baik sekiranya jenama tersebut memahami beberapa aspek terlebih dahulu, bermula daripada objektif, produk yang ingin dipasarkan, sasaran pasaran sehinggalah kepada jumlah kos yang dianggarkan supaya ia boleh lebih diterokai.

PRODUK yang dihasilkan oleh PKS memerlukan strategi berkesan untuk dikenali di pasaran. – GAMBAR HIASAN
Kerjasama ini juga dijalankan untuk saling memberi manfaat bukan sahaja untuk jenama, tetapi juga bagi influencer itu sendiri, kerana mereka dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan pengguna terhadap kedua-duanya.
Dengan peluang dan kemudahan yang terbuka luas melalui kemajuan teknologi pada hari ini, perniagaan kecil dan sederhana kini boleh mengembangkan perniagaan dan bersaing dengan pasaran melalui strategi pemasaran influencer ini.
Ia merupakan satu ruang dan peluang baru bagi usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk berkembang dan bergerak seiring dengan perusahaan mega di negara ini.
Sudah tentu, PKS juga boleh menyesuaikan diri dengan belanjawan pemasaran yang mereka ada.
Influencer daripada usahawan mikro atau nano yang mempunyai pengikut bermula daripada 1,000 orang turut memberi impak besar jika mereka disokong dengan penceritaan menarik .
Bukan itu sahaja, pengaruh usahawan mikro atau nano juga mempunyai penglibatan yang lebih tinggi dan lebih dipercayai oleh pengikut mereka.
Ini kerana, kebanyakan pengikut adalah rakan atau kalangan mereka sendiri .
Walau apapun strateginya, jenama perlu merujuk kembali kepada matlamat sedia ada dan cerapan pengguna.
Strategi ini turut dijalankan oleh beberapa orang influencer berpengaruh dalam bidang masakan.
Pada masa ini, terdapat banyak platform percuma yang boleh digunakan oleh jenama produk usahawan mikro dan nano untuk menentukan tahap keakraban dan interaksi influencer mereka dengan golongan sasar.
Dengan ini, bajet pemasaran usahawan mikro dan nano akan tepat pada sasaran.
Sebagai seorang usahawan nano atau mikro, kita juga perlu memerhati dalam menganalisa trend pasaran supaya kita boleh ‘membungkusnya’ ke dalam kandungan yang unik.
















