SEJAK akhir-akhir ini, nama Sekolah Kebangsaan Kempadang (SKK) yang terletak di pinggir bandar di daerah Kuantan, Pahang mula disebut-sebut ramai pihak.
Malah, sekolah yang hanya bermula dengan sebuah bilik darjah dibina pada tahun 1937 hasil gotong-royong anggota masyarakat di sekitar kawasan itu kini turut menempa nama di peringkat antarabangsa dan mula dikenali masyarakat dunia.
Segalanya bermula pada 9 Jun lalu apabila sekolah itu diumumkan sebagai antara dua buah sekolah di negara ini yang telah dicalonkan sebagai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia oleh T4 Education.
Untuk rekod, T4 Education adalah sebuah organisasi global yang komited untuk menyediakan alatan, inisiatif dan program menarik bagi guru meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh dunia.
Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bertujuan meraikan sekolah yang memainkan peranan penting dalam membangunkan generasi masa depan dan memberi sumbangan besar terhadap kemajuan masyarakat terutama semasa pandemik Covid-19.
SKK tercalon bagi kategori Inovasi, manakala sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa di Klang, Selangor tersenarai sebagai calon bagi kategori Menangani Cabaran.

Selain dua kategori tersebut, tiga lagi kategori anugerah ialah Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar dan Menyokong Kehidupan Sihat.
Kedua-duanya merupakan sekolah di bawah Program Sekolah Amanah (PSA) yang dikendalikan dengan kerjasama Yayasan Hasanah, LeapEd Services Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad,
Yayasan Amir yang merupakan sebuah organisasi kebajikan, Kementerian Pendidikan Malaysia serta beberapa syarikat lain.
Salah seorang yang menjadi watak penting kepada kejayaan sekolah itu ialah bekas Guru Besar SKK, Baharom Buhang yang berkhidmat dari Oktober 2018 hingga beliau bersara pada bulan Mac lalu.
Merupakan Guru Besar yang mengemudi sekolah tersebut semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, Baharom semasa mengulas lanjut mengenai kejayaan SKK berkata, ia bermula apabila sekolah itu terpilih untuk mengikuti PSA sejak November 2015.
Beliau memberitahu, menerusi program PSA, terdapat empat matlamat strategik yang mengandungi 20 indikator serta 316 deskriptor perlu dilaksanakan sepanjang lima tahun PSA dijalankan.
“Ia merupakan modul pelaksanaan bertaraf dunia yang memfokuskan kepada kecemerlangan sekolah bertaraf antarabangsa.
“Empat bidang utama atau matlamat strategik tersebut melibatkan Kepimpinanan Pengurusan, Kualiti Guru, Kemenjadian Murid secara Holistik dan Penglibatan Rakan Strategik serta Komuniti.
“Selepas enam tahun iaitu 2021, SKK berjaya melepasi akredetasi Tempoh Tamat Matang Intervensi Program (TTMIP) di bawah PSA,” katanya kepada K2.
Menurut Baharom lagi, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun 2020 telah menyebabkan sekolah itu berhadapan dengan dua cabaran besar.
Katanya, cabaran pertama adalah apabila pihak sekolah berdepan kesukaran meneruskan pengajaran dalam talian bagi Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), selain perlu mengesan kemajuan murid sepanjang pandemik Covid-19 melanda.

Selain itu, jelasnya, keputusan kerajaan memansuhkan ujian akhir sekolah rendah dikenali sebagai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), yang digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah berterusan menyebabkan sekolah tidak dapat mengakses data masa hakiki pembelajaran murid dalam usaha menentukan perancangan pengajaran bagi menyokong semua murid.
“Disebabkan kesukaran yang dihadapi ketika itu, saya sebagai Guru Besar berasa terpanggil untuk menggunakan kepakaran saya dalam bidang teknologi maklumat untuk membangunkan sebuah aplikasi yang dikenali sebagai SMARTZOOM.
“Dengan menggunakan platform Google Sheets sebagai One Stop Centre, segala data melibatkan pentaksiran diletakkan dalam platform SMARTZOOM tersebut yang boleh digunakan untuk menjana analisis dan pelaporan murid secara holistik.
“Menerusinya juga, guru-guru boleh memasukkan segala data dengan hanya menggunakan telefon pintar masing-masing, manakala pentadbir dan pihak berkepentingan lain termasuk penjaga boleh mengakses data tersebut dengan serta-merta,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai aplikasi tersebut, Baharom berkata, ia dibangunkan sebagai sistem sokongan kepada guru-guru di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Menerusinya, para guru akan memasukkan data penilaian formatif selepas selesai semua kelas harian dan SMARTZOOM mengira skor berterusan pelajar.
Katanya lagi, ketua panel bagi setiap subjek dan guru kemudian boleh menggunakan pelaporan yang dijana oleh SMARTZOOM untuk memantau kemajuan pelajar pada bila-bila masa sepanjang tahun.
“Yang paling penting, papan pemuka SMARTZOOM akan bertindak sebagai sistem amaran awal dengan menggunakan Sistem Penjagaan Lampu Trafik yang menandakan pelajar mungkin ketinggalan dalam mana-mana standard pembelajaran subjek.
“Ini memudahkan guru menggunakan data untuk memaklumkan perancangan pelajaran mereka dalam memberi pelajar sokongan yang mereka perlukan.
“Pendek kata, segala data melibatkan pentaksiran diletakkan dalam platform SMARTZOOM dengan para guru boleh memasukkan segala data menggunakan telefon pintar masing-masing secara segera pada bila-bila masa.
“Sementara itu, pentadbir dan pihak berkepentingan termasuklah penjaga boleh akses data tersebut secara masa sebenar, dan kaedah ini sangat membantu guru dan sekolah terutama ketika berdepan dengan sistem PdPR sebelum ini,” ujarnya.

Tambah Baharom, selain penggunakan aplikasi SMARTZOOM, sekolah tersebut turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain sepanjang dua tahun PKP dilaksanakan bermula tahun 2020 hingga 2021 yang lalu.
Ia termasuklah program Bank Makanan untuk keluarga pelajar yang terkesan, pengajaran secara online dan offline, bengkel PdPR dalam talian, taklimat kepada para penjaga, aplikasi eDROP serta penyampaian maklumat menerusi saluran YouTube dan sebagainya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mispuah Hassan berkata, pihaknya sangat berbangga apabila SKK terpilih sebagai 10 calon teratas bagi anugerah tersebut.
Ini kerana jelasnya, SKK telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dalam pelbagai bidang terutama selepas mengikuti program yang dilaksanakan di bawah PSA.
“SKK merupakan sebuah sekolah yang terletak di kawasan pinggir bandar dengan lebih 75 peratus ibu bapa murid terdiri daripada golongan B40.
“Sebelum diletakkan di bawah PSA, SKK berada di kedudukan antara terkebawah dalam segala bidang jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan.
“Namun, selepas pelaksanaan PSA, berlaku banyak perubahan termasuklah pertambahan murid baharu yang mendaftar setiap tahun selain keputusan akademik turut meningkat secara mendadak.
“Selain telah berjaya mendapat anugerah Tamat Tempoh Matang Intervensi Program (TTMIP) di bawah PSA, SKK turut menerima pelbagai anugerah lain sepanjang tahun 2020 dan 2021,” ujarnya.
Tambah beliau, hasil usaha gigih semua pihak terutama para guru dan pentadbir sekolah, SKK kini telah membuka mata banyak pihak bahawa sebuah sekolah yang dahulunya dianggar terpinggir dan tercorot kini sudah mampu berada di puncak tertinggi dunia.
Malah, kata Mispuah, SKK kini turut menjadi tumpuan banyak pihak yang datang untuk membuat lawatan penanda aras, selain menerima pelbagai sumbangan dan bantuan tambahan daripada pelbagai pihak.














