Oleh Muhd. Haikal Luqman Zulkefli
Orientasi memandang jauh ke hadapan (forward looking) memang menjadi ciri bangsa berdaya maju yang ingin mencipta keunggulan pada masa depan.
Ajaran Islam memang mengandungi semangat al-fikru ‘l mustaqbaliy atau pemikiran berorientasikan masa depan.
Dari satu segi, memang dalam tamadun Islam terdapat kecenderungan kuat untuk berorientasi memandang ke zaman silam, terutama era di sepanjang tiga abad pertama Hijrah.
Pengertian masa depan bagi umat Islam sebenarnya jauh melampaui konsepsi golongan sekularis.
Masa depan bagi umat Islam tidak hanya terbatas dalam kehidupan duniawi, tetapi menjangkau jauh hingga ke alam ukhrawi. Memang Islam sangat mementingkan masa depan ukhrawi yang lebih abadi, tetapi ini tidak bererti meremehkan kehidupan dunia.
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat mengungkapkan maklumat futuristik.
Ayat 45 surah al-Qamar yang turun di Mekah menyebut nasib yang akan menimpa Musyrikin Quraisy yang ketika itu masih kuat.
“Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan undur ke belakang.”
Pemberitahuan tentang apa yang akan terjadi di masa depan bertujuan untuk mempersiapkan mental dan psikologi umat Islam bagi menghadapi perubahan-perubahan yang bakal berlaku.
Mengenai perkembangan yang akan berlaku dalam kalangan kuasa-kuasa dunia ketika itu, Al-Quran memaklumkan (dalam surah ar-Rum, ayat 1-5), bahawa Rom (yang rakyatnya terdiri dari ahli Kitab) akan mengalahkan Parsi (yang rakyatnya terdiri dari kaum Majusi penyembah api).
Pemberitahuan itu menggembirakan umat Islam kerana perkiraan mereka, kemenangan Parsi akan membawa implikasi buruk terhadap Islam.
Kerana itu mereka memang mengharapkan kemenangan Rom.
Keadaan ini menunjukkan bahawa umat Islam, walaupun masih lemah dan kecil, namun mereka begitu peka dengan perkembangan dunia dan menyedari kesan positif dan negatif terhadap masa hadapan mereka.
Jadi apa kaitan orientasi masa depan ini dengan Palestin?
Palestin mempunyai kedudukan strategik, iaitu di bahagian barat benua Asia.
Keluasannya kini menjangkau 27,009 kilometer (km) persegi.

UMAT Islam perlu mempersiapkan mental dan fizikal dalam menghadapi pergolakan seperti yang berlaku di Palestin pada hari ini. – GAMBAR HIASAN
Kedudukan geografinya, di bahagian barat menunjukkan berada di sebelah perairan antarabangsa dari Laut Tengah dengan jarak sekitar 250 km dari al-Nakura di sebelah selatan, sehingga Rafah serta memiliki lokasi di pertengahan negara-negara Arab.
Peranan Palestin sebagai pintu gerbang utama bagi perjalanan ke wilayah jiran menjadikannya jambatan penghubung bagi manusia sejak zaman lampau.
Baitul Maqdis yang terletak dalam Palestin digambarkan oleh Allah SWT sebagai pusat keberkatan, menjadikannya tanah istimewa.
Imam Ibn Kathir menggambarkan Masjidil Aqsa sebagai Baitul Maqdis yang menjadi pusat kemunculan para nabi sejak zaman Nabi Ibrahim.
Frasa kata barakna fiiha muncul dalam al Quran sebanyak empat kali, menggambarkan keberkatan tanah itu sendiri.
Terminologi barakna hawlahu muncul dalam al-Quran membawa gambaran keberkatan yang mengelilingi Baitul Maqdis.
Rasulullah SAW pula menyebut, penduduk Baitul Maqdis yang mempertahankan buminya tidak mungkin akan dapat dikecewakan oleh mereka yang menyerah kalah pada akhir zaman. Sebagaimana sabdanya:
“Masih ada secara berterusan dalam kalangan umatku kumpulan yang menegakkan agama (Islam) dengan gagah perkasa menghadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka. Melainkan mereka menghadapi kesusahan, sehingga datangnya ketetapan daripada Allah (membinasakan musuh dan memberikan kemenangan) dalam keadaan mereka meneruskan perjuangan (mereka tidak berganjak).
Lalu para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: ‘Di manakah mereka berada?’ Sabda Rasulullah SAW: ‘Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.”
Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW telah menjangkakan pergolakan besar akan berlaku di Palestin seperti yang berlaku pada hari ini. I
Ia bertujuan mempersiapkan mental dan fizikal umat Islam dalam menghadapi tantangan seperti ini.
Selain itu, hadis ini merupakan manifestasi kesedaran perlunya mempersiapkan generasi selanjutnya dengan pendidikan futuristik.
Dalam kaitan ini, Rasulullah SAW mahu umat Islam seharusnya mempunyai wawasan atau visi yang berlandaskan fakta, harapan serta impian.
Kesedaran bahawa perancangan dan gerak kerja kita untuk membebaskan Palestin dan Al-Quds pada hari ini berkemungkinan dapat mempengaruhi perkembangan di masa hadapan.
Justeru, umat Islam seharusnya meningkatkan usaha-usaha menganalisis fakta dan maklumat serta membuat perancangan seperlunya dalam rangka membina masa hadapan yang lebih baik bagi Islam dan umatnya.
Tanpa perancangan yang strategik dalam menghadapi cabaran serta penipuan yang dilakukan oleh Zionis, ramalan tentang pembebasan Masjidil Aqsa itu tidak mungki akan menjadi kenyataan.
————————————————————————————————————————————————————————————–
Muhd. Haikal Luqman Zulkefli ialah Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia.














