fbpx
BENGKAK, kulit berkedut dan kemerahan pada sebahagian payudara serta ketulan pada bahagian ketiak antara tanda awal kanser payudara. – GAMBAR HIASAN

Pesakit hanya sedar ada kanser selepas masuk tahap empat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai wanita tidak sedar mereka sedang ‘menderita’ kanser payudara sehingga ada yang disahkan kanser itu telah berada pada tahap empat selepas ujian dilakukan.

Berkongsi pengalaman itu, seorang pesakit yang mahu dikenali sebagai Dhia, 38, berkata, dia pada awalnya tidak menyangka menghidap kanser tersebut.

Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan pada tahun 2019, kan­ser payudara yang dialaminya itu sudah memasuki tahap empat.

“Ketika itu umur saya 35 tahun dan saya tidak sangka telah menghidap kanser kerana sebelum ini saya seorang yang aktif dan sentiasa mengamalkan kehidupan yang sihat.

“Selepas doktor beritahu saya ada kanser dan sudah nak masuk tahap empat, saya hanya mampu mengalirkan air mata dan dunia ini terasa gelap,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, ahli keluarganya termasuk suami turut terkejut de­ngan berita tersebut kerana memang tiada tanda-tanda awal dia dijangkiti kanser.

“Tetapi apakan daya, kami semua reda atas apa yang telah berlaku. Alhamdulillah, ketika ini saya sihat walafiat dan sel kanser dapat dikawal dengan baik.

“Sebelum ini, saya telah menjalani rawatan susulan seperti kemoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi 16 kali. Sekarang saya amalkan ubat antikanser dan rawatan susulan di Institut Kanser Negara,” katanya.

Seorang lagi wanita yang dikenali sebagai Siti, 40-an berkata, dia menderita kanser sejak 2019.

Katanya, dia merasakan terdapat simptom kanser sejak 2016, namun ujian saringan yang dilakukan ketika itu menunjukkan keputusan negatif.

“Ketika itu umur saya 37 tahun, saya telah melakukan ujian biopsi dan keputusannya negatif. Banyak kali juga saya dan suami ulang-alik ke hospital lakukan ujian tersebut, namun semuanya negatif.

“Mungkin sampel yang diambil semasa ujian biopsi itu dibuat tidak kena pada bahagian yang betul sehinggalah pada tahun 2019 apabila saya disahkan menghidap penyakit tersebut.

“Apa yang menyedihkan ketika itu kanser saya telah berada pada tahap empat. Saya dan suami terkilan kerana banyak kali kami buat ujian sejak 2016 kenapa doktor tidak dapat kesan lebih awal penyakit ini,” ujarnya.

Siti berkata, dia kini terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani sesi rawatan kemote­rapi kerana sel kanser telah me­rebak ke tulang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN