fbpx
Gambar hiasan

Kanser payudara ancam wanita 20-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kanser pa­yudara kini bukan sahaja menye­rang kebanyakan wanita berumur 40 tahun ke atas, malah ramai gadis muda seawal umur 20-an turut menjadi mangsa serangan penyakit yang menjadi pembunuh nombor satu wanita itu.

Lebih menakutkan lagi apabila mereka gagal mengesan penyakit itu pada peringkat awal sehingga kanser disahkan telah berada pada tahap keempat selepas ­ujian mamogram dilakukan.

Ketika ini, kira-kira satu dalam 19 wanita berisiko untuk menghidap kanser payudara.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Goh Soo Lee berkata, berdasarkan statistik pada 2018, kira-kira 7,593 wanita di Malaysia menghidapi kanser payudara dan daripada jumlah itu, seramai 2,894 pesakit telah meninggal dunia selepas gagal diselamatkan.

Menurutnya, kebanyakan wanita yang terkena kanser payudara adalah mereka yang berusia lingkungan 40 hingga 65 tahun iaitu kira-kira 64 peratus daripada statistik itu.

“Bagaimanapun, ketika ini, ramai dalam kalangan wanita muda seawal umur 20-an telah diagnosis menghidap kanser yang berbahaya ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Soo Lee yang berkhidmat di sebuah Klinik Kesihatan di Me­laka memberitahu, antara faktor risiko yang boleh menyebabkan wanita termasuk golongan muda terdedah kanser payudara adalah disebabkan sejarah keluarga.

Katanya, mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara berisiko tinggi untuk turut diserang pe­nyakit yang sama.

“Selain itu, faktor genetik se­perti gene BRCA1, BRCA2 dan sebagainya juga merupakan antara faktor risiko kanser payudara.

“Wanita yang pernah diagnosis kanser payudara sebelum ini juga tetap berisiko untuk menghidap kanser sekali lagi,” ujarnya.

Lebih membimbangkan beliau apabila kebanyakan pesakit sudah terlewat untuk tampil ke pusat kesihatan atau hospital bagi membuat ujian pengesanan serta rawatan kanser payudara.

Katanya, jika terjadi kes se­perti itu, ramai pesakit yang telah menghidap kanser pada tahap yang tinggi seperti tiga serta empat akan mengalami kesukaran untuk sembuh dan mereka memerlukan

rawatan yang lebih kompleks.

“Jika kanser payudara dikesan awal, peluang penyembuhan adalah tinggi. Biasanya rawatan kanser payudara bergantung kepada tahap dan jenis kanser.

“Secara umum, rawatan kan­ser payudara termasuk pembedahan, kimoterapi, terapi radiasi dan terapi hormon,” jelasnya.

Justeru, Soo Lee berharap agar semua wanita di negara ini melakukan ujian saringan mamogram berkala di klinik kesihatan, klinik swasta atau hospital.

Mamogram adalah ujian X-ray payudara yang perlu dijalani wanita untuk mengenal pasti perubahan pada tisu payudara dan berupaya mengesan kanser. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN