fbpx
Gambar hiasan.

Gadis terlanjur hanya dapat bayaran RM200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Gadis malang mangsa komplot bisnes anak a­ngkat yang berselindung di sebalik rumah perlindungan remaja hamil dan anak yatim mendedahkan mereka hanya menerima bayaran RM200 sebagai saguhati selepas menyerahkan bayi kepada keluarga angkat.

Alya (bukan nama sebenar), 27, berkata, jumlah itu dianggap tidak setimpal berbanding harga bayi mencecah sehingga RM20,000 yang dikenakan oleh rumah perlindungan kepada keluarga angkat.

“Berdasarkan maklumat daripada penghuni (gadis hamil), rumah perlindungan mengenakan caj RM20,000 hingga RM30,000 bagi seorang bayi (mengikut rupa paras dan fizikal), sepatutnya berilah lebih (wang).

“Saya bukan minta sampai RM10,000, namun cukuplah RM1,000 hingga RM2,000 untuk kami meneruskan kehidupan baharu, tetapi apa yang berlaku adalah saya hanya diberikan wang RM200 dan jumlah itu sudah pasti tidak setimpal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Alya, meskipun peng­huni bersetuju menyerahkan bayi mereka kepada keluarga angkat, namun cara yang digunakan pihak terbabit dengan me­netapkan kadar tertentu adalah tidak betul.

Bercerita lanjut, Alya membe­ritahu, dia diarahkan membuat laporan polis selepas melahirkan bayi sebagai tanda persetujuan untuk menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat.

“Proses itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa walaupun keadaan saya masih lemah dan baru discaj dari hospital. Apabila selesai membuat laporan, saya mendapati bayi sudah berada di tangan keluarga angkat.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana masih lemah. Sekurang-kurangnya tunggulah sehingga saya dapat bersama bayi lebih lama sedikit,” ujarnya.

Jelas Alya, pihak rumah perlindungan sanggup berbuat demikian kerana bimbang dia akan bertindak melarikan diri dan bayinya tidak dapat diserahkan kepada keluarga angkat memandangkan wang telah dibayar oleh pihak yang terlibat.

“Tidak mungkin saya bertindak begitu kerana memerlukan rehat yang mencukupi. Mereka bimbang kerana wang sudah dibayar (kepada pusat perlin­dungan),” ujarnya.

Sementara itu, Atira (bukan nama sebenar), 25, pula memberitahu, dia menanggung rindu mendalam pada bayinya kerana hanya sempat memeluk seketika sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.

“Sebagai seorang ibu, naluri (rindu) itu ada, tetapi apakan daya. Setakat ini, saya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai keberadaannya. Kalau ada peluang, saya teringin untuk berjumpa dan menciumnya lagi.

“Saya bukan mahu mengambilnya semula, tetapi sekurang-kurangnya hubungan kami anak beranak tidak terputus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bella, 26, berkata, wang saguhati yang diterima sekadar cukup untuk belanja dalam tempoh seminggu dan perlu berjuang kembali mencari pekerjaan baharu.

“Saya bukan menjual anak kerana kami sama-sama bersetuju menyerahkan kepada keluarga angkat. Sekurangnya, berilah bayaran yang berpatutan. Tum­puan saya sekarang untuk memulakan hidup baharu,” jelasnya.

Kosmo! kelmarin melaporkan beberapa pusat perlindungan didakwa mampu meraih kutipan sehingga puluhan ribu ringgit apabila menjadi sindiket menjual bayi baru lahir kepada keluarga angkat dengan harga RM5,000 hingga RM20,000.

Nilai setiap bayi adalah berbeza mengikut ciri fizikal yang mana bayi berkulit putih, bermata cantik, berambut lebat dan jantina lelaki dijual pada harga lebih tinggi.

Namun, ada pasangan yang mengakui mereka tidak pernah menggunakan sindiket untuk memiliki anak angkat, sebaliknya ia dilakukan atas persetujuan ibu kandung bayi tersebut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN