fbpx
KEBUN durian turut menyimpan pelbagai cerita pelik dan mistik jika ingin diungkap. – Gambar hiasan

Disakat jelmaan wanita berselendang merah di dusun durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERCAKAP mengenai kebun dan musim durian, Kamal Abu, 60, mempunyai kisah misteri dan menyeramkan berlaku pada dirinya kira-kira 40 tahun lalu di kebun milik keluarganya di negeri Utara tanah air.

Dia kini menetap di Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor setelah merantau meninggalkan kampung demi mencari rezeki sebagai pekerja kilang.

Menurut Kamal, peristiwa menyeramkan sewaktu menjaga durian milik keluarganya yang dipajak masih segar di ingatannya.

Katanya, dusun itu memang milik keluarganya, tetapi bapanya memajaknya kepada tauke durian.

“Sebagai penghormatan, tauke yang dikenali Man Musang mengupah saya mengutip durian dan menjaga dusun dengan nilai ribuan ringgit,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, di kebun itu, ada sebatang pokok dipanggil durian kesumba yang menjadi kegemaran bukan sahaja ahli keluarganya, malahan sering menjadi pilihan peraih untuk dipasarkan ke bandar.

Malahan, dia turut mendengar cerita daripada orang-orang lama, kononnya durian jenis itu turut menjadi pilihan makhluk misteri dipercayai datang dari alam bunian.

Bercerita mengenai kisah seram yang dialaminya itu, jelas Kamal, ia berlaku semasa musim durian luruh.

Ujarnya, pada malam itu, kira-kira pukul 12 tengah malam cuaca agak dingin, dia pergi ke dusun itu dengan anak Man Musang yang digelar Tora.

Jelasnya, semasa Tora mengambil bakul di pondok, dia menyuluh dengan lampu sekitar dusun durian seluas 0.4 hektar tersebut.

Tiba-tiba dia ternampak kelibat dua wanita berkain batik, berbaju kurung dan berselendang merah berjalan dari pokok durian kesumba menuju ke kawasan belukar berhampiran.

“Kedua-dua wanita yang berwajah cantik itu sempat tersenyum sebelum menghilangkan diri walaupun lampu suluh terus menerangi kawasan pokok durian kesumba.

“Saya yang terkejut terus menjerit ketakutan. Tora yang mendengar jeritan saya segera datang ke lokasi saya berdiri. Bagaimanapun dia tidak nampak kelibat dua wanita misteri tersebut,” katanya.

Kamal memberitahu, apa yang pasti kedua-dua wanita cantik bertubuh langsing itu ‘meninggalkan’ bau yang amat wangi di kawasan sekitar pokok durian kesumba.

Apa yang pasti kata Kamal, gerak-geri kedua wanita cantik itu amat pantas seolah-olah semak-samun tidak tersentuh oleh tubuh mereka.

“Kaki saya seperti dipasung ke tanah dan berat untuk melangkah. Ibarat ada bebola besi beratus kilogram terikat di pergelangan kaki.

Ekoran peristiwa penampakan wanita cantik yang menyeramkan itu, jelas Kamal, dia demam selama tiga hari.

Katanya, peristiwa itu adalah pertama kali dialaminya sewaktu menjaga dusun keluarganya sejak berumur 12 tahun.

“Saya tidak pasti motif kedua-dua wanita cantik itu berada di kawasan pokok durian kesumba.

“Tidak pasti makhluk misteri itu orang bunian ataupun hantu durian yang menjelma sebagai manusia.

“Jika kedua-duanya manusia biasa pun tidak logik, kerana mereka tidak bersuara dan pergerakan kaki mereka seolah-olah tidak jejak di tanah,” jelasnya.

Peristiwa menyeramkan sewaktu dia berusia 20 tahun tersebut kata Kamal, menyebabkan dia serik untuk menjaga dusun durian keluarganya lagi.

Ujarnya lagi, selepas dipulihkan semangat oleh seorang dukun di kampungnya dan keluarga mengadakan doa selamat, Kamal mengambil keputusan berhijrah ke Selangor hingga kini.

“Tak apalah, saya reda jika sudah tiada rezeki menjaga durian milik keluarga. Sejak peristiwa tersebut, Man Musang datang ke dusun durian tersebut hanya pada pukul 7 pagi.

“Apa yang pasti sejak peristiwa menyeramkan itu, saya berani jamin, tiada siapa yang berani datang mencuri durian di dusun keluarga saya,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN