BATU GAJAH – Menyedari ramai yang tidak mampu untuk membeli durian secara timbang menyebabkan seorang peniaga durian di sini menjual raja buah itu pada harga RM50 sebakul.
Mohd. Subahi Omar, 39, berkata, inisiatif jualan durian dalam bakul itu bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya golongan B40 dapat membeli durian tanpa risau kerana raja buah itu sinonim dengan harga yang mahal.
Katanya, buah yang dijual adalah buah yang berkualiti dan baru luruh daripada dusun di Lenggong, Perak bagi memastikan pembeli berpuas hati.
“Durian kampung ini saya peroleh dari Lenggong, Perak. Saya tidak akan menyimpan stok selain memastikannya dijual habis pada hari yang sama.
“Ini bagi memastikan pembeli dapat merasai durian yang segar selain selain buah yang dijual bukanlah jenis sudah merekah atau tidak elok,” katanya di sini semalam.
Dia telah menjual durian selama lebih tiga tahun.
Katanya, sebakul durian kampung itu ada tujuh hingga lapan biji durian dengan berat sekitar sembilan kilogram yang bergantung kepada saiz.
“Saya mencampurkan durian gred A sama supaya satu keluarga dapat menikmati durian yang lazat. Kebiasaannya dalam sehari sekitar 30 bakul boleh terjual,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pelanggan, Siti Munirah Sulaiman, 35, yang merupakan seorang kerani di sebuah syarikat swasta berkata, dia jarang berpeluang dapat membeli durian dengan harga yang murah sebegitu.
“Boleh dimakan sekeluarga, lagi-lagi tiga orang anak saya memang ‘hantu’ durian jadi dapatlah menikmati bersama-sama dengan harga yang berpatutan,” katanya.














