Apa batas pergaulan antara lelaki dan wanita dalam Islam?
JAWAPAN:
Dalam hadis yang banyak, pergaulan antara lelaki dan wanita di zaman itu berlaku secara normal tetapi terhormat. Tidak jumud seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Sebab itu sahabiyat atau wanita Muslimah pada zaman Nabi s.a.w terlibat membantu Nabi s.a.w dan tentera Islam dalam peperangan.
Mereka mengubati tentera yang cedera dan sebagainya. Bahkan ada yang terlibat langsung dengan peperangan. Umpamanya, semasa Peperangan Hunain, Umm Sulaim membawa khanjar (pisau belati) untuk menikam sesiapa yang menghampirinya. Dalam hadis Muslim, suaminya iaitu Abu Talhah berkata kepada Rasulullah:
“Wahai Rasulullah! Ini Ummu Sulaim, bersamanya khanjar.” Lalu Rasulullah berkata kepada Ummu Sulaim: “Khanjar apakah ini?” Ummu Sulaim menjawab, “Aku bawa, jika ada musyrikin (musuh) yang menghampiriku nescaya aku belah perutnya dengan ini.” Ia menyebabkan Rasulullah ketawa.
Wanita juga terlibat menghidangkan makanan kepada lelaki semasa majlis perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari, masa majlis walimah Abu Usaid al-Sa’idi, isteri beliau yang merupakan pengantin baharu melayan hidangan untuk tetamu lelaki, termasuk Rasulullah s.a.w.
Terdapat juga riwayat yang mana Rasulullah dan sahabat pernah nampak isteri al-Zubair ibn al-‘Awwam iaitu Asma bin Abi Bakr membawa benih tamar, lalu baginda menjemputnya untuk naik tunggangan baginda. Dalam riwayat al-Bukhari, Asma berkata:
“Nabi s.a.w mendudukkan unta untuk aku menaikinya. Aku malu terhadap Nabi dan teringatkan pula sifat cemburu kamu (al-Zubair)”.
Terlalu banyak riwayat menunjukkan pergaulan secara terhormat berlaku antara lelaki dan perempuan pada zaman Nabi s.a.w dengan keizinan baginda. Pun begitu, hubungan lelaki dan wanita ada batasan mesti dikawal. Menutup aurat salah satu daripadanya.
Dalam al-Quran Allah berfirman: (Maksudnya) “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Maka, asas dalam fesyen seorang wanita Muslimah hendaklah berteraskan pakaian yang memberikan gambaran pemakainya seorang wanita baik dan tidak membangkit nafsu lelaki dengan pendedahan warna yang melampau, rekaan fesyen yang memberikan nilai yang negatif dan seumpamanya.














