KEHADIRAN buaya sering dikaitkan dengan ancaman atau ketakutan, namun lain pula bagi buaya tembaga di Sungai Linggi yang dikatakan mesra dan tidak pernah mengganggu manusia.
Sungai Linggi terletak di daerah Port Dickson bertemu dengan cabang Sungai Timun di daerah Rembau serta bersempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka.
Spesies buaya tembaga atau nama saintifiknya Crocodylus porosus yang menjadikan Sungai Linggi sebagai habitatnya turut menjadi tarikan kepada pelancong yang ingin melihat reptilia itu secara lebih dekat dengan menelusuri sungai sepanjang 14 kilometer itu.
Menurut penduduk setempat, buaya tembaga di Sungai Linggi itu diberi gelaran ‘Atuk’ dan menjadi pantang larang mereka untuk tidak menyebut nama reptilia itu ketika berada di sungai.
Namun, tidak dapat dipastikan dari mana asal usul panggilan nama ‘Atuk’ yang diberikan itu.

Seorang tekong, Lee Ching Dong, 36, atau lebih mesra dengan panggilan Ah Thong mempunyai pengalaman 10 tahun mengendalikan bot dan membawa penumpang menelusuri Sungai Linggi untuk melibat buaya tembaga.
Ah Thong yang berpengkalan di Jeti Pengkalan Kempas, Sungai Linggi berkata, ramai pelancong dari luar datang ke situ semata-mata untuk melihat sendiri spesies buaya tembaga di situ yang berwarna keemasan.
“Biasanya cuaca panas sekitar pukul 1 tengah hari hingga 3 petang merupakan waktu terbaik kerana pada masa itu, air surut dan buaya akan berjemur.
“Melihat buaya bergantung pada nasib juga, kalau nasib baik boleh melihat secara dekat tiga hingga empat ekor buaya (berjemur) dan saya akan bawa bot lebih dekat supaya pelancong dapat merakam gambar,” katanya yang mengenakan caj RM380 bagi sebuah bot yang boleh memuatkan 12 orang.
Selain buaya, anak muda itu berkata, terdapat tarikan lain di perairan Sungai Linggi iaitu melihat kelip-kelip pada waktu malam serta memancing udang galah atau sang sepit biru yang terkenal dalam kalangan kaki pancing.
“Kalau diikutkan, buaya tembaga di sini tidak mengganggu, sebaliknya akan segera beredar sekiranya mengetahui pergerakannya diperhatikan.
“Tetapi perlu juga berhati-hati, saya pernah melihat kelibat buaya jantan berwarna hitam lebih kurang 3 meter timbul pada waktu malam,” katanya.

Keunikan dan kewujudan buaya di Sungai Linggi telah mendorong kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Pusat Santuari Buaya Tembaga bagi tujuan pemuliharaan dan kestabilan ekosistem.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermie Ramli berkata, pusat itu membolehkan usaha-usaha konservasi spesies reptilia berkenaan dijalankan secara komprehensif dan menyumbang di dalam ekosistem semula jadi sungai tersebut.
“Ini seterusnya dapat memastikan spesies buaya tembaga tidak diancam kepupusan akibat kehilangan habitatnya dan terjamin kelestarian genetik.
“Kajian bagi penyelidikan Pelan Induk Pembangunan Santuari Buaya Tembaga di Sungai Linggi juga telah dijalankan.
“Ia menjadi panduan kepada amalan pengurusan untuk menghasilkan strategi pelancongan secara mampan memfokuskan kepada konservasi buaya tembaga,” katanya.
Nurul Ermie berkata, aspek pemuliharaan alam semula jadi serta warisan dan kebudayaan komuniti turut diambil kira bagi meningkatkan nilai ekonomi masyarakat setempat melalui pelancongan.
Pusat Santuari Buaya Tembaga di Sungai Linggi berkeluasan 1.37 hektar dan telah diwartakan sebagai Rizab Santuari Buaya Tembaga pada 4 Mei 2021.

Berdasarkan hasil kajian yang dijalankan di Sungai Linggi pada 2021, Nurul Ermie berkata, buaya tembaga atau Crocodylus porosus merekodkan jumlah tertinggi, sebanyak 164 ekor.
“Anggaran saiz terbesar dicatatkan ialah sepanjang 5 meter, manakala saiz terkecil ialah kurang 1 meter.
“Kajian antara 2016 hingga 2020 pula mendapati, terdapat lebih kurang 100 hingga 120 ekor buaya tembaga dengan anggaran saiz lebih kurang sama,” katanya.
Beliau berkata, kaedah cerapan atau kajian itu menggunakan dron pada waktu siang, tetapi tidak dapat diteruskan pada waktu malam kerana faktor keadaan sangat gelap.
Tambahnya, perairan Sungai Linggi turut mempunyai kepelbagaian spesies yang menarik antaranya, keluang (Pteropus vampyrus), tuntung sungai (Batagur borneoensis), kucing hutan (Prionailurus planiceps), memerang licin (Lutrogale perspicillata) burung hantu kuning (Ketupa ketupu) dan musang pulut (Paradoxurus hermaphroditus).
Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah berkenan melakukan lawatan teknikal Pelan Induk Pembangunan Ekopelancongan Bagi Projek Santuari Buaya Tembaga di sungai berkenaan.
















