fbpx
JELMAAN makhluk menakutkan ketika memancing di atas rumah rakit membuatkan Helmi dan rakan-rakan ketakutan. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Dikacau hantu air sebab cakap besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKIBAT mulut celupar, kegembiraan tiga sekawan ketika memancing ikan di sebuah rumah rakit bertukar pengalaman menyeramkan apabila diganggu lembaga putih dipercayai hantu air.

Helmi Bahkiar, 53, berkata, sepanjang lebih 30 tahun dia memancing ikan, itu adalah pengalaman menyeramkan pernah dialaminya, sekali gus terus menjadi peringatan kepada diri sendiri agar sentiasa ‘menjaga mulut’ walau di mana sahaja berada.

Katanya, dia dan rakan-rakan berdepan dengan kejadian menyeramkan di atas sebuah rumah rakit di satu daerah di negeri Johor.

“Biasanya mulut kita nak kena jaga sebab kita berkongsi alam ini dengan mahkluk lain yang tidak nampak dengan mata kasar,” katanya.

Bercerita lanjut dia berkata, kejadian itu berlaku pada 2014 sewaktu dia keluar memancing bersama dua rakannya pada waktu malam di rumah rakit tersebut.

Sebelum itu, katanya, seorang rakannya bercakap besar dengan mengatakan ingin menangkap hantu air bertujuan untuk meminta ikan besar.

Ketika menantikan joran disambar ikan pada pukul 12 tengah malam, cuaca di kawasan itu tiba-tiba berubah dengan angin kencang.

Katanya, umpan langsung tidak disentuh si penghuni dasar.

Disebabkan angin kuat dan rakit pun bergoyang-goyang, kami ambil keputusan untuk menukar umpan dan menajur sahaja berumpankan udang hidup.

“Tiba-tiba kami berasakan bulu roma masing masing meremang. Salah seorang rakan terpandang sosok tubuh berpakaian serba putih di rumah rakit berhampiran dengan rambutnya yang panjang memandang ke arah luar.

“Kakinya dicecahkan ke dalam air tanpa memandang atau menoleh ke arah kami. Rakan yang bercakap besar tadi bergerak ke arah makhluk tersebut dengan harapan menangkapnya.

“Perbuatannya itu tidak dipersetujui oleh kami berdua. Masa itu, saya fikir rakan kami tidak waras kerana hendak tangkap jelmaan ‘mahkluk’ tersebut.


BIASANYA rumah rakit menjadi tempat kegemaran kaki pancing untuk mencuba nasib mendapatkan ikan besar. –GAMBAR HIASAN

“Kata rakan itu, dia hendak minta ikan besar. Saya cakap kepadanya jangan buat kerja gila dan jangan cari penyakit,” ujarnya.

Menurut Helmi, mungkin disebabkan niat yang sudah terpesong itu, tiba-tiba berlaku kejadian yang sangat aneh dan tidak terjangkau
oleh pemikiran manusia waras.

Katanya kelima-lima joran yang ditajur berdesing serentak dan salah satu joran bukan hanya sekadar berdesing, tetapi siap dikaraukan lagi.

Salah seorang rakan Helmi mula ketakutan dan dia menyarankan agar mereka berkemas dan menyimpan joran.

“Mata sempat menjeling ke arah ‘makhluk’ tersebut yang masih berada di tempatnya, sambil berjalan masuk ke dalam bilik untuk tidur.

“Saya sempat berkata, aku tidak ganggu kau, tolong jangan ganggu aku hendak tidur,” ujarnya.

Alhamdulillah, kata Helmi, makhluk tersebut tidak mengganggu mereka pada malam tersebut, mungkin muncul sekadar memberi peringatan agar lain kali jangan bercakap besar.

Sehingga hari ini, dia menganggap kejadian itu sebagai satu misteri dan masih tidak mengetahui makhluk apakah yang muncul secara tiba-tiba itu.

Tambahnya, itulah pengalaman dan kenangan yang tidak akan dapat dilupakan oleh mereka bertiga sampai bila-bila.

Itulah juga kali pertama dan terakhir mereka memancing di situ.

Justeru, dia menasihatkan kepada kaki pancing agar menghormati alam sekeliling yang turut didiami ‘mahkluk’ lain dan jangan sesekali bersikap mencabar atau bercakap besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN