fbpx
SITI AISYAH menunjukkan pek-pek daging korban sedia dimakan yang dikeluarkan MyFundAction. – AFIQ RAZALI

Inovasi pek korban tahan 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Inovasi terkini daripada program Qurban Care For Ummah (QC4U) membolehkan daging sembelihan korban dimasak dan dibungkus dalam pek kecil menggunakan tekologi retort dari Jerman membolehkannya bertahan selama dua tahun.

Walau tanpa peti sejuk, ia mampu bertahan selama ini  sekali gus masih boleh diedarkan kepada golongan memerlukan biarpun di luar perayaan Aidiladha.

QC4U adalah projek yang dilaksanakan MyFundAction bagi membantu pengagihan daging korban kepada umat Islam yang memerlukan (asnaf) di dalam Malaysia dan juga luar negara seperti di benua Afrika serta Syria, Palestin, Indonesia, Jordan dan Yemen.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–

SUDAH menjadi rutin buat Rozanah Abd. Ghani, 56, melaksanakan ibadah korban setiap kali tibanya sambutan Hari Raya Aidiladha pada setiap tahun.
Malangnya, hajat wanita berasal dari Tangkak, Johor itu untuk melaksanakan ibadah tersebut terpaksa ditangguhkan pada tahun 2020 ekoran penularan pandemik Covid-19.

Justeru pada tahun lalu, Rozanah mengambil inisiatif melaksanakan ibadah korban menerusi program Qurban Care For Ummah (QC4U) yang diselaraskan oleh sebuah agensi bukan kerajaan, MyFundAction.

QC4U merupakan satu inovasi baharu di negara ini apabila daging sembelihan korban akan dimasak dan dibungkus dalam pek kecil sebelum diedarkan kepada orang yang layak menerimanya. Menggunakan teknologi retort dari Jerman, daging korban sedia dimakan itu mampu bertahan selama dua tahun walau tanpa peti sejuk sekali gus masih boleh diedarkan kepada golongan memerlukan biarpun di luar perayaan Aidiladha.

“Sebenarnya setiap tahun saya dan suami melaksanakan ibadah korban di masjid atau surau di kampung. Tetapi pada 2020, niat kami melaksanakan ibadah itu tertangguh disebabkan pandemik.

“Bermula tahun lalu, saya pilih buat korban menerusi QC4U memandangkan kes Covid-19 ketika itu masih meningkat. Segala urusan korban dilakukan dalam talian,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

TEKNOLOGI retort digunakan dalam pengeluaran pek daging korban ini agar keadaan daging terus elok dalam tempoh yang lama.

Korban dalam konteks ajaran Islam merujuk kepada perlakuan menyembelih binatang tertentu seperti kambing dan lembu pada hari tasyriq yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Rozanah yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak berkata, dia yakin dengan pengurusan QC4U terutamanya dari aspek pemilihan lembu dan proses pengagihan daging.

“Korban menerusi QC4U sangat mudah, saya dan suami tidak perlu bersusah payah untuk mencari lembu atau mengedar daging. Segalanya diuruskan pihak MyFundAction,” ujarnya.

QC4U adalah projek yang dilaksanakan MyFundAction bagi membantu pengagihan daging korban kepada umat Islam yang memerlukan (asnaf) di dalam Malaysia dan juga luar negara seperti di benua Afrika serta Syria, Palestin, Indonesia, Jordan dan Yemen.

Inovasi daging korban kepada pek telah siap dimasak membantu proses agihan dijalankan lebih pantas, cepat dan bersih.
Inisiatif proaktif ini bahkan pernah mendapat pujian daripada tokoh agama terkenal, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Alhamdulillah inovasi ini membolehkan daging tahan sampai dua tahun. Bagi saya, satu usaha murni, lagi-lagi pada zaman Covid-19 ini. Kesannya besar, insyaAllah,” ulas beliau.

Seorang asnaf yang pernah menerima pek korban itu, Ain Aqidah, 25, memberitahu ia memudahkan.
‘’Pek korban ini senang sebab tak perlu simpan dalam peti sejuk. Daging korban yang baru siap dilapah biasanya kita perlu cari tempat penyimpanan. Dengan pek korban ini, tak perlu masak, boleh terus makan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Wahid memaklumkan, inisiatif QC4U telah dimulakan pada tahun 2016.

DAGING korban tersedia dalam pelbagai bentuk masakan antaranya kari.

Jelasnya, inisiatif tersebut semakin mendapat perhatian sewaktu pandemik Covid-19 melanda dunia apabila orang ramai dilarang mengerjakan ibadah korban seperti kebiasaan.

“Sewaktu negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, sebanyak 230 ekor lembu telah berjaya disembelih di dalam negara dan kira-kira 50 ekor di seberang laut.

“Tahun ini, kami menyasarkan sehingga 500 ekor lembu di dalam negara sahaja. Ia ekoran sambutan yang sangat menggalakkan terutamanya daripada peserta tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya lagi.

Siti Aisyah memaklumkan, proses penyembelihan semua lembu pada tahun ini akan dilakukan pada 10 hingga 13 Zulhijjah dalam kilang pemprosesan terletak di Kota Tinggi, Johor.

Siti Aisyah turut memberitahu, hanya daging diproses dan dipek menjadi makanan sedia dimakan, manakala bahagian dalaman serta tulang lembu diedarkan terus kepada asnaf yang telah dikenal pasti.

Mengulas mengenai proses yang dilakukan, Siti Aisyah berkata, daging korban akan dimasak sebelum dipek menggunakan teknologi pembungkusan retort dari Jerman yang merupai konsep makanan sedia makanan pasukan tentera.

Dia memaklumkan, hidangan yang siap dimasak akan dimasukkan dalam retort pouch sebelum dipanaskan dengan suhu antara 116 hingga 121 darjah Celsius.

Tambahnya, proses berkenaan dapat membunuh kuman Clostridium botulinum yang merupakan antara punca utama kerosakan makanan, selain itu retort pouch itu sendiri bersifat vakum (kedap udara) bagi mengelak hidangan membusuk.


PEK-PEK korban turut diagihkan kepada golongan asnaf dan pelarian dalam misi kemanusiaan di luar negara.

“Kami merupakan badan bukan kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang menggunakan teknologi retort pada daging korban. Dengan teknologi ini, daging korban mampu bertahan selama dua tahun,” katanya.

Menurutnya, daging ini dimasak dengan tiga jenis hidangan iaitu lada hitam, kari dan rendang.

“Setiap pek hidangan adalah seberat 200 gram. Jadi, satu bahagian mampu menghasilkan kira-kira 50 pek hidangan. Hasil maklum balas yang terima daripada para asnaf, hidangan daging ini cukup enak,” katanya.

Hidangan daging korban tersebut diedarkan oleh pihak MyFundAction kepada asnaf dan golongan memerlukan dalam tempoh setahun, manakala 15 pek daripada setiap bahagian diberikan kepada peserta korban.

Menurut Siti Aisyah, pihaknya mempunyai jadual edaran yang teratur kepada asnaf di dalam negara.
Terangnya, MyFundAction turut membawa bersama pek daging korban tersebut sewaktu misi-misi kemanusian di luar negara seperti ke kem pelarian di Syria serta Yemen.

“Agihan ini tertumpu kepada umat Islam yang terjejas akibat Covid-19, bencana alam golongan asnaf serta negara-negara terlibat peperangan termasuk Palestin dan Afrika Tengah.

“Sebanyak 1,174 pek korban ini juga telah berjaya diagihkan ketika banjir di Shah Alam dan Sri Muda, Selangor. Pek makanan ini memudahkan mangsa menjamah hidangan tanpa sebarang peralatan memasak,” ujarnya sambil memberitahu satu bahagian lembu bernilai RM800.


IBADAH korban membolehkan seseorang itu mendekatkan diri kepada Allah.

Program QC4U juga dilihat sebagai salah satu langkah awal bagi memastikan keselamatan makanan di dalam negara setiasa terjamin terutamanya akibat bencana alam atau kekurangan sumber.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN